[WAWANCARA] Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 28, baru-baru ini mengejutkan rakyat Malaysia apabila mempersoalkan pemberian elaun, ganjaran serta kemudahan wang saraan menteri dan timbalan menteri yang dianggap... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA] Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 28, baru-baru ini mengejutkan rakyat Malaysia apabila mempersoalkan pemberian elaun, ganjaran serta kemudahan wang saraan menteri dan timbalan menteri yang dianggap terlalu mewah sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Pendedahan pengasas parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) kemudiannya dikecam dengan sebilangan pihak menganggapnya 'cakap tidak serupa bikin' kerana tidak membangkitkan perkara itu sewaktu beliau menjadi menteri kabinet.

Wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN menemuramah Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar bagi mendapatkan penjelasan sebenar di sebalik isu panas berkenaan.

SINAR PREMIUM: Boleh Yang Berhormat (YB) ulas secara lebih terperinci pendedahan berkenaan isu elaun menteri dan timbalan menteri serta elaun pencen ahli Parlimen yang mampu mencecah ratusan ribu ringgit sebagaimana dibangkitkan dalam sidang Parlimen baru-baru ini?

SYED SADDIQ:
Jika ingat kembali, ucapan saya di Parlimen berkenaan dengan elaun dan (peruntukan) wang saraan menteri bukanlah kali pertama saya bangkitkan isu ini.

Saya sendiri pernah mendedahkan elaun tahunan kepada menteri yang sangat besar dan lumayan seperti elaun tahunan untuk percutian, elaun pindah rumah, bayaran one-off untuk menteri yang diberhentikan serta elaun pinggan mangkuk.

Ini semua adalah isu bukan keperluan, sebaliknya pembaziran yang dilakukan dengan sah serta merencatkan keupayaan kerajaan untuk menggunakan dana peruntukan kerajaan dengan cermat.

Semua gaji menteri dan timbalan menteri adalah dibayar dengan wang hasil cukai. Jadi, apabila saya bangkitkan hal wang saraan yang besar ini dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia ke-12, ia bertujuan untuk menyelaras semula perbelanjaan kerajaan supaya berfokus kepada rakyat dan digunakan dengan cermat.

- Sebagai Ahli Parlimen Yang juga mantan menteri kabinet, adakah YB menerima dan mengguna pakai imbuhan kepada seorang menteri sebagaimana yang YB bangkitkan?

Sewaktu saya menjadi sebahagian daripada anggota kabinet, saya juga layak untuk menerima kemudahan yang disediakan itu.

Tetapi saya mengambil keputusan untuk tidak mengambil kebanyakan daripada kemudahan itu seperti kemudahan pemberian dua lesen import (AP) untuk membeli kenderaan dan sebidang tanah di Putrajaya.

Sehingga hari ini, saya tidak ambil.

- Bagaimana YB memperuntukkan elaun wakil rakyat yang YB terima ketika ini bagi memastikan ia tidak dianggap pembaziran wang rakyat?

Saya banyak salurkan wang dan peruntukan yang disediakan untuk Pejabat Ahli Parlimen Muar. Saya fikir, ramai yang perlukan bantuan segera di parlimen saya. Malah, apabila saya sudah tidak lagi menjadi anggota kabinet dan bergelar ahli Parlimen pembangkang, saya sudah memberi empat bulan elaun saya untuk digunakan bagi membantu rakyat Parlimen Muar dalam mengharungi krisis Covid-19.

Sehingga hari ini, saya telah berjaya menyediakan lebih dari 16,000 bakul makanan untuk keluarga susah di Parlimen Muar, lebih 1,000 komputer riba dan tablet telah diedarkan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), bantuan untuk komuniti nelayan dan peniaga di Muar.Pejabat Ahli Parlimen Muar juga masih beri bantuan sebegini sebab krisis Covid-19 ini telah menyebabkan lebih separuh jumlah keluarga di Parlimen Muar terjejas teruk. Saya wajib bantu mereka.

- Mengapa isu ini dibangkitkan YB hanya setelah YB berada di pihak pembangkang? Mengapa perkara itu tidak dipersoalkan sewaktu YB menjadi menteri?

Saya fikir hal ini beberapa kali telah dibangkitkan oleh kami (Jemaah Menteri) di dalam mesyuarat kabinet (sewaktu kerajaan Pakatan Harapan).

Hasilnya, banyak peruntukan khas telah dipotong sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan.

Contohnya, gaji setiap Menteri PH dipotong 10 peratus bagi memastikan komitmen perbelanjaan kerajaan disambut sempurna. Selain itu, banyak kemudahan menteri saya tolak.

Waktu kami berkhidmat dalam kabinet dulu juga, ketelusan wang saraan sudah tidak lagi menjadi satu tabu untuk dilaporkan media. Semua tahu berapa ringgit yang digunakan untuk sara menteri. Semua aset kami isytihar penuh untuk perhatian rakyat.

Ini adalah usaha yang penting dan menjadi pemangkin awal untuk perbelanjaan yang lebih cekap. Malangnya, iltizam politik ini tidak diteruskan oleh kerajaan baharu.

- Apa cadangan penambahbaikan YB bagi memastikan jawatan menteri dan timbalan menteri tidak dikaitkan dengan isu pembaziran wang rakyat?

Perlu telus dan jujur. Menteri dan timbalan menteri tidak boleh bersembunyi daripada mengisytiharkan harta dan aset untuk memenuhi kehendak orang ramai.

Saya juga menggesa kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pendanaan Politik bagi meningkatkan ketelusan ini di peringkat parti politik.Kita perlu untuk segera mengawal perbelanjaan keluar masuk parti, dana tajaan daripada individu dan syarikat kepada parti politik.

Rakyat berhak untuk tahu sumber kewangan parti, dengan perbualan tentang perbelanjaan dan kewangan ini tidak boleh lagi menjadi tabu untuk rakyat tahu.

- Ada wakil rakyat berpandangan mentaliti pengundi kawasan mereka lebih mendambakan bantuan dalam bentuk kewangan. Senario ini menyebabkan ahli-ahli politik ini merasakan mereka juga memerlukan peruntukan kewangan banyak untuk berkhidmat kepada rakyat. Bagaimana YB melihat keadaan sedemikian?

Saya mempunyai pandangan yang lain dalam hal ini. Bagi saya, ada orang perlukan wang ringgit, ada orang perlukan makanan, ada orang perlukan kerja.

Sebab itu di Parlimen Muar, ada rakyat yang terima wang bantuan one-off seperti sumbangan mahasiswa harapan. Ada juga saya beri sumbangan komputer riba dan bakul makanan.

Sebenarnya ramai juga menolak bantuan kewangan tetapi mereka mahukan bantuan seperti kelulusan peruntukan kerajaan untuk menambah baik pusat komuniti nelayan, kebenaran berniaga di tempat-tempat tertentu, bantuan untuk mereka mempromosikan kawasan atau usaha fundraising (kutipan dana) bagi persatuan komuniti masing-masing.

Jadi dalam hal ini, saya juga ada tanggungjawab untuk bantu. Sebagai Ahli Parlimen, tugas saya adalah untuk cari jalan terbaik membantu orang ramai dan hal ini perlu diberi lebih penekanan pada masa hadapan.

Klik di sini untuk terus membaca