LONDON - United Kingdom (UK) sedang mengawasi subvarian Delta yang telah mencetuskan lonjakan kes jangkitan Covid-19 di negara itu selepas sekatan ketat ditarik balik di seluruh negara pada Julai lalu setelah pelaksanaan tiga siri lockdown.
Jurucakap kepada Perdana Menteri, Boris Johnson memaklumkan kerajaan kini memantau dengan teliti varian AY.4.2, namun tiada bukti menunjukkan ia mudah menular.
"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika virus bermutasi itu mengancam komuniti,” ujarnya.
Secara keseluruhan, jumlah kes jangkitan di UK masih membimbangkan walaupun kadar vaksinasi adalah tinggi.
Ketika ini, sebahagian saintis telah menyarankan beberapa langkah untuk mengekang penularan kontak rapat seperti pemakaian pelitup muka di tempat tertutup.
Lonjakan kes tersebut disebabkan oleh peningkatan jumlah kes jangkitan dalam kalangan murid dan pelajar sekolah hingga mendorong gesaan program suntikan penggalak diperluaskan untuk menangani sistem imun tubuh yang didakwa semakin berkurangan dari masa ke masa.
Profesor Fracois Balloux di University College London berkata, AY.4.2 mempunyai dua mutasi baharu dan penjujukan pertama varian itu adalah pada April 2020.
"Subvarian itu ‘jarang berlaku’ di luar UK dan hanya tiga kes dikenal pasti di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa kes di Denmark. Ancaman AY.4.2 masih berada pada tahap rendah kerana ia hanya boleh menyebabkan sejumlah kecil kes tambahan.
"Oleh itu, ia bukan penyebab utama lonjakan kes di UK,” jelasnya.
Pengarah UCL Genetics Institute itu turut menjelaskan kemunculan subvarian tersebut tidak wajar dibandingkan dengan Alpha dan Delta yang lebih mudah menular pada tahap 50 peratus.
"Kita hanya berdepan dengan peningkatan kecil penularan Covid-19 yang tidak akan memberi impak besar pada pandemik ini ketika kebanyakan negara sedang memasuki fasa endemik,” katanya.
Sementara itu, Dr Jeffrey Barrett di Wellcome Trust Sanger Institute pula berkata, AY.4.2 mempunyai ‘kelebihan yang konsisten’ berbanding Delta yang pernah mencetuskan lonjakan kes di India dan UK.
"Kita perlu sentiasa berwaspada jika AY.4.2 menggantikan Delta pada kadar perlahan. Ia mungkin tidak sepantas Delta yang mengatasi Alpha untuk menjadi varian dominan di seluruh dunia,” menurutnya sambil menambah Delta adalah 60 peratus lebih mudah berjangkit berbanding Alpha.
KES MASIH TINGGI
Sebelum ini, UK telah berulang kali mengumumkan kejayaan program vaksinasi dilancarkan negara itu sebagai sebahagian daripada usaha untuk kembali menjalani kehidupan normal.
Bagaimanapun, kadar jangkitan masih tinggi jika mahu dibandingkan dengan negara Eropah lain hingga mencetuskan persoalan tentang pengendalian kerajaan terhadap ancaman wabak tersebut.
Selama dua minggu, jumlah kes jangkitan direkodkan antara 35,000 dan 40,000 sehari dan mencecah hampir 50,000 pada Isnin yang merupakan angka tertinggi sejak kemuncak penularan varian Delta pada Julai lalu.
Selain itu, jumlah kematian harian juga melebihi 100 orang sejak musim panas lalu sekali gus menjadikan jumlah korban keseluruhan kepada lebih 138,000 dan berada di belakang Rusia yang mencatatkan angka tertinggi di rantau Eropah.
"Agak menyedihkan kerana UK mempunyai kadar kes paling tinggi berbanding negara lain yang meliputi jumlah kes positif, jumlah pesakit dimasukkan ke hospital dan kematian,” kata Profesor Biologi Struktur di University of Oxford, Jim Naismith.
Susulan ancaman yang semakin meningkat, beberapa pakar kesihatan menggesa kerajaan untuk mengembalikan semula sekatan bagi mengurangkan tekanan dihadapi kemudahan kesihatan.
Tetapi, para menteri menolak cadangan itu kerana mendakwa situasi masih terkawal dan negara tersebut sedang belajar untuk hidup dengan Covid-19 walaupun UK melaporkan kematian tertinggi sejak Mac lalu.
Ketika ini, negara di rantau Eropah seperti Perancis merekodkan sebanyak 4,000 kes sehari dengan 30 kematian manakala Jerman mencatatkan 10,000 kes sehari dengan 60 korban akibat Covid-19.
TURUT DIKESAN DI ISRAEL
Israel turut mengesahkan kes melibatkan subvarian Delta yang kini mencetuskan kebimbangan di UK.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang tiba dari Eropah didakwa sebagai pembawa varian AY.4.2 tersebut setelah ia dikesan di Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv.
Menurut pegawai di Israel, kanak-kanak itu kini menjalani kuarantin dan tiada kontak rapat dikenal pasti.
Penemuan varian itu dibuat ketika rejim Tel Aviv sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan terhadap sektor pelancongan susulan penurunan kes jangkitan yang hanya mencatatkan 1,487 kes pada Rabu berbanding 11,000 kes sehari pada akhir Ogos dan awal September lalu. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca