PENDUDUK empat kampung di Kubang Kerian, Kelantan kini dikatakan bingung dengan misteri kehilangan wang yang kerap berlaku sejak setahun lalu. Menurut laporan, ada penduduk yang mengaitkan kejadian itu dengan toyol berikutan tiada kesan... Klik di sini untuk terus membaca

PENDUDUK empat kampung di Kubang Kerian, Kelantan kini dikatakan bingung dengan misteri kehilangan wang yang kerap berlaku sejak setahun lalu.

Menurut laporan, ada penduduk yang mengaitkan kejadian itu dengan toyol berikutan tiada kesan pecah rumah, manakala wang boleh hilang walaupun disimpan di tempat paling tersembunyi.

Kisah toyol sangat popular dalam masyarakat Malaysia. Mereka percaya makhluk halus daripada golongan jin atau syaitan itu dibela orang untuk tujuan mencuri.

Tidak hairanlah sikap sikit-sikit percaya hantu terus menjadi tabiat sebahagian orang Melayu. Asal ada kejadian mistik, satu negeri atau satu negara akan tahu.

Contohnya, negeri paling maju di Malaysia, Selangor, tahun lalu kecoh pasal bunyi ketukan misteri di rumah penduduk di Sabak Bernam.

Penduduk pelik mendengar bunyi ketukan kuat di pintu pagar atau pintu depan rumah pada waktu malam. Sama macam di Kelantan, kejadian itu turut dikaitkan dengan perbuatan hantu seperti pocong atau belaan pengamal ilmu hitam.

Sedar atau tidak, kejayaan pecah panggung filem-filem hantu juga adalah petunjuk jelas mengenai obsesi masyarakat dan betapa kuatnya pengaruh mistik menguasai pemikiran orang kita.

Daripada 44 buah filem yang mencatat kutipan lebih RM5 juta sepanjang sejarah perfileman Malaysia, 14 adalah filem genre seram.

Daripada semua karya itu, dua filem seram mengungguli carta di tempat pertama dan kedua, masing dengan kutipan RM48 juta dan RM36 juta.

Umat Islam sememangnya disuruh beriman dengan kewujudan makhluk alam ghaib sebagai mengakui tanda kekuasaan ALLAH SWT.

Dalam hadis sahih, jin ada yang digambarkan sebagai mempunyai sayap dan boleh terbang, ada yang menyerupai ular atau binatang berbisa dan ada yang boleh berjalan seperti manusia.

Malah, syaitan diceritakan pernah cuba mencuri harta zakat pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun kisah itu lebih untuk membuktikan kewujudan makhluk alam ghaib sebagaimana diimani umat Islam, bukan untuk menggambarkan bagaimana makhluk itu mampu mempengaruhi kehidupan manusia sewenang-wenangnya seperti kisah toyol dalam masyarakat Melayu

Dari segi modus operandi, logiknya toyol hanyalah satu helah pencuri yang bergerak aktif di sesuatu tempat. Kalaulah betul ada toyol sebenar, tuan toyol boleh mendapatkan wang yang lebih banyak hanya dengan membuat pertunjukan tanpa perlu mencuri.

Pada tahun 2006, pameran misteri hantu, jin dan keranda pernah menggemparkan negara. Muzium yang menjadi tempat pameran itu penuh sesak sehinggakan orang ramai terpaksa beratur panjang di luar bangunan.

Itu baru pameran hantu yang kebanyakannya kelihatan seperti replika pocong, puntianak ataupun jenglot.

Bagaimana agaknya sambutan orang ramai atau berapa banyak tuan toyol dapat untung andai ada pameran toyol sebenar – makhluk yang digambarkan seperti seorang budak kecil berbogel dengan mata merah dan gigi yang tajam?

Dalam zaman e-wallet dan perbankan internet ini, cerita seseorang tiba-tiba menjadi kaya-raya tanpa diketahui puncanya tidak lagi dapat dikaitkan dengan toyol.

Sebaliknya dalam sesetengah kes, elemen rasuah adalah ‘toyol’ sebenar di alam nyata.

Ironinya, pemilik toyol yang cerdik pasti akan menjadikan golongan perasuah ini, yang kadangkala menyimpan wang tunai berpuluh juta di dalam rumah sebagai sasaran berbanding penduduk kampung yang menyorokkan duit entah berapa ringgit di dalam peti sejuk.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca