SHAH ALAM - Siswazah lepasan universiti dan kolej di Malaysia melalui cabaran paling hebat memasuki alam pekerjaan dua tahun ini apabila selain berdepan dengan isu lambakan graduan, badai pandemik Covid-19 menyebabkan peluang pekerjaan semakin mengecil.
Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini mendapati bilangan penganggur di negara ini tidak banyak berubah antara suku pertama iaitu 771,800 orang dan suku kedua 764,900 orang.
Bagaimanapun, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mendedahkan, berdasarkan Statistik Siswazah 2020, bilangan penganggur siswazah mencecah 28 peratus atau seramai 202,400 orang.
Katanya, ia satu peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu jumlah penganggur siswazah adalah seramai 165,200 orang (2019) dan 158,400 orang (2018).
"Pada tahun ini, bilangan penganggur kekal melebihi 700,000 orang. Kadar pengangguran terus mencatatkan peningkatan besar sebanyak 1.3 mata peratus berbanding suku tahunan pertama 2020 dari 3.5 peratus kepada 4.8 peratus pada suku tahunan pertama 2021.
"Namun, pada suku tahun kedua 2021, kadar pengangguran mula merekodkan penurunan iaitu sebanyak 0.3 mata peratus berbanding suku tahun yang sama 2020 dari 5.1 peratus kepada 4.8 peratus pada suku tahun kedua 2021,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, perkara ini menggambarkan jurang besar dalam penawaran buruh yang masih belum kembali normal sejak pandemik Covid-19 yang melanda pasaran peringkat global dan nasional.
Beliau berkata, badai Covid-19 menyebabkan jumlah penawaran pekerjaan semakin kecil dan dan kesan kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dirasai semua kelompok tidak terkecuali siswazah.
"Berdasarkan analisis Jabatan Perangkaan Malaysia, wujudnya isu struktur pasaran buruh yang digambarkan melalui guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran iaitu mereka yang mempunyai pendidikan tertiari (politeknik/kolej/universiti), namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah.
"Walaupun, siswazah yang bekerja dalam kategori mahir merangkumi lebih 70 peratus, bilangan siswazah yang bekerja dalam kategori kerja separuh mahir dan berkemahiran rendah terus mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun.
"Permintaan buruh oleh industri yang masih didominasi oleh kategori separuh mahir juga menjadi salah satu faktor yang menyebabkan persaingan dalam kemasukan ke pasaran buruh bagi jawatan mahir.
"Hal ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran dan guna tenaga tidak penuh dalam kalangan siswazah,” katanya.
Secara keseluruhannya, terdapat 8.4 juta jawatan dalam sektor ekonomi pada suku tahun pertama 2021 berbanding 8.6 juta pada suku tahun pertama 2020 dengan pengurangan sebanyak 142,900 jawatan.
Pada suku tahun kedua 2021, bilangan jawatan terus merekodkan penurunan sebanyak 31,600 jawatan berbanding suku kedua tahun 2020.
Beliau berkata, bilangan pewujudan jawatan pada suku tahun pertama 2021 adalah lebih rendah dengan kategori pekerjaan mahir merekodkan penurunan manakala pewujudan jawatan kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah menunjukkan sedikit peningkatan.
Klik di sini untuk terus membaca