SHAH ALAM - Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman mengakui ramai siswazah terutama dalam kalangan B40 masih gagal mendapatkan pekerjaan walaupun selepas dua hingga lima tahun tamat pengajian.
Menurut beliau, isu kesukaran siswazah mendapat peluang kerja mula berlaku sejak Julai 2013 rentetan pelaksanaan peningkatan umur bersara.
"Apabila umur bersara minimum ditingkatkan dari 55 tahun ke 60 tahun, mereka yang sepatutnya bersara terus berkhidmat untuk lima tahun lagi.
"Ini menutup peluang pekerjaan yang dianggarkan sebanyak 200,000 setahun atau kira-kira satu juta peluang pekerjaan untuk lima tahun," katanya lagi sambil menambah peluang menyertai perkhidmatan awam juga tidak memberangsangkan kerana kerajaan hanya mengambil pegawai baru untuk bidang kritikal.
Tambah Syed Hussain, peluang pekerjaan untuk siswazah juga semakin kritikal berikutan Covid-19 yang menyaksikan lebih 32,000 perniagaan gulung tikar pada tahun 2020.
"Pada tahun lalu lebih dari 107,000 pekerja kehilangan pekerjaan dan untuk tahun ini dianggarkan lebih 40,000 pekerja telah kehilangan pekerjaan," katanya lagi.
Ujarnya, secara purata dalam setiap 100 peluang pekerjaan yang ditawarkan majikan, 89 peratus adalah untuk pekerja bawahan, tujuh peratus untuk tenaga mahir dan separuh mahir manakala baki empat peratus untuk bahagian pengurusan.
Klik di sini untuk terus membaca