SEBAHAGIAN besar negara ketika ini berada dalam fasa tiga atau fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), maka untuk rakyat Malaysia yang sudah lengkap pemvaksinan (mencapai 94 peratus populasi dewasa), tahap aktiviti ekonomi, profesional dan... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAHAGIAN besar negara ketika ini berada dalam fasa tiga atau fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), maka untuk rakyat Malaysia yang sudah lengkap pemvaksinan (mencapai 94 peratus populasi dewasa), tahap aktiviti ekonomi, profesional dan sosial semakin menyerupai kehidupan sebelum kita mengetahui kewujudan Covid-19.

Restoran kini boleh menarik nafas lega, tanpa mengambil kira sejauh mana kemahiran memasak kita telah meningkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun pembelian dalam talian boleh menyebabkan ketagihan, pembukaan semula pusat membeli belah mengurangkan risiko membeli produk yang kedengaran tidak masuk akal.

Sekolah kini dibuka, membolehkan kanak-kanak akhirnya akan memperoleh interaksi fizikal dan pensosialan yang amat penting kepada pembangunan awal kanak-kanak.

Hal itu amat penting terutamanya kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas dan mereka yang berpendapatan rendah kerana kemampuan mereka untuk bekerja bergantung kepada penjagaan yang tersedia untuk anak-anak mereka.

Mahkamah kembali beroperasi, membolehkan banyak kes undang-undang diteruskan secara bersemuka. Gelanggang sukan pula dipenuhi adrenalin.

Pemain-pemain junior yang bersemangat ingin mewakili negeri dan negara mereka kini boleh memulakan latihan untuk memenuhi impian tersebut − para jurulatih di Persatuan Squash Negeri Sembilan amat gembira dapat menamatkan latihan secara dalam talian!

Pejabat-pejabat kerajaan pula dapat mengadakan kembali mesyuarat secara bersemuka: satu durian runtuh kepada penjual kuih lapis, manakala untuk syarikat tersenarai awam, tugas-tugas fidusiari dapat dilaksanakan dengan lebih baik apabila para pengarah syarikat dapat berbincang dengan pihak pengurusan secara berdepan, walaupun jika para pemegang saham hanya hadir dalam talian ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Gelembung pelancongan dan pembukaan semula sempadan negeri menyebabkan keluarga-keluarga muda kembali menikmati keindahan semula jadi Malaysia, rakan taulan dapat mengeratkan semula hubungan persahabatan, manakala lawatan korporat akan membantu merangsang bahagian lain ekonomi.

Kesan pengganda aktiviti tersebut terhadap ekonomi negara amat jelas.

Industri keraian bergegas memenuhkan semula jawatan kosong pelayan dan staf meja depan, gerai makanan muncul di persimpangan jalan yang kembali sibuk dan penjaga parkir yang meragukan keabsahannya muncul berhampiran dengan restoran-restoran yang dipenuhi pelanggan.

Terdapat naratif lain untuk pelbagai pengalaman dan anekdot ini. Ramai meraikan kebangkitan semula kehidupan ini menuntut pertanggungjawaban terhadap kematian − 28,000 nyawa yang hilang di bawah pengawasan ahli politik dan penjawat awam, ada yang nama mereka dinyatakan secara khusus.

Bagi mereka, kadar vaksinasi yang disebut-sebut itu agak terlambat.

Kondisi kesihatan pasca-Covid-19, juga dikenali sebagai long Covid, yang dialami oleh bekas pesakit kemungkinan akan menyebabkan mereka tidak dapat menikmati sepenuhnya pembukaan apa-apa sektor sekalipun.

Terdapat juga kelompok penentang iaitu golongan antivaksin yang bercakap secara beremosi mengenai kehilangan orang tersayang "disebabkan vaksin”.

Di samping itu, terdapat pihak lain yang mengulang-ulang laporan yang sekian lama didedahkan keraguannya tentang bahaya vaksin, terutamanya melalui hantaran Facebook dan mesej WhatsApp yang ditularkan yang menyamar sebagai ahli politik sebenar atau doktor palsu.

SYARAT MENGUNDI

Namun, persoalan penting tentang prinsip moral untuk memaksa orang ramai mengambil vaksin perlu ada dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang menimbulkan isu keperlembagaan dalam membenarkan hanya pengundi yang lengkap dos vaksin untuk mengundi (walaupun SPR telah menafikannya).

Konflik antara kesahan sains, kepentingan kesihatan awam dan hak individu juga akan menjadi suatu endemik sepertimana Covid-19.

PRN akan menjadi satu indikator untuk menunjukkan sejauh manakah politik negara telah berevolusi − sepanjang wabak, telah berlaku Langkah Sheraton, pertukaran Perdana Menteri (serta penyebabnya, termasuk darurat dan keengganan mengadakan sidang Parlimen) serta penyusunan semula gabungan parti dan kesetiaan ahli politik.

Walaupun pengundi mungkin akan mempunyai pilihan yang terhad, kemungkinan para pengundi akan memberi ganjaran kepada mereka yang mengambil pandangan pemulihan yang bersifat menyeluruh serta kebangsaan berbanding mereka yang memilih pandangan terhad dan parokial serta bergantung kepada kuasa naungan dan rasuah untuk mengekalkan kuasa.

Sebahagian besar dunia kini terpaku akan pandangan dunia distopia seperti yang digambarkan oleh siri Netflix berbahasa Korea, Squid Game.

Di kebanyakan negara, metafora golongan tidak berkemampuan (yang sudah mengikut peraturan ditetapkan masyarakat) merisikokan nyawa untuk maju ke hadapan adalah amat berhubung kait, menjana sokongan terhadap alternatif yang radikal.

Saya telah melihat sendiri di Langkawi bagaimana pengalaman kesusahan peribadi telah membawa kepada penubuhan pusat jagaan autisme pertama pulau tersebut − beroperasi dari rumah bersebelahan yang diubah suai dan mempunyai halaman yang luas − dalam masa yang singkat, telah menerima sokongan daripada agensi kerajaan tempatan dan sektor swasta (saya mencadangkan kepada mereka untuk mendapatkan hotel-hotel lima bintang agar menghidangkan sayur-sayuran yang ditanam di halaman pusat jagaan).

Ketika acara Maulidur Rasul secara hibrid di Seremban, selepas puji-pujian kepada Nabi Muhammad SAW, Yang di-Pertuan Besar telah menggesa kerajaan negeri untuk mentadbir rakyatnya dengan baik tanpa mengira bangsa, agama dan hubungan politik.

Terutamanya kini secara statistiknya populasi dewasa yang mendapat dos vaksin lengkap di Negeri Sembilan sudah melebihi 100 peratus (disebabkan oleh warga luar Negeri Sembilan).

Sesiapa yang mempercayai Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara harus bekerja untuk memastikan bahawa pengajaran yang didapati dari Covid-19 bererti nilai-nilai kebangsaan kita kini menjadi lebih kuat dan lebih meluas.

* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Presiden Pengasas IDEAS

Klik di sini untuk terus membaca