FIRMA Perunding Pertahanan Antarabangsa (SADAT) yang ditubuhkan di Turki tiba-tiba mendapat perhatian di Barat apabila Amerika Syarikat (AS) menuduhnya melatih para pejuang Syria yang kemudian menyokong tentera pro-Turki di zon perang.... Klik di sini untuk terus membaca

FIRMA Perunding Pertahanan Antarabangsa (SADAT) yang ditubuhkan di Turki tiba-tiba mendapat perhatian di Barat apabila Amerika Syarikat (AS) menuduhnya melatih para pejuang Syria yang kemudian menyokong tentera pro-Turki di zon perang.

Manifesto firma itu pula menyatakan SADAT menyasarkan untuk membantu dunia Islam untuk mengambil peranan sebagai kuasa global yang mampu berdiri sendiri.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Firma Perunding Pertahanan Antarabangsa SADAT, Melih Tanriverdi memberitahu AFP dengan menafikan bahawa firmanya itu menjadi 'senjata rahsia' Turki dalam perang yang berlaku di Afrika Utara dan Timur Tengah.

Menurutnya, semua dakwaan tersebut merupakan sebahagian daripada kempen Barat yang mahu memburuk-burukkan imej Turki dan Presidennya, Recep Tayyip Erdogan.

RECEP TAYYIP ERDOGAN - Foto AFP

"Firma kami tidak ada mempunyai kaitan untuk menjadi sebuah pertubuhan askar upahan. Kemasukan SADAT ke dalam lapangan pertempuran adalah sebagai kumpulan sekerja bagi menentang kuasa-kuasa global," katanya dalam wawancara dengan AFP baru-baru ini.

SEJARAH SADAT

SADAT ditubuhkan pada tahun 2017 oleh bapa Melih iaitu Adnan yang merupakan bekas pegawai tentera Turki yang berpangkat Brigadier Jeneral dan perkhidmatannya ditamatkan ketika pengaruh Islam dihalang daripada berkembang dalam pasukan pertahanan negara itu.

Adnan kemudian menjadi penasihat kanan keselamatan Erdogan selepas Presiden Turki itu terselamat dalam cubaan meramapas kuasa yang berjaya digagalkan pada tahun 2016.

Namun, beliau kini tidak lagi menjadi penasihat keselamatan Erdogan.

Firma SADAT itu turut didakwa memainkan peranan secara senyap-senyap bagi mempromosikan kepentingan Turki dalam dunia Islam ketika Presiden Recep Tayyip Erdogan berusaha untuk menempatkan kedudukan Turki di Afganistan selepas askar-askar AS berundur dari negara tersebut.

Turki juga pernah mencadangkan penggunaan kontraktor peribadi bagi melindungi sebuah lapangan terbang Kabul di Afghanistan supaya ia boleh dibuka kepada penerbangan antarabangsa beroperasi.

Peranan kontraktor itu secara teorinya diberikan kepada SADAT.

Melih berkata kepada AFP bahawa hanya SADAT boleh memberikan nasihat dan perkhidmatan latihan kepada unit-unit tentera serta keselamatan bagi memastikan keselamatan di lapangan terbang tersebut.

Logo firma itu berwarna hijau yang menunjukkan peta dunia dari Afrika Utara sehingga ke Timur Tengah dan sebahagian negara-negara tengah serta tenggara Asia.

Pada tahun 2020, Jabatan Pertahanan AS atau Pentagon menyatakan SADAT menghantar pasukan-pasukannya ke Libya untuk melatih para pejuang Syria bagi pihak Kerajaan Pemufakatan Kebangsaan Libya (GNA) yang mendapat sokongan daripada tentera Turki.

SADAT mengekalkan pemantauan dan bayaran kepada kira-kira 5,000 para pejuang yang pro-GNA di Libya, kata satu laporan daripada Pentagon ketika itu.

Melih menafikan dakwaan itu dan menyatakan dakwaan bahawa SADAT menghantar para pejuangnya ke Azerbaijan semasa negara itu berperang dengan Armenia pada tahun lalu untuk berebut wilayah Nagorno-Karabakh sebagai satu teori konspirasi.

"SADAT tidak pernah berada di Syria, Libya atau Azerbaijan. Adakah anda berpendapat kami cukup profesional untuk memperdayakan kuasa-kuasa global?" soalnya.

PENGANTARA TURKI DENGAN SYRIA

Bagaimanapun, seorang pakar keganasan di Institut Polisi Orion dan Universiti Amerika, Suat Cubukcu memberitahu AFP terdapat sumber-sumber berwibawa yang mendakwa SADAT memainkan peranan yang penting dalam memberikan latihan serta menggerakkan proksi di Syria termasuk menggunakannya sebagai askar upahan.

Syarikat SADAT dituduh Amerika Syarikat membantu Kerajaan Pemufakatan Kebangsaan Libya. - Foto AFP

Menurut laporan daripada seorang pegawai AS, SADAT merupakan pengantara antara Turki dengan para-pejuang Syria dan dihantar oleh Ankara ke zon perang sebagai proksinya.

Seorang Pengarah Program Timur Tengah di Institut Penyelidikan Dasar Luar, Aaron Stein berkata kepada AFP, terdapat banyak spekulasi bahawa pihak perisikan Turki mengupah rakyat Syria sebagai proksinya dalam operasi di luar megara.

Namun, Melih enggan memberitahu nama-nama pelanggan SADAT.

Beliau berkata, SADAT memerlukan kelulusan kerajaan Turki untuk 'mengeksport' perkhidmatan atau produk keselamatan ke luar negara tetapi tidak menerima arahan daripada mana-mana kementerian Turki.

Bagaimanapun, katanya, negara-negara yang terletak beribu kilometer jauhnya dari Turki menyebarkan berita palsu tentang Erdogan dan Adnan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca