SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sepatutnya bersyukur dengan keputusan UMNO bersetuju mengagihkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi dua parti Melayu berkenaan pada pilihan raya negeri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sepatutnya bersyukur dengan keputusan UMNO bersetuju mengagihkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi dua parti Melayu berkenaan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka kelak.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau dimaklumkan dalam satu perbincangan awal di antara UMNO, Pas dan Bersatu, kedua-dua parti Melayu yang membentuk koalisi Perikatan Nasional (PN) itu difahamkan tidak bersetuju dengan cadangan UMNO untuk menyerahkan hanya empat kerusi DUN kepada mereka.

Jelas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu lagi, Bersatu dan Pas tidak boleh menyalahkan UMNO sekiranya parti itu terpaksa memutuskan untuk bertanding secara solo kerana tawaran agihan kerusi yang dikemukakan adalah adil dan bertimbang rasa.

Bersatu dan Pas sepatutnya bersyukur dengan kesediaan UMNO menyerahkan empat kerusi DUN kepada mereka sebagai syarat bekerjasama menghadapi PRN Melaka.

"Sebelum ini, saya difahamkan UMNO bersedia untuk menyerahkan dua kerusi DUN kepada Bersatu dan dua kerusi DUN kepada Pas, tetapi Bersatu tolak kerana mereka mahu mendapatkan tambahan kerusi pilihan raya.

"Memandangkan kekuatan kedua-dua parti berkenaan (Pas dan Bersatu) lemah dengan Bersatu hampir tiada kekuatan akar umbi bagi menghadapi PRN Melaka, Bersatu dan Pas sepatutnya bersyukur kerana UMNO masih sanggup memberikan empat kerusi DUN kepada mereka bagi mengelak pertembungan tiga penjuru.

"Kedua-dua parti itu juga perlu menerima hakikat sebarang kerjasama PRN Melaka harus memastikan UMNO menjadi ketua kerajaan negeri itu semula," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengulangi pendirian parti itu untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka yang dijadualkan pada 20 November hadapan.

Ahmad Zahid turut melaungkan keyakinan BN mampu menang pada PRN Melaka berdasarkan 'permasalahan’ di ‘pihak sebelah sana' ketika ini.

Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya tidak boleh menunggu terlalu lama ‘rakan di sebelah sana’ untuk membuat keputusan sama ada sedia bekerjasama atau tidak, semata-mata bagi mengelak pertembungan pada PRN Melaka.

PRN Melaka mungkin menyaksikan UMNO bakal bertanding secara solo susulan Bersatu membayangkan kesediaan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri mengakui Bersatu dan Pas tidak boleh menyalahkan UMNO sekiranya parti itu bertegas untuk bertanding secara solo pada PRN Melaka.

Jelas beliau, hal ini kerana di Melaka, UMNO masih merupakan parti Melayu yang paling kuat serta menerima sokongan akar umbi yang kukuh berbanding dua parti berkenaan.

"Bersatu merupakan parti yang tiada kekuatan akar umbi serta dianggap paling lemah, manakala Pas pula tidak menang satu kerusi pun pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Justeru, sekiranya Bersatu dan Pas masih enggan bersetuju menerima 4 kerusi DUN ditawarkan, UMNO tiada pilihan lain selain bergerak solo," katanya.

Di sebalik situasi terkini membabitkan hubungan UMNO dengan Pas dan Bersatu, Mohamed Nazri masih berharap ketiga-tiga parti itu mencapai kata sepakat bagi menghadapi PRN Melaka.

"Di sebalik permasalahan berlaku, saya masih mengharapkan persefahaman antara tiga parti yang tercapai di peringkat Pusat akan dapat diteruskan ke peringkat negeri.

"Hal ini kerana tanpa kerjasama parti-parti Melayu ini bagi mengelakkan pertembungan tiga atau lebih penjuru, usaha untuk mengekalkan kerajaan di Melaka pastinya berdepan cabaran besar," katanya.

Sementara itu, sumber UMNO memaklumkan kepada Sinar Premium bahawa Pas menuntut lima kerusi DUN, manakala Bersatu meminta lapan kerusi DUN sebagai syarat kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka.

Pada PRU14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi DUN Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala Pas gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Klik di sini untuk terus membaca