SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin membidas pendirian terkini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan Perikatan Nasional (PN) bakal... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin membidas pendirian terkini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan Perikatan Nasional (PN) bakal bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Menyifatkan kenyataan Pengerusi PN itu sebagai 'melatah', Exco Kerajaan Negeri Pahang itu turut mempersoalkan niat PN dan Bersatu seolah-olah tidak berminat untuk bekerjasama dengan UMNO sejak daripada awal perundingan lagi.

Jelas beliau, kenyataan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu bergerak solo pada PRN Melaka tidak wajar diertikan sebagai parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu dan Pas.

Sebaliknya Mohd Sharkar menjelaskan ketetapan itu dikemukakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai pencerahan parti itu mahu menggunakan lambang sendiri iaitu BN pada PRN Melaka.

"UMNO belum lagi keluar kenyataan hendak bertanding berapa kerusi, tiba-tiba Muhyiddin pula sudah buat keputusan untuk bertanding semua 28 kerusi (DUN)...Sebenarnya siapa yang melatah dahulu?

"Presiden UMNO (Ahmad Zahid) hanya cakap parti akan pergi solo bukan untuk tolak persefahaman politik (dengan PN). Tetapi keputusan itu atas keperluan UMNO mahu bertanding menggunakan lambang koalisi sendiri iaitu BN.

"Jadi Muhyiddin sebenarnya yang hendak sangat pertembungan tiga penjuru berlaku. Ini bukan salah UMNO. Siapa sebenarnya tidak mahu persefahaman? BN atau PN?" Katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengulangi pendirian parti itu untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka yang dijadualkan pada 20 November hadapan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN sebelum ini dilaporkan berkata, koalisi itu sudah bersiap-sedia untuk meletakkan calon pada kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelas Muhyiddin, pihaknya tidak boleh menunggu terlalu lama ‘rakan di sebelah sana’ untuk membuat keputusan sama ada sedia bekerjasama atau tidak, semata-mata bagi mengelak pertembungan pada pilihan raya itu nanti.

Sementara itu, sumber UMNO memaklumkan kepada Sinar Premium bahawa Pas menuntut lima kerusi DUN, manakala Bersatu meminta lapan kerusi sebagai syarat kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka.

Pada PRU14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi, manakala Pas gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar turut mencabar Muhyiddin untuk menarik balik kenyataan beliau itu sekiranya Bersatu dan PN benar-benar serius mahu mewujudkan kerjasama politik dengan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka.

Mohd Sharkar

"Secara mudahnya, bila UMNO memutuskan untuk bertanding di sesebuah kerusi DUN, Pas dan Bersatu tidak wajarlah bertanding di kerusi berkenaan sebagai komitmen permuafakatan sesama parti Melayu.

"Soalnya sekarang, adakah Muhyiddin sanggup untuk tarik balik kenyataan PN bakal bertanding di kesemua 28 kerusi?

"Bila dia (Muhyiddin) cepat sangat melatah dengan umum tanding semua kerusi, keputusan itu akan bakar keinginan 28 bahagian parti itu dan koalisi PN di Melaka untuk turut bertanding," katanya.

Beliau turut berpandangan PN sepatutnya memberi ruang kepada UMNO bertanding sekurang-kurangnya 15 daripada keseluruhan 23 kerusi DUN Melaka yang memiliki majoriti pengundi kaum Melayu jika mahu menjayakan kerjasama politik BN dan PN di Melaka.

Jelas beliau, jumlah lapan kerusi DUN yang ditawarkan kepada Bersatu dan Pas adalah mencukupi dengan Bersatu mungkin boleh menawarkan dua kerusi kepada Pas.

"Kita ada 23 kerusi majoriti pengundi Melayu di Melaka. Sepatutnya PN bagilah UMNO bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi, jadi Bersatu dan Pas boleh bertanding lapan kerusi.

"Bersatu pun mungkin boleh bagi Pas bertanding dua kerusi, kalau sayang lagi kepada Pas, berilah tambahan satu lagi kerusi. Jadi Bersatu bertanding lima kerusi, Pas tiga kerusi.

"Cukuplah untuk mereka. Kalau cadangan sebegini dipertimbangkan, rasanya tiada masalah untuk UMNO wujudkan persefahaman politik pada PRN Melaka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca