FOKUS utama Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung tidak lama lagi ialah menjurus kepada isu penyelewengan dan rasuah.
Pengarah Strategik Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, parti itu konsisten dengan pendirian memperjuangkan keadilan, ketelusan dan perkhidmatan untuk rakyat.
"Amanah mahu perjuangkan kesejahteraan hidup rakyat, maka sudah tentu Amanah akan menentang sebarang bentuk penyelewengan dan rasuah," katanya.
Turut disentuh bekas Menteri Kesihatan itu dalam wawancara bersama Sinar Ahad ialah mengenai pandemik Covid-19 yang melanda negara, isu arak dan judi.
Sinar Ahad: Sebagai bekas menteri bagaimana Datuk Seri melihat situasi semasa negara berkaitan dengan pandemik Covid-19 pada ketika ini?
Dzulkefly: Pada waktu ini, di peringkat nasional, jumlah kes telah menunjukkan perubahan yang positif bersekali dengan trend kadar insiden kes iaitu per 100,000 penduduk yang juga menurun.
Trend yang sama juga disaksikan dengan penggunaan fasiliti kesihatan termasuk katil bukan Unit Rawatan Rapi (ICU), katil ICU dan ventilator. Keberkesanan vaksin antara faktor penentu menyebabkan penurunan kes.
Tidak syak lagi, inilah fungsi dan peranan vaksin yang kita mahukan bertindak untuk melindungi rakyat kita dan akhirnya akan dapat menurunkan kematian yang boleh dielakkan atau dengan istilah 'preventable deaths', seperti istilah yang diguna pakai dalam jurnal 'Public Health England' dari United Kingdom.
Namun begitu, kita jangan mudah selesa dan cuai mematuhi amalan prosedur operasi standard (SOP) khasnya pemakaian pelitup muka, kalau benar-benar kita mahukan 'kebebasan' ini tidak lagi diganggu-gugat dengan apa jua kekangan pergerakan atau pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perlu diberikan penumpuan serius untuk mengawal apa jua potensi perebakan atau 'outbreak'. Di peringkat nasional, kita masih mempunyai 580 kluster yang masih aktif dan 12 kluster terkini yang dilaporkan semalam.
Cumanya, trend selepas sekatan rentas negeri membimbangkan. Hospital awam dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Zon Tengah iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Data bagi per 100,000 populasi juga serupa berlaku di Sarawak terutama bagi pesakit kategori 3, 4 dan 5 selepas kebenaran rentas negeri diberikan.
Apakah kelemahan-kelemahan utama yang perlu diperbaiki bagi memastikan kes-kes Covid-19 terus terkawal?
Setelah 18 bulan dalam pandemik ini dan kini telah mula diuar-uarkan negara akan masuk dalam fasa endemik, wajar segala pengalaman dan khasnya kelemahan kita diakui.
Lantas dengan itu, segera diatasi supaya dapat dibendung, andainya berlaku perebakan yang mungkin juga menjadi agak serius seperti di Singapura atau Israel.
Di samping peranan rakyat untuk mematuhi SOP yang sewajarnya akan menjadi amalan harian dan budaya kita, keutamaan adalah meningkatkan keupayaan dan penggunaan teknologi dalam kaedah pengurusan pandemik dengan istilah FTTISV iaitu Find (cari), Test (uji), Trace (kesan), lsolate (kuarantin), Support (sokongan) dan Vaccine (vaksinasi) adalah amat mustahak.
Saya ingatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya segera memperkasakan HIDE atau Hotspots Identification for Dynamic Engagement iaitu satu sistem amaran awal yang lebih bersepadu bagi mengenal pasti sesuatu kawasan dan premis yang berisiko atau berpotensi menjadi hotspots atau pusat penyebaran virus Covid-19.
Sistem amaran yang menggunakan analisis dataraya dan kecerdasan buatan menerusi pengesanan kontak dan membuat ramalan kemungkinan terjadinya sesuatu kluster adalah metodologi untuk benar-benar mengawal perebakan Covid-19 ini.
Kalau Malaysia tidak mahu bertindak seperti dahulu, sentiasa reaktif dan 'fire-fighting', dengan izin, HIDE mesti diperkasakan. Kalau MOSTI tidak mampu, izinkan pihak lain membantu, termasuk STFC yang punya platform "ACURA-AI" kami. Ini wajib dikuasai MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kedua adalah merumuskan 'T' atau Testing dengan kata lain 'National Testing Strategy' atau 'Strategi Ujian Nasional' (SUN) yang amat dinanti-nantikan semua pihak termasuk rakyat jelata, di samping semua sektor ekonomi, khasnya majikan-majikan yang tidak mahu operasi perniagaan atau perusahaan mereka ditutup akibat penularan Covid-19.
Strategi dan polisi segala macam aspek ujian ini, termasuk jenis, kekerapan dan pengulangan, mesti mudah difahami dan senang dilaksanakan.
Yang penting majikan dapat segera bertindak membendung kes-kes tanpa perlu menutup kilang pembuatan, tapak pembinaan, perusahaan pelancongan, logistik, pejabat atau tempat kerja dengan mematuhi set SOP ujian yang jelas ditetapkan secara berterusan atau SOP ketika berlaku sesuatu pencetusan kes dalam kalangan pekerja di tempat kerja. Justeru, SUN adalah sama penting dengan HIDE dalam membendung wabak Covid-19.
Ketiga adalah mengatasi kelemahan 'T' untuk 'Trace' atau pemerkasaan teknologi untuk kontak rapat. Sejujurnya inilah kelemahan utama dalam proses pembendungan pandemik di Malaysia. Telah saya ulangi perkara ini beberapa kali sejak pandemik ini.
Saya ulangi, Malaysia mesti mengatasi keupayaan 'Contact Tracing' dengan teknologi dan tidak membebankan frontliners untuk mencari kontak rapat dengan membuat panggilan telefon. MySejahtera sebagai platform teknologi contact tracing mesti diberdayakan segera.
Tidak perlu saya ulangi kritikan saya tentang MySejahtera, sebab Menteri Kesihatan, (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) telah bersetuju supaya proses pencarian kontak rapat mesti pantas dan automatik untuk mengalahkan kepantasan transmisi dan varian mutasi virus SARS CoV-2 ini.
Sebagai contoh, dengan menggunakan teknologi 'bluetooth' seperti @'TraceTogether yang dilakukan di Singapura, Taiwan atau Korea Selatan.
Itu sebahagian cara-cara kita membendung Covid-19 di masa akan datang, di samping mempertingkat segala fasiliti kesihatan yang bersifat 'hospital-based' termasuk jumlah kakitangan barisan hadapan.
Perlu juga diatasi kesenjangan (tidak seimbang) fasiliti di antara Semenanjung dan Borneo iaitu Sabah dan Sarawak. Semua ini wajib di atasi segera.
Terkini timbul kontroversi arak dan cabutan khas judi dari lapan kepada 22 kali. Apa respons Datuk Seri mengenai perkara ini?
Kedua-dua isu ini memberi gambaran tentang posisi Pas yang terperangkap dalam menghadapi situasi yang terkait dengan agama. Semasa sebelum dalam kerajaan sememangnya mudah dan lantang berbicara dan menjuarai isu agama.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah cuba dahulu, secara bertanggungjawab dan amanah menangani isu-isu rumit seumpama ini walaupun tetap dicemuh dan dituduh kurang lslam.
Kini, rakyat mahu lihat bagaimana Pas tangani konflik dan kontroversi, mengimbangi tuntutan etnik, budaya dan agama yang saling bersilang.
Pas tidak boleh lepas tangan. Alasan bahawa mereka adalah komponen kecil dalam kerajaan, dan mereka bukan menteri yang terlibat langsung adalah sikap tidak menghayati konsep tanggungjawab bersama sesebuah kerajaan atau collective responsibility.
Apa pun kerajaan mesti membuat penjelasan tentang kedua-dua isu ini secara tuntas dan telus sama ada yang terkait kelulusan jenama arak Timah atau bilangan cabutan khas.
Terpulang kepada rakyat yang menilai, tetapi tetap menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi penjelasan dan pencerahan mengapa langkah-langkah sedemikian, khasnya meningkatkan cabutan khas dari lapan kepada 22 yang dibuat.
Paling tidaknya umum tahu dan maklum PH sejak dari awal, tegas hanya mengizinkan lapan kali cabutan khas, satu polisi atau pendirian yang dianggap lebih wajar dan munasabah.
PH teruk dibantai lawan politiknya, kononnya kurang lslamik dan dilabel kurang Melayu. Kali ini giliran yang mendakwa lebih Islamik dan lebih Melayunya untuk buat pendirian dan polisi awam tentang perihal ini.
Sebelum ini Melaka ditadbir oleh PH dan Ketua Menteri, Adly Zahari yang juga Naib Presiden Amanah. Bagaimana Datuk Seri melihat prestasi negeri itu semasa ia di bawah pentadbiran Adly?
Pentadbiran Adly adalah yang pertama kali bagi sebuah kerajaan bukan UMNO-BN di Melaka. Antara sebab rakyat memilih PH pada PRU14 kerana inginkan perubahan berikutan perkembangan sosio-ekonomi, urbanisasi, pendidikan, media sosial yang membuka minda rakyat menjadi lebih terbuka.
Pentadbiran Adly membawa perubahan baharu dengan pengenalan terhadap satu bentuk urus tadbir yg telus dan beramanah. Kewangan negeri diurus dengan berhemah dan menekankan peri penting untuk memfokuskan perbelanjaan negeri untuk kesejahteraan rakyat.
Perbelanjaan berhemah dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan fokus kepada pengurusan hutang negeri yang lestari telah menyediakan Melaka kepada satu asas yang lebih baik.
Pentadbiran Adly juga menumpukan usaha menambahkan pendapatan kerajaan negeri. Ia dibuat melalui pembentukan polisi-polisi baharu yang cekap termasuk perumahan, menjana sektor-sektor tertentu seperti pelancongan, perkilangan dan perkhidmatan.
Saya menilai pentadbiran Adly berjaya mewujudkan polisi, program dan sistem penyampaian yang lebih baik berbanding pentadbiran sebelumnya.
Sistem penyampaian kerajaan Melaka dipertingkatkan dan daripada beberapa tinjauan selepas setahun pentadbiran Adly, terbukti rakyat Melaka memberikan respon dan markah yang baik kepada pentadbiran beliau.
Peluang PH dalam PRN Melaka?
Saya fikir rakyat boleh menilai kewibawaan dan kebolehan Adly sewaktu memimpin Melaka, justeru saya menyakini bahawa Amanah tetap mempunyai peluang dalam PRN kali ini. Namun, Amanah perlu bekerja lebih keras untuk mencapai tujuan tersebut.
Pada pandangan Datuk Seri adakah PH akan berhadapan masalah sekiranya bertindak mengambil empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah bertindak lompat parti hingga menyebabkan kerajaan negeri tumbang?
Mengenai empat ADUN yang menjatuhkan kerajaan Datuk Seri Sulaiman Md Ali itu, asasnya tindakan itu berlaku disebabkan masalah dalaman dalam pentadbiran Sulaiman sendiri, bukan dari PH. Keempat-empat ADUN itu mempunyai alasan dan sebab sendiri mengapa mereka bertindak demikian.
PH boleh bersama mereka dalam beberapa isu-isu tertentu, misalnya menentang rasuah dan penyelewengan. Namun dalam soal menerima empat ADUN itu, ia termasuk dalam keputusan bersama Majlis Presiden PH.
Amanah akan menerima keputusan bersama seperti yang diputuskan oleh Majlis Presiden kerana yang penting, sesuatu keputusan itu adalah secara konsensus yang menjadi tradisi dalam PH.
Apakah isu-isu penting yang perlu diberi perhatian dalam PRN Melaka?
Amanah tetap konsisten dengan pendirian bahawa kita memperjuangkan keadilan, ketelusan dan perkhidmatan untuk rakyat. Amanah mahu perjuangkan kesejahteraan hidup rakyat. Maka sudah tentu Amanah akan menentang sebarang bentuk penyelewengan dan rasuah.
Amanah juga akan memfokuskan isu- isu untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, yang sekarang ini rakyat berdepan dengan kesukaran akibat pandemik Covid-19 serta kelembapan ekonomi. Isu-isu ekonomi juga akan menjadi perhatian Amanah dalam kempen PRN Melaka kali ini.
Bagaimana Datuk Seri melihat Amanah pada masa depan?
Adalah keyakinan saya bahawa Amanah sebagai sebuah parti, punya masa depan yang cerah dan potensi yang besar untuk terus menempatkan parti ini di 'centre-stage' persada politik nasional.
Keyakinan saya berpijak di atas premis bahawa Amanah adalah penampilan sebuah parti politik yang sangat memahami susur-galur evolusi negara bangsa ini yang hampir 'sempurna' sifat kemajmukan atau diversiti etnik, budaya dan agamanya.
Sifat majmuk atau 'plural' masyarakat ini membawa dengan realiti itu, satu cabaran besar untuk mengurus tuntutan dan aspirasi atau kehendak pelbagai etnik, budaya dan agama, yang lazimnya saling bersilang dan 'bertempur' atau 'berkonflik'.
Dengan mengambil pendekatan menghayati lslam dengan memperjuangkan pelaksanaan tujuan-tujuan serta maksud-maksud besar syariah atau dengan singkatan Maqasid As Syariah, Parti Amanah Negara, amat selesa dipersepsi sebagai parti lslam kontemporari.
Parti lslam 'generasi pertama', secara fundamental akan memperjuangkan konsep negara Islam sekaligus pelaksanaan hukum hudud sebagai kayu pengukur kejayaannya.
Sebab itu, parti-parti Islam generasi pertama ini, umumnya mengukur kejayaannya dengan pelaksanaan Rang Undang-Undang 355 dengan pendekatan hukuman atau uqubah.
Parti Amanah Negara pula menekankan tujuan tertinggi syariah yang membawa kesejahteraan umat manusia atau 'societal well-being' dalam menggarap perjuangan politiknya, terutama dalam membangunkan semula negara bangsa ini, yang kerap berdepan dengan perbalahan antara kaum dan pertentangan agama sehingga ke saat dan detik ini.
Saya memandang Amanah sebagai parti komponen penting dalam PH yang akan terus mewarnai dan mencorak PH dengan pendekatan inklusif atau keterangkuman, sesuai dengan prinsip lslam yang mengiktiraf kemuliaan insan atau karamah insaniah sebagai asas pembinaan watan atau tanah air atau negara bangsa.
Inilah formula atau naratif sebuah Malaysia baharu yang didambakan seluruh lapisan kaum, budaya dan agama, agar kita berpadu dan kukuh membina semula negara tercinta ini, setelah enam dekad politik identiti yang memisahkan kita supaya kekal dalam identiti bangsa, budaya dan agama serta diadu-domba untuk saling berkonflik dan berbalah.
Di samping itu Amanah amat menganjurkan pelaksanaan tujuan-tujuan syariah menjaga lima kemestian syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, kemurnian keturunan dan harta atau kehidupan.
Keseluruhan ujuan ini, mentakrif dan memaknakan kehidupan yang sejahtera serta makmur untuk rakyat seluruhnya.
Persoalan kemiskinan mesti ditangani sepertimana juga nyawa dan kehidupan adalah tanggungjawab sebuah kerajaan supaya jangan ada yang melarat dan dikesampingkan dalam arus pembangunan seperti juga kemuliaan agama sama dihormati dan diskriminasi kaum, budaya dibanteras dengan keadilan Islam serta keluhuran undang-undang.
Sebaliknya kesemua cita-cita dan idealisme sedang dirobek dan didobrak dengan amalan identiti politik yang sangat jelek dan sempit. Tiba-tiba sahaja kita menganjurkan Keluarga Malaysia, tanpa memahami naratif dan sendi-sendi penting pembinaannya.
Sesungguhnya amalan dan politik ini adalah sangat berlawanan dengan konsep yang dianjurkan lslam dan al-Quran sebagai 'Politik Li-Ta'arafu' atau politik saling mengenali dan mengiktiraf', bukan 'Politik Li-Tanafasu' atau politik adu-domba.
Tidak apa kita tidak bersatu dalam wadah politik dalam sistem multi-parti negara tetapi yang penting tata politik mesti menghidupkan prinsip dan amalan semak-imbang yang dianjurkan sendiri oleh lslam dan al-Quran dengan konsep 'Sunnatud Tadafuq' (semak dan imbang) untuk mengelakkan pembobrokan, tadbir urus yang jelek, rasuah dan salah guna kuasa serta kezaliman.
Apakah harapan Datuk Seri terhadap masa depan negara?
Seperti rakyat dan setiap warga seluruh negara ini, semua kita mahukan negara yang maju makmur dan rakyat yang sejahtera.
Namun, saya khuatir laluan atau trajektori yang kita ambil adalah berlawanan dengan cita-cita yang kita dambakan.
Saya teringat beberapa bait Syi'ir bahasa Arab yang berbunyi: Tarjun an-Najah, wa lam tasluk masakilaha, inna Safinata la Tajri 'ala yabasi.
Ia bermaksud - Kamu mahukan kejayaan, namun kamu tidak menempuh jalan-jalan kejayaan... Sesungguhnya, kapal layar tidak berlayar di atas daratan.
Klik di sini untuk terus membaca