SELURUH dunia termasuk Malaysia berdepan ancaman Covid-19 sehingga ramai nyawa terkorban. Kerajaan terpaksa mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ekonomi negara mengalami kemerosotan, malah hospital dan pusat kuarantin sesak.... Klik di sini untuk terus membaca

SELURUH dunia termasuk Malaysia berdepan ancaman Covid-19 sehingga ramai nyawa terkorban. Kerajaan terpaksa mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ekonomi negara mengalami kemerosotan, malah hospital dan pusat kuarantin sesak.

Pandemik merupakan suatu bentuk ancaman yang boleh dikategorikan sebagai keselamatan bukan tradisional atau non-traditional security (NST) – ancaman yang berbeza dengan ancaman keselamatan tradisional, merujuk kepada konflik ketenteraan, politik dan diplomatik.

Ia melangkaui batasan ketenteraan dan kepolisan kerana mampu mengancam kelangsungan manusia itu sendiri, malah ia juga merangkumi aspek lebih luas seperti pencemaran, keselamatan sumber dan penyebaran wabak penyakit berbanding dengan keselamatan tradisional yang lebih tertumpu kepada isu-isu negara serta institusi berkaitan.

Keselamatan bukan tradisional juga menitikberatkan kepentingan keselamatan insan, berbanding keselamatan tradisional yang hanya memberi perhatian kepada ancaman dalam dan luar negara.

Strategi untuk menghadapi ancaman bukan tradisional memerlukan pendekatan lebih menyeluruh iaitu gabungan ketenteraan dan bukan ketenteraan.

Keselamatan bukan tradisional juga mampu menimbulkan ancaman terhadap kedaulatan negara, pembangunan negara dan kelangsungan manusia keseluruhannya.

Maka, timbul debat sejauh mana persenjataan konvensional seperti kereta kebal, jet pejuang dan kapal selam yang menelan belanja tinggi benar-benar dapat melindungi negara serta masyarakat.

Berjuta ringgit telah dibelanjakan untuk meningkatkan keupayaan persenjataan, namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa ketika berhadapan Covid-19. Tidak dapat dinafikan, Covid-19 sedikit sebanyak telah mencabar kewibawaan peranan persenjataan konvensional.

Namun, ia tidak bererti dunia sudah bebas daripada ancaman tradisional seperti pencerobohan negara asing, perlumbaan senjata, tuntutan dan pertikaian wilayah.

Malaysia sendiri masih berdepan dengan ancaman keselamatan tradisional. Pada awal Oktober, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita pencerobohan kapal China di perairan negara. Oleh itu, persenjataan konvensional masih diperlukan untuk tujuan keselamatan dan pertahanan.

Semasa menghadapi pandemik, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memainkan peranan penting termasuklah penglibatan mereka sebagai frontliners ketika PKP.

Pihak tentera mempunyai kepakaran bukan sahaja dalam persenjataan dan peperangan tetapi tahap disiplin yang tinggi digunakan untuk penguatkuasaan undang-undang darurat bagi memerangi pandemik.

Malah, tentera juga mempunyai kepakaran dalam perubatan dan bantuan kemanusiaan. Justeru, pengorbanan dan sumbangan tentera dalam menghadapi pandemik Covid-19 wajar diberi penghargaan dan penghormatan, di samping pengamal perubatan.

Semasa menghadapi cabaran Covid-19, peranan dan beban yang terpaksa dipikul tentera telah bertambah.

Pada amnya, tentera sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk berperang dan mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

Namun, dengan penularan Covid-19, operasi ketenteraan selain perang atau military operations other than war (MOOTW) telah dipertingkatkan.

ATM juga terlibat secara aktif dalam pelbagai operasi MOOTW di luar negara sehingga telah mendapat pengiktirafan organisasi antarabangsa dan pada masa sama, membantu meningkatkan hubungan diplomatik khas melalui diplomasi ketenteraan.

Amat penting untuk ditegaskan, walaupun kini ATM terlibat secara aktif dengan pelaksanaan tugas sekunder membantu negara menangani penularan Covid-19, namun ATM tidak mengabaikan tanggungjawab ketenteraan dan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang ancaman dari dalam serta luar negara.

Menurut Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, pandemik Covid-19 telah menjejaskan ekonomi negara dan seterusnya memberi kesan kepada proses kepada perolehan serta pembangunan aset-aset pertahanan yang dirangka.

Beliau menegaskan, ATM akan membuat perancangan yang sewajarnya agar aset sedia ada mampu meningkatkan sistem pertahanan negara supaya sentiasa dalam keadaan siap siaga.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca