PADA 8 Mac 2018, Malaysia telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas bersama 10 negara lain menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). CPTPP merupakan satu perjanjian yang dijenamakan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 8 Mac 2018, Malaysia telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas bersama 10 negara lain menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

CPTPP merupakan satu perjanjian yang dijenamakan semula oleh negara anggota Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) selepas Amerika Syarikat (AS) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada TPPA pada 2017.

Sebelas negara anggota CPTPP yang menandatangani perjanjian tersebut pada ketika itu ialah Malaysia, Jepun, Australia, New Zealand, Singapura, Brunei, Vietnam, Chile, Kanada, Mexico dan Peru.

Bagaimanapun, setakat hari ini, negara yang telah meratifikasi dan melaksanakan perjanjian tersebut adalah Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru manakala tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Chile masih belum melengkapkan proses ratifikasi.

Pada 20 September lalu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan bahawa Malaysia akan meratifikasi CPTPP dalam masa terdekat.

Pelaksanaan CPTPP akan membolehkan setiap negara peserta untuk mendapatkan akses pasaran dalam kalangan negara anggota bagi perdagangan barangan dan perkhidmatan di samping tarif yang minimum.

Di bawah CPTPP, negara anggota dijangkakan mendapat akses pasaran dan perdagangan melibatkan 500 juta penduduk dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan sebanyak AS$10 trillion.

Walaupun industri eksport negara didapati menjadi antara sektor yang mendapat manfaat besar daripada perjanjian tersebut disebabkan pasaran lebih luas, namun perkara sebaliknya dijangka berlaku kepada syarikat-syarikat tempatan.

Ini kerana langkah membuka meluas ekonomi Malaysia kepada negara lain dalam perjanjian tersebut dijangka memberikan kesan negatif kepada syarikat tempatan khususnya bagi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Apa yang merisaukan adalah kerana langkah tersebut akan menyebabkan berlakunya lambakan produk daripada negara-negara luar dan seterusnya menjejaskan pasaran sedia ada yang dimiliki PMKS tempatan.

Selain itu, isu keupayaan dan kapasiti PMKS tempatan bagi bersaing bersama dengan syarikat luar juga menimbulkan tanda tanya memandangkan keadaan tenat yang dihadapi oleh sektor tersebut kesan daripada pandemik Covid-19.

Seperti yang sedia maklum, sepanjang tempoh pandemik, sebanyak 37,415 PMKS di dalam negara terpaksa ‘gulung tikar’ dengan 26,007 daripadanya adalah usahawan mikro manakala 2,738 adalah PKS.

Selain itu, sektor PMKS negara yang disifatkan tulang belakang ekonomi negara juga telah merekodkan kerugian berjumlah RM40.7 bilion pada tahun lalu ekoran penutupan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang pandemik Covid-19.

Justeru, dengan mengambil kira realiti tenat yang dihadapi industri PMKS negara, adakah sekarang adalah masa yang tepat untuk membiarkan mereka bersaing dengan produk-produk luar khususnya daripada negara maju lain yang turut serta dalam CPTPP.

Pada masa sama, persoalan yang harus ditimbulkan adalah adakah proses meratifikasi perjanjian merupakan sebahagian daripada strategi yang digunakan oleh kerajaan untuk mencapai sasaran meningkatkan sumbangan PMKS kepada 45 peratus daripada KDNK.

Klik di sini untuk terus membaca