SUDAH hampir 19 bulan pandemik Covid-19 membawa kesan buruk kepada seluruh dunia. Selain meragut nyawa manusia, ramai yang hilang pekerjaan sehingga terhimpit dalam kemiskinan.
Sehingga hari ini, ekonomi di kebanyakan negara masih belum menampakkan pemulihan. Begitu juga di Malaysia. Kerajaan masih berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat kembali menjalani aktiviti seharian seperti sedia kala.
Sejak Covid-19 mula merebak di Malaysia awal Mac tahun lalu, kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengelak virus tersebut terus menular.
Maka, bermulalah sama ada yang bekerja sendiri atau makan gaji mengalami situasi tidak terjangka sehingga tidak kurang juga yang diisytiharkan muflis.
Dilaporkan, seramai 10,317 individu diisytiharkan muflis sepanjang PKP mulai Mac 2020 hingga Julai lalu. Selangor mencatatkan jumlah individu paling tinggi iaitu seramai 2,555 orang, diikuti Wilayah Persekutuan (1,288) dan Johor (792), manakala jumlah syarikat gulung tikar sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak 1,246 kes.
Menurut Lidah Pengarang Nanyang Siang Pau, dalam laporan tersebut walaupun tidak dinyatakan golongan mana yang muflis, namun tidak sukar meneka kebanyakan mereka adalah golongan B50 dan M40 yang tinggal di bandar-bandar utama. Begitu juga golongan T20 yang turut mengalami kesan teruk.
"Bagi golongan makan gaji, adalah mustahil mereka boleh muflis kerana mereka tidak menanggung hutang terlalu banyak.
"Sebaliknya, golongan muflis biasanya terdiri daripada B50, M40 dan T20 yang sebelum ini hidup senang serta agak mewah.
"Akibat pandemik Covid-19, kehidupan mereka terus tertekan setelah sumber pendapatan hilang sekelip mata.
"Ketika hidup senang, golongan ini mampu membayar hutang kepada bank tetapi malang bagi mereka yang kebanyakan terdiri daripada peniaga kerana dibebani hutang yang banyak setelah perniagaan terhenti untuk tempoh panjang,” ulas akhbar itu.
Bagi mengatasi masalah golongan yang muflis, kerajaan bagaimanapun tidak bersikap mendiamkan diri.
Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) yang akan dijalankan oleh sektor perbankan dalam masa terdekat bagi membantu peminjam dalam kumpulan 50 peratus terbawah atau B50.
Urus merupakan program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan ditawarkan kepada golongan B50 yang terjejas.
Ia turut merangkumi peminjam dalam kategori isi rumah B40 iaitu mereka yang berpendapatan kasar kurang RM5,880 sebulan.
Untuk golongan berkenaan, kerajaan menawarkan kemudahan pengecualian faedah untuk tiga bulan dan pengurangan bayaran ansuran bagi tempoh sehingga 24 bulan termasuk pengurangan kadar faedah.
"Dalam tempoh ini, individu yang terbabit dengan pinjaman atau pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.
"Permohonan akan dibuka dari 15 November ini sehingga 31 Januari 2022. Mereka yang memerlukannya harus mengambil peluang ditawarkan oleh kerajaan.
"Kita berharap skim kemudahan ini dapat diproses dan diluluskan dengan cepat bagi membantu golongan yang benar-benar menghadapi masalah kewangan ketika ini,” jelas Nanyang Siang Pau.
Difahamkan, bank-bank dianggarkan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi membiayai kos program tersebut. Ia akan dikelolakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang juga akan memberi bantuan pelan kewangan peribadi serta akses untuk pakej pendidikan pengurusan kewangan kepada peminjam.
* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca