DARIPADA sebuah negara ekonomi harimau yang disanjung dan dicemburui hanya dua dekad lalu, kita kini diancam kemungkinan menjadi harimau tanpa taring, kuku dan belang. Sebab itulah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, cabaran memilih... Klik di sini untuk terus membaca

DARIPADA sebuah negara ekonomi harimau yang disanjung dan dicemburui hanya dua dekad lalu, kita kini diancam kemungkinan menjadi harimau tanpa taring, kuku dan belang.

Sebab itulah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, cabaran memilih sebuah kerajaan baharu dan barisan kepimpinan yang dinamik sangat penting.

Maaf cakaplah kalau saya kata, Malaysia gagal mempamerkan kepimpinan dinamik, berwibawa dan berwawasan sejak lebih dua dekad, sebaliknya rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan semakin menjadi-jadi.

Ia sudah mencapai tahap pandemik apabila pegawai penguat kuasa, alim ulama dan cendekiawan terikut-ikut dengan kepimpinan politik menjadi pencuri, penipu, peliwat dan perogol.

Baru-baru ini dilaporkan konsortium mengandungi Edra Power Holdings Sdn Bhd dan syarikat Bangladesh, Winnievision Power Ltd telah memenangi kontrak membina loji penjanaan elektrik 660-megawat di Bangladesh.

Orang kita yang tidak tahu menahu mungkin bangga dengan kejayaan tempatan itu tetapi yang tahu, mungkin tidak gembira malah dukacita. Nama sahaja syarikat Malaysia tetapi pemilikannya bukan Malaysia.

Edra Power ditubuhkan sebagai anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk bergiat dalam penjanaan elektrik tetapi ia tidak mencipta apa-apa yang baharu.

Sebaliknya, ia berhutang untuk membeli kilang-kilang penjana elektrik bebas (IPP) hujung usia dengan harga mahal dan apabila tersepit, menjualnya dengan murah.

Edra Power membayar kira-kira RM12 bilion untuk membeli IPP ini dan apabila skandal 1MDB meletus, ia menjualnya kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN) dengan harga RM9.83 bilion pada hujung 2015. CGN adalah milik China.

Jadi, kalau kita gembira dengan berita kejayaan Edra Power memperoleh kontrak di Bangladesh, kita sekadar menumpang tuah China. Edra Power bukan lagi milik kita.

Inilah akibat apabila kita tersilap memilih dan melantik pemimpin. Harta milik kita boleh jatuh ke tangan orang asing dalam sekelip mata.

Beberapa hari ini hangat semula peristiwa kekalahan kita kepada Singapura di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam pertikaian Pulau Batu Putih atau Pedra Branca pada 2008.

Hal itu terjadi apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan bertitah, tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh jika benar ia mempunyai unsur kecuaian dan kesilapan. Seolah-olah menunjukkan mesejnya itu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Baginda bertanya mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan ketika itu? Adakah ia negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor, cuba jika Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?

Rungutan Sultan Johor dijawab panjang lebar oleh Dr Mahathir yang antara lain berkata, tidak wajar membandingkan Langkawi dengan Pulau Batu Puteh kerana Langkawi diiktiraf sebagai milik Malaysia dan tidak pernah dituntut oleh Thailand.

Berbalik kepada Edra Power, walaupun ia masih didaftarkan di Malaysia tetapi pemilikan dan kata putus ke atasnya adalah di tangan CGN yang ibu pejabatnya adalah di Shenzhen, China.

Adalah tidak mustahil suatu masa nanti apabila perniagaannya di luar Malaysia lebih besar dari di Malaysia, ia akan memindahkan ibu pejabatnya ke China atau negara-negara lain.

Kesimpulannya, sama ada kerana kesilapan, skandal atau dasar terbuka, kita telah hilang pemilikan ke atas Edra Power, sekali gus bergantung kepada IPP milik China untuk sebahagian bekalan elektrik kita. Dahulu kita menjana sendiri 100 peratus keperluan kita.

Walaupun dasar liberal pemilikan tanah dan harta membantu perkembangan ekonomi Malaysia tetapi kita menghadapi risiko kehilangan pemilikan dan kawalan ke atas aset strategik.

Sebab itulah kita kena faham selok-belok ekonomi global yang licik dan memilih pemimpin yang berintegriti.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca