SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 20 November ini sebagai sebagai tarikh berlangsungnya pilihan raya bagi memilih ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan susulan Ketua Menteri,... Klik di sini untuk terus membaca

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 20 November ini sebagai sebagai tarikh berlangsungnya pilihan raya bagi memilih ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan susulan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah hilang sokongan majoriti DUN Melaka.

Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan terhadapnya ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum penarikan sokongan itu, Sulaiman dilantik menjadi Ketua Menteri pada Mac 2020 atas sokongan 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN Barisan Nasional (BN), dua daripada Perikatan Nasional (PN) dan seorang ADUN Bebas.

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 11 kerusi DUN dengan DAP ada tujuh kerusi, Amanah dan PKR, masing-masing dua kerusi.

Idris ketika mengumumkan penarikan sokongan itu menyatakan pentadbiran kerajaan negeri yang tidak terurus kerana terdapat dua ekor singa di atas satu gunung adalah punca mereka mahu perubahan kepimpinan kerajaan negeri.

Idris mendakwa walaupun Sulaiman merupakan Ketua Menteri, namun terdapat campur tangan yang kuat daripada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan ia menjejaskan pentadbiran negeri serta kebajikan rakyat

Untuk berlaku adil, sehingga kini Idris tidak mengemukakan apa-apa bukti jelas untuk menyokong dakwaannya. Sulaiman turut tampil menafikan dakwaan Idris dan menyatakan urusan pentadbiran kerajaan negeri adalah bersandarkan mesyuarat Exco.

Pertandingan tiga penjuru antara BN, PN dan PH sudah tidak dapat dielakkan kerana keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 menolak kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang adalah atas inisiatif kepimpinan UMNO sekarang.

Jika kejatuhan kerajaan Melaka dikatakan berpunca daripada keadaan wujudnya dua atau tiga ekor singa di atas satu gunung, maka PRN Melaka kali ini juga akan menyaksikan pertarungan para singa daripada BN, PN dan PH merebut puncak gunung.

Saya menjangkakan setiap parti membawa calon heavyweight mereka untuk ditonjolkan sebagai calon Ketua Menteri.

BN sebagai parti yang berpengaruh besar di Melaka pasti akan mencalonkan Pengerusinya, Ab Rauf sekali gus meningkatkan spekulasi beliau sebagai bakal Ketua Menteri.

Selain Ab Rauf, BN juga mungkin meletakkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad sebagai salah seorang calon baharu bagi mengawal kerosakan dalam Parlimen Tangga Batu.

PH pula dijangka membawa Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai salah seorang calon kali ini bagi memastikan mereka dilihat membariskan calon yang meyakinkan untuk menerajui semula kerajaan negeri.

Mereka juga pastinya mempertaruhkan semula bekas Ketua Menteri, Adly Zahari dan tidak mustahil Idris juga.

Pendatang baharu arena politik negara, PN pasti akan terus mencalonkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen. Tidak mustahil Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin akan turut bertanding kali ini.

Jika Mohd Rafiq berlapang dada, PN mungkin akan turut mencalonkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bagi memperkuatkan profil calon mereka.

Keterasingan PRN daripada pilihan raya Parlimen kali ini akan membolehkan ramai ‘singa politik’ di Melaka turun bertanding.

Malah, dengan prosedur operasi standard (SOP) kempen PRN Melaka yang ketat, tokoh politik ternama dan sudah dikenali akan memberi kelebihan berbanding muka baharu.

Singa di Zoo Melaka mungkin boleh berehat seketika bagi memberi laluan kepada para singa politik Melaka berentap sepanjang November ini.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca