SHAH ALAM - Veteran UMNO menjangkakan Pas akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya koalisi Perikatan Nasional (PN) kalah teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November hadapan. Setiausahanya, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Veteran UMNO menjangkakan Pas akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya koalisi Perikatan Nasional (PN) kalah teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November hadapan.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, jangkaan itu dibuat susulan PRN Melaka bakal menjadi medan menguji kekuatan politik Barisan Nasional (BN) dan PN sebelum platform penentuan terakhir yang paling getir iaitu pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, Pas tidak wajar terus berada di dalam dua 'kolam' PN dan Muafakat Nasional (MN) atas alasan untuk menjadi ejen pendamai di antara UMNO dan Bersatu kerana sikap sebegitu hanya akan memberi keuntungan kepada Bersatu semata-mata.

Mustapha

"Pas mendakwa mahu menjadi ejen pendamai UMNO-Bersatu, namun hakikatnya itulah strategi parti itu untuk membuktikan ketaatan kepada 'abang besar' di dalam PN iaitu Bersatu.

"Tetapi apa akan jadi pada PRU15 sebenarnya banyak bergantung kepada PRN Melaka kerana medan ujian pilihan raya negeri itu akan menjadi penentuan kesinambungan kerjasama politik antara Pas, Bersatu dan UMNO/BN.

"Saya menjangkakan Pas akan meninggalkan Bersatu dan kembali mencari ruang untuk bergerak di bawah MN sekiranya PN kalah teruk pada PRN Melaka kelak,"katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

FORMULA NIK AMAR

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah yang mencadangkan formula pembahagian kerusi pilihan raya antara UMNO, Pas dan Bersatu paling mujarab bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRN Melaka.

Jelas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, UMNO dicadangkan bertanding pada 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan lebihan 14 kerusi lagi diserahkan kepada Pas (enam kerusi) dan Bersatu (lapan kerusi).

UMNO tidak boleh termakan terperangkap dengan formula yang cuba diusahakan PN bagi mendapatkan kelebihan dalam menghadapi PRN Melaka, 20 November hadapan.

Melalui formula dicadangkan Nik Amar itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkeyakinan kerjasama PN dan BN mampu memenangi sekurang-kurangnya 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka.

Beberapa penganalisis politik berpandangan sekurang-kurangnya 21 kerusi DUN di Melaka adalah terdiri majoriti pengundi kaum Melayu, manakala tujuh lagi kerusi DUN adalah majoriti pengundi bukan Melayu.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula menyifatkan penolakan kerjasama BN-PN yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini hanyalah suara peribadi pemimpin tersebut.

Mengulas lanjut mengenai status kerjasama UMNO-Bersatu, Mustapha menegaskan pucuk kepimpinan UMNO tidak perlu melayan kenyataan provokasi pemimpin-pemimpin Bersatu yang cuba menunjukkan seolah-olah PN 'kuat' dan mampu mendirikan kerajaan tanpa kerjasama UMNO dan BN.

BERSATU KENA UKUR BAJU

Jelas beliau, Bersatu sepatutnya kena ukur baju di badan sendiri dan berhenti memainkan sentimen permuafakatan politik dan Islam hanya semata-mata untuk mengambil kesempatan daripada kekuatan sokongan rakyat Melaka terhadap BN dan UMNO.

"Rujuk semula keputusan PRU14, Pas bertanding 24 kerusi DUN tetapi tidak menang, manakala Bersatu hanya menang dua daripada enam kerusi ditandingi dalam keadaan kerajaan BN dilanda tsunami politik terburuk dalam sejarah.

"Jadi apa rasionalnya mereka patut dapat kerusi DUN lebih? Saya setuju dengan pandangan Ahli Parlimen Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz)...UMNO setuju beri empat kerusi pun sepatutnya kena bersyukurlah.

"Saya yakin UMNO akan bergerak secara solo dan tidak akan bersama Bersatu mahu pun Pas pada PRN Melaka. Hanya 500,000 pengundi Melaka lebih tahu sokongan mereka kepada siapa dan biar parti terbaik yang menang kelak," katanya.

FORMULA LINTAH DARAT

Sementara itu, Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil menggesa pucuk kepimpinan UMNO agar tidak terperangkap dengan 'formula Belanda minta tanah' yang cuba diusahakan PN bagi menghadapi PRN Melaka kelak.

Tegasnya, sekiranya UMNO memberi kerusi kepada Bersatu pada PRN Melaka, parti itu pastinya akan memaksa UMNO untuk bekerjasama dalam PRU15 dan meminta tambahan kerusi pilihan raya.

Isham Jalil

"Jika kita (UMNO) menang, mereka akan kata ia sebab mereka (Bersatu) dan jika kita kalah pula mereka akan beri alasan kerjasama ini perlu 'dikuatkan' untuk menang PRU pula.

"Kita tidak boleh terperangkap dengan helah ini dan tergelincir di lurah licin atau 'slippery slope' mereka," katanya.

Bagi tujuan berkenaan, Isham menggesa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Oktober ini perlu mendukung hasrat akar umbi menolak kerjasama Bersatu sebagaimana diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 lalu

"PN minta 14 kerusi DUN di Melaka daripada 19 DUN kawasan pengundi majoriti kaum Melayu.

"Formula mereka ini adalah seolah formula lintah darat atau formula Belanda minta tanah," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca