SHAH ALAM - Kegelinciran status hidup rakyat angkara Covid-19 yang membadai sejak dua tahun lalu menyebabkan hampir 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 kini beralih pendapatan di bawah kumpulan B40. Perkara itu didedahkan sendiri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kegelinciran status hidup rakyat angkara Covid-19 yang membadai sejak dua tahun lalu menyebabkan hampir 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 kini beralih pendapatan di bawah kumpulan B40.

Perkara itu didedahkan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini apabila kerajaan menganggarkan jumlah kemiskinan isi rumah di Malaysia telah meningkat daripada 405,000 pada 2019 kepada 640,000 pada tahun lepas.

Bagaimanapun, apa yang turut membimbangkan jumlah penduduk negara yang tergelincir teruk sehingga berada dalam kelompok miskin tegar juga menunjukkan peningkatan ketara.

Pengarah Bahagian Kesejahteraan Rakyat, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Mashitah @ Suhailah Suid berkata, sehingga 15 Oktober 2021, sebanyak 262,888 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berstatus miskin tegar telah direkodkan di dalam Sistem eKasih. "Sebanyak 742,469 Ketua Isi Rumah (KIR) yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan telah berdaftar dalam sistem eKasih yang merangkumi 262,888 KIR berstatus miskin tegar dan 243,840 KIR berstatus miskin.

"Selain itu, 235,341 KIR dikategorikan sebagai terkeluar iaitu KIR yang berpendapatan lebih dari paras PGK semasa iaitu melebihi RM2,208 seperti yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, lebih menyedihkan golongan yang paling banyak tersenarai dalam Pendapatan Garis Kemiskinan adalah di strata bandar iaitu 54 peratus berbanding luar bandar iaitu 46 peratus.

"Sebanyak 506,728 KIR yang berstatus miskin tegar dan miskin yang mana berpendapatan di bawah PGK semasa sehingga Oktober lalu.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 276,110 berada dalam strata bandar dan 230,618 berstrata luar bandar,” katanya.

Golongan yang paling banyak tersenarai dalam Pendapatan Garis Kemiskinan adalah di strata bandar iaitu 54 peratus berbanding luar bandar iaitu 46 peratus.

Jelas beliau, statistik kemiskinan mengikut etnik menunjukkan masyarakat Melayu adalah golongan miskin tegar tertinggi dalam negara diikuti etnik lain-lain, India dan Cina.

"Masyarakat Melayu mencatatkan golongan miskin tegar tertinggi iaitu 153,584 (mewakili 58.4 peratus) diikuti etnik lain-lain dengan 90,205 (mewakili 34.3 peratus).

"Seterusnya, masyarakat India merekodkan 11,388 (mewakili 4.5 peratsu) manakala bangsa Cina mempunyai 7,711 (mewakili 2.9 peratus),” katanya.

Kemiskinan ikut negeriDalam pada itu, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, secara keseluruhannya, penularan pandemik Covid-19 telah memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dan mengubah struktur kumpulan isi rumah.

"Insiden kemiskinan mutlak meningkat daripada 5.6 peratus (2019) kepada 8.4 peratus. Insiden kemiskinan tegar pula dianggarkan meningkat daripada 0.4 peratus (2019) kepada 1.0 peratus.

"Insiden kemiskinan mutlak mengikut negeri menunjukkan Sabah mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 25.3 peratus berbanding tahun 2019 iaitu 19.5 peratus.

"Kelantan mencatatkan peningkatan kemiskinan yang ketara dengan peningkatan sebanyak 8.8 peratus diikuti oleh Terengganu dengan peningkatan sebanyak 5.9 peratus,” katanya.

Tambahnya, pendapatan isi rumah kasar bulanan purata menurun negatif 10.3 peratus dengan merekodkan RM7,089 berbanding RM7,901 pada tahun 2019 dan semua negeri mencatatkan penurunan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah.

"Penurunan ini disumbangkan oleh isi rumah atau individu yang telah mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan terutamanya mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain,” katanya.

Pada tahun 2020, bilangan isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 telah bertambah sebanyak 12.5 peratus.

Sementara itu, sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 hingga RM10,959 telah beralih kepada kumpulan B40.

"Memandangkan peratus penurunan pendapatan bagi isi rumah B40 dan M40 adalah lebih besar berbanding kumpulan isi rumah T20, maka agihan pendapatan bagi B40 dan M40 masing-masing menurun kepada 15.9 peratus dan 36.9 peratus berbanding tahun 2019.

"Isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 turut terkesan akibat pandemik Covid-19 yang mana sebanyak 12.8 peratus isi rumah daripada kumpulan ini telah beralih kepada kumpulan M40,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca