SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, begitulah nasib seorang ibu tua yang berhati mulia menjaga tiga anak orang kurang upaya (OKU) walaupun tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan tetap. Rokiah Othman,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, begitulah nasib seorang ibu tua yang berhati mulia menjaga tiga anak orang kurang upaya (OKU) walaupun tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan tetap.

Rokiah Othman, 72 tahun, berkata, sumber pendapatan yang diperoleh hanyalah daripada zakat, duit pencen arwah suami serta bantuan khas untuk anak OKU yang tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian serta ubat-ubatan.

"Perbelanjaan setiap bulan untuk ubat-ubatan sahaja lebih RM200 dan setiap bulan saya harus membeli tiga kotak susu bernilai RM215. Bil paling tinggi yang saya perlu bayar adalah bil api sebanyak RM270 sebulan.

"Kalau pergi hospital dan tidak cukup duit untuk membayar ubat-ubatan, saya akan membeli ubat tersebut untuk tempoh seminggu dua dahulu mengikut kemampuan.

"Kami juga pernah terputus ubat sehingga terpaksa masuk hospital,” katanya.

Rokiah bersama tiga anak OKUnya iaitu Mohd Firdaus (kiri), Zaini (dua dari kiri), Razali (dua dari kanan). - Foto Sinar Harian/ Mohd Halim Abdul Wahid

Ibu tunggal kepada enam orang anak termasuk tiga anak OKU, Zaini Mat Sirat, 45, Razali Jamal Chew, 39 dan Mohd Firdaus Mohd Rahim, 21, berkata, menjaga anak OKU yang mempunyai masalah kesihatan bukanlah mudah dan memerlukan perhatian serta kesabaran tinggi.

"Menjaga anak OKU ini cukup perit. Saya masih menguruskan makan, pakaian serta mencuci najis anak saya walaupun dia sudah mencecah usia 45 tahun. Sekiranya dia kurang makan, dia akan mula memukul saya.

"Lagi dua orang itu tidak ada masalah cuma mereka mempunyai masalah kesihatan dan sering keluar masuk hospital,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun berasa penat menyara anak OKU oleh kerana faktor umur yang semakin uzur, Rokiah tetap dengan pendiriannya untuk menjaga anak-anak ini sehingga akhir nyawa dan tidak sanggup menghantar mereka ke rumah kebajikan.

Di sebelah petang, Rokiah Othman akan duduk di luar rumah bersama anak-anaknya selepas membersihkan kawasan rumah. - Foto Sinar Harian/ Mohd Halim Abdul Wahid

"Sejujur nya, saya rasa penat dan sering menangis. Namun saya sering terfikir apa akan terjadi sekiranya saya sudah tiada lagi di dunia ini? Apa akan terjadi pada nasib mereka dan siapa yang akan menjaga mereka nanti?

"Selagi saya masih hidup, saya akan sedaya-upaya menjaga mereka dengan kudrat dan saya tidak mahu mereka diserahkan kepada jabatan kebajikan kerana saya amat menyayangi mereka dan ingin melihat terjaga di depan mata,” katanya.

Selain itu, Rokiah juga pernah menjaga dua orang anak yatim piatu selain tiga orang anak OKU namun terpaksa menghantar mereka ke rumah kebajikan akibat kesempitan hidup.

Rokiah Othman menyuap ubat kepada anak OKU nya, Razali Jamal Chew yang menghidapi masalah paru-paru. - Foto Sinar Harian/ Mohd Halim Abdul Wahid

BANTUAN KESIHATAN

Di samping itu, Rokiah berkata, jika ada yang sudi memberi bantuan kepadanya sekeluarga, dia hanya memerlukan bantuan dari segi rawatan serta ubat-ubatan sahaja memandangkan kos perubatan agak tinggi.

"Kepada sesiapa yang ingin menghulur bantuan, saya cuma minta duit ubat yang perlu dibayar sahaja dan rawatan hospital. Dari segi makan, tidak mengapa kerana masih mencukupi.

"Selain itu, saya juga turut mengharapkan bantuan untuk membetulkan atap rumah yang sudah bocor dan air akan bertadah sekiranya hujan. Ini kerana di bahagian rumah yang bocor itu adalah tempat saya memasak jadi ia amat menyukarkan saya,” katanya.

Rokiah Othman bersama Mohd Firdaus Mohd Rahim, 21 (kiri) sedang bersantai sambil mengenangkan kehidupannya bersama anak-anak. - Foto Sinar Harian/ Mohd Halim Abdul Wahid

Seterusnya, Rokiah berharap satu hari nanti anak-anak dapat sembuh dan dia dapat mengumpul duit untuk menunaikan umrah bersama anak-anaknya yang tercinta.

"Harapan saya adalah untuk melihat anak-anak sihat jadi saya selalu berpesan kepada mereka untuk sentiasa kuat. Tiada mak yang mahu melihat keadaan anak begini selamanya.

"Impian saya pula adalah untuk mengumpul duit dan jika ada rezeki, saya mahu menunaikan umrah bersama anak,” katanya.

Rokiah Othman berkata, kekuatannya adalah dengan mendekatkan diri pada Tuhan dengan mengaji al-Quran di sebelah pagi dan petang. - Foto Sinar Harian/ Mohd Halim Abdul Wahid

Untuk sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada akaun 22-064-105255-4 (Bank Rakyat - Rokiah Othman.

Klik di sini untuk terus membaca