BUKAN sahaja Sajat mencetuskan kontroversi tetapi kini timbul Timah pula.
Yang membezakan Sajat dengan Timah ialah seorang bernyawa manakala satu lagi tidak namun tetap meninggalkan implikasi besar ke atas mereka yang bernyawa.
Timah adalah jenama minuman keras iaitu sejenis wiski buatan tempatan yang kini menjadi perhatian ramai kerana dinamakan Timah.
Masalahnya ialah nama Timah kedengaran Melayu dan orang Melayu tidak minum wiski. Bijih pun kita sebut Timah. Namun bijih walaupun bunyi Melayu namun tidak dianggap sensitif kerana ia bukan minuman keras.
Di Semenanjung, sebut saja Melayu automatik masyarakat jadi sensitif dalam banyak hal khususnya yang berkaitan dengan soal halal-haram, agama dan bangsa. Ini kerana semua Melayu di Semenanjung dilahirkan sebagai seorang Islam.
Tidak ada mana-mana tempat atau wilayah atau bangsa di dunia ini yang dikaitkan dengan satu agama sahaja melainkan bangsa Melayu yang hidup di Semenanjung.
Di dunia Arab, ada Arab Muslim dan Arab Kristian. Begitu juga dengan Melayu di Nusantara. Melayu di Bali, Indonesia majoritinya Hindu. Melayu Batak di Sumatera, ada yang Islam dan ada yang Kristian.
Tetapi Melayu yang dilahirkan di Semenanjung, agamanya cuma satu iaitu Islam. Tidak ada kelompok Melayu di Semenanjung yang beragama Kristian, Buddha, Hindu atau Sikh.
Jadi apabila kontroversi wiski Timah ini mula viral dan diperkata ramai maka ramailah Melayu di Semenanjung yang mahukan wiski Timah ditukar nama atas nama ia boleh mengelirukan umat Islam dan Melayu.
Ke satu tahap, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkannya sebagai menghina puteri Rasulullah kerana menurut Hadi, orang Islam juga merujuk Fatimah Az-Zahra sebagai Timah.Keliru
Bukan penulis nak mencabar hujah Hadi tetapi cuba kita tanya balik, siapa dalam kalangan kita, umat Islam di Malaysia malah di dunia yang pernah merujuk puteri nabi dengan panggilan Timah. Rasanya tidak ada dan tidak pernah kot.
Sejak kita kecil dan dok mengaji agama di sekolah dan di surau, tak pernah walau sekali pun kita rujuk atau panggil Fatimah Az Zahra dengan panggilan Timah.
Tak pernah dengar lagi seumur hidup penulis siapa saja merujuk puteri nabi dengan panggilan Timah. Tak pernah, walau di dunia Arab sekali pun.
Tapi bila wiski ini timbul, tiba-tiba kita jadi sensitif dan cakap puteri nabi dirujuk sebagai Timah dan mahu nama wiski ini ditukar kerana ia menghina umat Islam.
Kalau macam tu lah keadaannya masa kita panggil bijih timah sebagai bijih timah kenapa tak ada siapa pun yang muncul berhujah nama bijih itu sama dengan nama puteri nabi dan perlu diubah.
Satu lagi hujah kita tentang wiski bernama Timah ini ialah ia dikhuatiri mengelirukan umat Islam.
Soalan penulis ialah, sejauh mana umat Islam akan jatuh keliru sehingga boleh terbeli wiski Timah ini di kedai-kedai runcit di seluruh negara? Dan berapa banyak kedai runcit di seluruh negara yang akan menjual wiski Timah ini? Hakikatnya ialah, jika kita dari asal tidak pernah membeli wiski, penulis rasa kat mana nak beli arak ini pun kita tak akan tahu. Tetapi jika kita kaki arak, jual di belakang kedai secara sembunyi pun kita tahu kat mana nak cari.
Kesimpulannya ialah, ini bukan soal arak nama Timah atau nama apa saja tetapi ia adalah soal keberkesanan pendidikan agama ke dalam diri kita dan anak-anak kita.
Inilah yang harus ditekankan kepada masyarakat, bukan soal halal dan haram. Soal halal dan haram akan sentiasa ada dan wujud di muka bumi.
Yang perlu ditunjuk ialah tahu membezakan antara yang halal dan haram.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca