SHAH ALAM - Kehilangan suami sebagai pencari nafkah keluarga secara mengejut akibat Covid-19 menyebabkan seorang ibu tunggal bersama empat orang anak kehilangan sumber pendapatan keluarga dalam sekelip mata. Suri rumah, Juhana Arshad, 38,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kehilangan suami sebagai pencari nafkah keluarga secara mengejut akibat Covid-19 menyebabkan seorang ibu tunggal bersama empat orang anak kehilangan sumber pendapatan keluarga dalam sekelip mata.

Suri rumah, Juhana Arshad, 38, berkata, dia tidak menyangka kematian suaminya baru-baru ini telah mengubah hidupnya serta anak-anak dengan hanya mengharapkan bantuan untuk hidup.

Dengan pendapatan suami sebelum ini lebih RM4,000 sebulan (status M40), keluarga Juhana kini jatuh ke dalam status B40 dan miskin tegar apabila tiada pendapatan diperoleh sejak dua bulan lalu.

"Arwah suami saya adalah seorang pemandu lori kontena dan dia yang keluar mencari rezeki untuk kami sekeluarga. Kami memang bergantung kepada dia namun, apabila dia pergi secara mengejut, kami hilang punca kewangan.

Anak sulung Juhana Arshad, Faris Danial Syahrul Nizam, 17 (kiri), cuba menenangkan ibunya yang dalam kesedihan apabila memikirkan nasib yang ditanggung nya selepas kehilangan suami akibat Covid-19.

"Sekarang ini, kami hanya berharap pada bantuan daripada keluarga, orang ramai dan kerajaan. Terdapat beberapa orang di kawasan berdekatan memberi sumbangan seperti beras, lauk serta barang keperluan dan keluarga juga ada bantu dari segi ubat-ubatan,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, beban yang paling berat yang perlu ditanggungnya ketika ini adalah beban hutang yang tinggi di samping memastikan anak-anak mendapat keperluan harian yang mencukupi setiap hari.

"Beban paling berat saya rasakan setakat ini adalah hutang seperti rumah, kereta, bil api dan air, kad kredit dan pinjaman peribadi arwah suami.

"Saya juga ada memohon zakat namun masih dalam proses. Jika ia akan mengambil masa yang lama, saya terpaksa menyewakan rumah yang saya duduki ketika ini dan pindah ke rumah adik bersama anak-anak buat sementara waktu,” katanya.

Juhana Arshad menunjukkan gambar terakhir arwah suaminya, Syahrul Nizam Mohd Daud, 41, pada hari pertama dia dimasukkan ke Hospital Serdang akibat Covid-19. - Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

Selain itu, Juhana mengakui bahawa dirinya tidak bersedia apabila kehilangan suami tercinta secara tiba-tiba akibat Covid-19 dan ia telah memberi impak yang sangat besar terhadap emosinya.

"Pemergian arwah dalam keadaan yang kami semua tidak bersedia. Dia meninggal dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Serdang lalu ditidurkan dan meninggal dunia pada 1 September lepas akibat Covid-19,” katanya.

Walaubagaimanapun, Juhana berkata, kekuatan yang dia miliki kini datang daripada anak-anak yang masih bersekolah dan memerlukan sokongan kuat daripada seorang ibu.

Juhana yang juga merupakan ibu kepada Faris Danial Syahrul Nizam, 17, Syamsul Jeffry Syahrul Nizam, 13, Haris Andryan Syahrul Nizam, 9 dan Syah Aezel Syahrul Nizam, 2, berkata, anak-anak juga sudah mula menerima pemergian ayah mereka.Juhana berkata, sempena Bajet 2022 yang akan datang pada bulan ini, dia berharap agar kerajaan memberi lebih banyak bantuan kepada golongan sepertinya yang kehilangan sumber pendapatan selepas kehilangan suami.

Juhana Arshad yang dipeluk oleh anak sulungnya, Faris Danial Syahrul Nizam, 17 (kiri), selepas tidak mampu menahan tangisan apabila menceritakan semula tentang pemergian suaminya yang merupakan satu-satunya sumber pendapatan keluarga.- Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Bagi saya, bantuan memang tidak cukup dari segi bayar hutang dan duit itu sentiasa terpakai untuk keperluan harian. Suami juga tidak sempat letak penama jadi urusan berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu amat menyulitkan pergerakan saya untuk pergi ke sana sini dengan anak-anak

Untuk sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada akaun 162852049965 (Maybank - Juhana Arshad).

Klik di sini untuk terus membaca