SHAH ALAM - Kerajaan perlu menimbang secara serius beberapa inisiatif dalam usaha pemulihan ekonomi rakyat dalam Bajet 2022 termasuk pengenalan semula Geran Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU). Ahli Dewan Negara... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menimbang secara serius beberapa inisiatif dalam usaha pemulihan ekonomi rakyat dalam Bajet 2022 termasuk pengenalan semula Geran Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU).

Ahli Dewan Negara (Wakil OKU), Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, geran itu penting bagi meningkatkan pendapatan golongan OKU apabila melibatkan diri dalam sektor ekonomi.

Menurutnya, ia merupakan satu inisiatif yang baik kerana berkonsepkan membantu usahawan OKU mendapatkan pekerjaan melalui pengembangan perniagaan usahawan OKU.

"Selain itu, saya melihat keperluan kerajaan memperkenalkan pusat sehenti untuk permohonan dana, geran atau bantuan perniagaan yang telah disediakan untuk usahawan OKU menerusi pelbagai kementerian dan agensi.

"Institut Keusahawanan Negara & SMe Corp juga perlu diperkasakan dan ditambahbaik supaya dapat memberi fokus kepada pembangunan usahawan wanita dan OKU,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ras Adiba berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga perlu proaktif dan memperkemaskan sistem pemberian geran kepada mereka yang baharu memulakan perniagaan.

Jelasnya, ia termasuklah memperkenalkan kuota khas kepada golongan wanita dan OKU dalam mendapatkan geran permulaan pembangunan teknologi terutamanya melalui ‘Cradle Fund’.

"Peruntukan juga harus diberikan kepada projek Ruang Reka kendalian MOSTI untuk melahirkan usahawan wanita dan OKU dalam bidang teknologi dan inovasi,” ujar beliau.

Tambah Ras Adiba, terdapat beberapa permintaan oleh golongan OKU untuk diketengahkan dalam Bajet 2022 kali ini termasuklah pembinaan Genius Kurnia yang ketiga di Malaysia, yang mungkin boleh dibina di Johor Bahru.

Selain itu, katanya, peruntukan bagi pengendalian kursus kemahiran bagi melatih lebih ramai orang untuk menjadi jurubahasa isyarat dan ia boleh dilaksanakan menerusi Bernama sebagai sebuah agensi kerajaan dalam memacu perkara ini.

"Kita juga mengharapkan penyediaan bantuan kewangan dan peruntukan khas bagi penyakit jarang jumpa terutamanya kepada LSD (Lumpy Skin Disease) dan Rett Syndrome yang terpaksa membayar kos perubatan yang tinggi.

"Beberapa cadangan lain yang mungkin boleh diberikan perhatian ialah pembukaan Pusat Mentari bagi membantu komuniti sekitar dalam menangani isu kesihatan mental dan memperuntukkan kepada Tadika Kemas bagi memperkenalkan Bahasa Isyarat sebagai bahasa ketiga,” katanya.

Beliau turut mengharapkan kerajaan menimbang untuk pembinaan sekolah sukan para yang pertama di Malaysia bagi membantu mencari bakat baharu dan meningkatkan mutu atlet para serta peruntukan bagi menambahbaik Pusat Kehidupan Berdikari (ILC) dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) OKU.

"Kerajaan juga boleh memperkenalkan perlindungan insurans kepada kesemua kategori OKU serta memperluaskan program MYSTEP serta memberikan kuota khas kepada golongan muda di kalangan OKU,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca