SHAH ALAM - Peningkatan jumlah rakyat miskin dan miskin tegar di bawah Kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) selepas pasca Covid-19 yang diukur daripada pendapatan diperlukan oleh sesebuah isi rumah adalah krisis yang perlu dibimbangkan dan ditangani.
Pakar Ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, kebarangkalian kadar kemiskinan untuk meningkat adalah tinggi disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan ini akan mempengaruhi golongan miskin tegar di negara ini.
"Kadar PGK ketika ini adalah perkara yang membimbangkan dan perlu ditangani, namun ia berlaku kerana kita sedang menghadapi pandemik Covid-19 dan ramai yang terkesan apabila dibuang kerja, tidak mempunyai pendapatan lebihan dan mungkin ada kerja-kerja lebihan masa yang dikurangkan.
Justeru itu, pendapatan mereka telah berkurangan dan membuatkan mereka jatuh ke golongan B40 yang menjadi suatu kebimbangan.
"Namun jika mereka ini terus jatuh ke golongan miskin tegar, ini yang perlu diambil serius yang mana kita perlu membantu dan menangani masalah ini. Apabila golongan miskin tegar makin bertambah tinggi, maka peratusan kadar kemiskinan juga akan meningkat daripada 5.6 peratus kepada kadar yang lebih tinggi.
"Kita juga perlu melihat PGK dari pelbagai dimensi dari sudut pembelajaran, pendidikan dan makanan jadi ini merupakan pendekatan berbeza dari pelbagai dimensi. Untuk sesuatu individu atau isi rumah itu masuk ke dalam golongan PGK, pendapatan mereka mesti lebih rendah daripada RM2,028.
"Mungkin ada jawatankuasa yang melihat sama ada PGK ini perlu dipertingkatkan namun pada saya, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah apa kesannya terhadap golongan B10 atau miskin tegar yang mempunyai pendapatan yang sangat rendah ini,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat pada September lalu, berdasarkan metodologi PGK 2019, PGK nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan, berbanding dengan PGK 2016 yang mengguna pakai metodologi 2005 iaitu RM980 sebulan.
Selain itu, daripada peruntukan Bajet 2022 ini, kerajaan harus meneliti bagaimana mereka mahu membantu golongan yang terkesan akibat Covid-19 terutamanya mereka yang hilang sumber pendapatan keluarga.
"Kita perlu melihat berdasarkan situasi kes-kes tertentu dan iaa akan mempunyai perbezaan dari satu individu ke satu individu lain. Contohnya, jika dia merupakan bekas kakitangan kerajaan dan telah meninggal dunia, kemungkinan dia mempunyai pencen yang boleh menampung perbelanjaan waris keluarga untuk sementara namun sebaliknya bagi pekerja swasta.
"Justeru itu, jika kita lihat dari pelan peruntukan Bajet 2022 ini, untuk menangani kes satu persatu itu agak sukar kerana belanjawan ini merangkumi satu golongan yang besar dan bukan tertumpu kepada satu individu-individu tertentu,” katanya.
Jelas beliau, selain mengharapkan bantuan daripada kerajaan, masyarakat dan waris kepada keluarga tersebut haruslah memainkan peranan yang penting untuk membantu golongan-golongan yang terkesan ini.
"Pertama, waris kepada keluarga golongan yang terkesan atau mereka yang hilang punca pencarian nafkah ini harus mengambil inisiatif untuk pergi ke pusat zakat untuk memohon bantuan kerana mereka sudah pun jatuh ke golongan asnaf.
"Kedua, saudara-mara atau jiran memainkan peranan untuk bantu dan bawa kes itu kepada Majlis Agama Islam mengikut negeri yang di duduki yang mana mereka mempunyai had kifayah bagaimana isi rumah itu dikategorikan golongan asnaf dan ada peruntukan perumahan, anak-anak untuk golongan asnaf.
"Ketiga, masyarakat perlu tahu jika jiran-jiran mengalami kesukaran dan bantu untuk memberi infomasi kepada Majlis Agama Islam untuk membantu mereka,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca