PERKEMBANGAN teknologi hijau masa kini semakin mendapat perhatian umum di serata dunia. Penggunaannya terutama di negara-negara maju boleh dikatakan semakin mendapat sambutan baik bukan sahaja daripada pihak pemerintah malah dalam kalangan... Klik di sini untuk terus membaca

PERKEMBANGAN teknologi hijau masa kini semakin mendapat perhatian umum di serata dunia. Penggunaannya terutama di negara-negara maju boleh dikatakan semakin mendapat sambutan baik bukan sahaja daripada pihak pemerintah malah dalam kalangan penduduknya sendiri.

Teknologi hijau secara umum merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada manusia. Dengan kata lain, sesuatu produk teknologi hijau itu perlu meminimumkan kesan kepada alam sekitar seperti pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar serta selamat di samping dapat menjimatkan tenaga dan penggunaan sumber asli yang menggalakkan penggunaan sumber boleh diperbaharui.

Namun, kesedaran dan penggunaan teknologi hijau dalam kalangan rakyat negara ini masih tidak memberangsangkan. Walaupun pelbagai kempen dan galakan daripada pihak kerajaan dan NGO, namun tidak memperlihatkan suatu hasil yang signifikan.

Walaupun pada Bajet 2020, kerajaan telah memperkenalkan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE), namun insentif tidak memberi manfaat kepada pengguna domestik yang dilihat perlu diberi perhatian lebih. Kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional ketika ini perlu dikurangkan kerana telah memberi kesan yang ketara kepada perubahan iklim di negara ini.

Pengecualian duti import terhadap peralatan berkaitan teknologi hijau perlu diperkenalkan. Kos bahan yang sedia tinggi akan meningkat sekiranya duti import dikenakan ke atas peralatan ini yang sudah pasti akan meningkatkan lagi kos pemasangan pengguna domestik.

Selain itu, kerajaan juga boleh memperkenalkan geran khas bagi pihak yang berminat untuk memulakan perniagaan berkaitan teknologi hijau. Ini penting bagi mewujudkan pasaran lebih terbuka dan persaingan yang lebih sihat. Keadaan sekarang memperlihatkan pasaran yang terhad telah mewujudkan monopoli dalam pasaran teknologi hijau.

Penggunaan teknologi hijau terutama dalam aspek tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar di perumahan pula masih terlalu rendah disebabkan kos pemasangan yang dianggap mahal dan tidak sesuai oleh isi rumah. Ini memberi bebanan kepada pengguna domestik walaupun kebanyakan berminat untuk menggunakan teknologi tersebut.

Justeru, kerajaan pada Bajet 2022 ini dicadangkan agar memberi pengecualian cukai kepada pengguna domestik atau individu yang membuat pemasangan peralatan tenaga yang boleh diperbaharui. Ini penting bagi galakan maksimum kepada pengguna domestik.

Di sektor projek perumahan, pihak pemaju dilihat tidak cenderung untuk mengaplikasikan tenaga diperbaharui pada projek mereka. Hal ini disebabkan ia akan mengganggu margin keuntungan yang akan diperoleh.

Kerajaan diseru meningkatkan lagi insentif-insentif kepada pihak pemaju perumahan agar dapat memberi manfaat kepada pembeli. Kerajaan juga boleh memberikan subsidi bersasar kepada bakal pembeli yang memilih projek perumahan yang memenuhi ciri-ciri bangunan hijau.

Teknologi hijau mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Selain dapat mengurangkan kos operasi, meningkatkan nilai aset dan keuntungan, teknologi hijau mampu mengekalkan kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber yang berlebihan. Kelestarian alam sekitar amat penting untuk masyarakat mewariskan kepada generasi yang akan datang.

Penglibatan pihak kerajaan secara serius amat diperlukan dan insentif-insentif sebegini diyakini mampu menjadi penggalak kepada peningkatan penggunaan teknologi hijau dalam kalangan masyarakat Malaysia.

* Dr Muhammad Azwan Sulaiman ialah Pensyarah Kanan di pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur UiTM Shah Alam serta seorang Teknologis Profesional

Klik di sini untuk terus membaca