MINGGU lepas saya telah pun kongsikan dengan anda apakah yang perlu dilakukan untuk memulakan pelaburan saham. Salah satunya adalah perlu memiliki akaun saham atau lebih dikenali sebagai akaun CDS (Central Depository System) dari Bursa... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lepas saya telah pun kongsikan dengan anda apakah yang perlu dilakukan untuk memulakan pelaburan saham. Salah satunya adalah perlu memiliki akaun saham atau lebih dikenali sebagai akaun CDS (Central Depository System) dari Bursa Malaysia dan akaun dagangan daripada bank pelaburan atau broker saham sebelum anda mula berdagang saham.

Akaun CDS adalah akaun di mana saham yang dibeli disimpan dan ianya diuruskan oleh Bursa Malaysia. Semua rekod saham-saham yang dimiliki akan disimpan di dalam akaun ini. Akaun dagangan pula adalah akaun di mana urusniaga jual beli berlaku yang mana diuruskan oleh broker saham.

Jenis Akaun CDS

Terdapat dua jenis akaun CDS iaitu direct dan nominee. Akaun direct merupakan akaun CDS yang didaftarkan atas nama anda sendiri. Bermaksud, nama anda sendiri digunapakai sebagai pemilik dan pemegang saham syarikat yang anda laburkan. Anda bukan sahaja layak untuk memohon IPO (Initial Public Offering), anda juga layak untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan yang diadakan setahun sekali dan laporan kewangan tahunan syarikat akan dihantar ke alamat anda. Sekiranya syarikat mengumumkan pemberian dividen, dividen tersebut akan dimasukkan terus ke dalam akaun simpanan yang anda daftarkan.

Berbeza dengan akaun nominees. Akaun ini tidak didaftarkan terus atas nama anda sebaliknya menjadikan bank pelaburan atau syarikat broker saham sebagai wakil anda. Akaun nominees ini hanya boleh digunakan untuk transaksi jual beli saham sahaja tetapi ia tidak boleh digunakan untuk memohon IPO awam atau IPO melalui tawaran di MITI dan ESOS (Employee Share Option Scheme).

Syarat pembukaan akaun

Untuk membuka akaun CDS dan dagangan, pemohon mestilah berumur 18 tahun dan ke atas dan tidak diisytiharkan muflis. Individu yang diisytiharkan muflis tidak boleh membuka akaun CDS dan akaun dagangan sehingga taraf muflis dibatalkan.

Dokumen perlu disediakan

Pemohon perlu menyediakan dokumen-dokumen dan bayaran berikut untuk pembukaan akaun CDS dan dagangan.

1) Salinan kad pengenalan

2) Salinan penyata gaji terkini

3) Salinan penyata bank terkini

4) Bayaran sebanyak RM10.60 yang dikenakan untuk yuran pembukaan akaun.

Semua dokumen ini memang tersedia ada di dalam simpanan kita dan mudah diperolehi pada bila-bila masa.

Di mana boleh buka akaun

Anda boleh pergi di mana-mana bank pelaburan atau syarikat broker saham untuk membuka akaun CDS dan dagangan.

Satu broker saham hanya boleh ada satu akaun CDS dan dagangan. Akaun CDS ini pula tidak boleh dikongsikan di antara broker.

Selepas akaun CDS tersedia, anda boleh mendepositkan dana ke dalam akaun dagangan.

Pastikan juga dana pelaburan yang hendak didepositkan ke dalam akaun dagangan adalah daripada lebihan simpanan yang anda ada dan bukannya wang kecemasan.

Klik di sini untuk terus membaca