SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman menyifatkan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak membenarkan sebarang aktiviti kempen secara fizikal, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya negeri (PRN) Melaka adalah canggung dan pelik.
Jelas bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau secara peribadi berpandangan sebarang pilihan raya yang tidak membenarkan aktiviti berkempen bukanlah sebuah pilihan raya berlandaskan amalan demokrasi.
Tambahnya, sekiranya amalan demokrasi disekat dengan larangan kempen pilihan raya dikuatkuasakan SPR kelak, pengundi terutama penduduk luar bandar mempunyai kesukaran mengenali calon serta memahami aspirasi manifesto pilihan raya ditawarkan setiap parti bertanding.
"Saya juga mempersoalkan mengapa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bertindak mendahului bidang kuasa SPR dalam mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka? Bila pula Khairy jadi pengerusi SPR?
"Apa sahaja urusan berkaitan PRN Melaka, biarlah SPR yang tentukan.
Tindakan Khairy satu perkara canggung dan pelik dan saya bersimpati dengan nasib parti-parti politik pada PRN Melaka," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Khairy yang menegaskan KKM tidak membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka melalui satu sidang media pada Ahad.
Khairy berkata, larangan yang akan berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November itu termasuklah penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Bagaimanapun, pendirian KKM itu tidak dipersetujui beberapa pemimpin politik daripada pelbagai parti dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan pengumuman kementerian itu secara tidak langsung menggambarkan semua aktiviti berkaitan pilihan raya di Melaka tidak dibenarkan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyemak semula larangan tersebut dengan memberi beberapa kelonggaran untuk berkempen.
Mengulas lanjut mengenai SOP PRN Melaka, Ab Rashid mencadangkan SPR perlu memberi sedikit ruang kepada semua parti politik untuk berkempen dengan aktiviti berkempen fizikal mungkin boleh dihadkan kepada kempen berkunjung rumah ke rumah sahaja.
Ujarnya, sekiranya SOP PRN Melaka dilaksanakan dengan ketat atas alasan membendung penularan Covid-19, tidak adil bagi kerajaan untuk mengenakan kawalan terhadap kempen pilihan raya semata-mata.
"Bagaimana pula dengan kehadiran rakyat mengunjungi pasar awam, kompleks membeli belah, majlis sosial seperti majlis perkahwinan dan sambutan hari jadi di mana aktiviti sebegini dibenarkan pada Fasa 4 PPN?
"Takkan hanya dikenakan kepada kempen pilihan raya sahaja? Lagi satu, kalau parti-parti bertanding hanya dibenarkan berkempen menggunakan media sosial dan cetak, adakah pengundi luar bandar terutama golongan warga emas akan dapat maklumat berkenaan?
"Kena ingat, 70 peratus pengundi PRN Melaka adalah terdiri penduduk luar bandar.
Kalau SOP ketat sebegini, saya cadang kerajaan tak payah buat PRN terus," katanya.
Sementara itu, pandangan berbeza dikemukakan bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang meminta parti-parti politik agar tidak mempertikaikan cadangan SOP khas PRN Melaka yang dikemukakan Khairy pada Ahad.
Jelas beliau, cadangan larangan berkempen fizikal dan mengadakan perhimpunan sepanjang PRN Melaka adalah tepat kerana KKM bercakap dari sudut kesihatan dengan semua parti politik perlu bersikap terbuka menerimanya.
"Banyak lagi cara parti politik boleh gunakan untuk berkempen tanpa perlu merisikokan keselamatan mengundi.
"Sebagai contoh, saya menganggap platform kempen menggunakan media sosial sebenarnya lebih berkesan digunakan pada masa kini. Ini kerana 95 peratus daripada 495,000 pengundi pada PRN Melaka lebih selesa mendapatkan maklumat di hujung jari menerusi platform media sosial," katanya.
Wan Ahmad turut menegaskan budaya berkempen pilihan raya di Malaysia sudah patut berubah dengan mentaliti parti politik mahu mempamerkan kekuatan masing-masing dengan menunjukkan jentera pilihan raya mana paling kuat serta poster pilihan raya paling banyak sudah tidak relevan.
"Zaman sekarang, perlumbaan menunjukkan poster pilihan raya atau jentera pilihan raya paling banyak bukan lagi sesuai dijadikan ukuran kekuatan sesebuah parti.
"Dengan lebih 300 pilihan raya kecil (PRK) dan 14 PRU sudah dilaksanakan PRU, mentaliti tunjuk kekuatan jentera pilihan raya dan menaikkan poster pilihan raya siapa paling banyak sudah tidak relevan.
"Sudah tiba masanya budaya berkempen cara baharu diperkenalkan dengan ia mesti mematuhi SOP ditetapkan KKM," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca