TEKA-TEKI sama ada wujud penglibatan parti-parti selain koalisi Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang diadakan pada 20 November hadapan akhirnya terjawab.
Setakat 25 Oktober ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang dipimpin bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ibrahim Ali sudah mengesahkan hasrat parti itu bakal bertanding paling maksimum lima kerusi DUN.
Kesediaan Putra itu turut disusuli dengan parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) yang kini sinonim dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila parti diwakili majoriti pemimpin muda berkenaan membayangkan kemungkinan bakal bertanding pada PRN Melaka kelak.
Bagaimanapun, Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) diterajui bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri yang dianggap 'testing ground' sebelum pelaksanaan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Pendirian sama turut diutarakan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) yang berpandangan PRN Melaka bukanlah waktu sesuai kepada parti itu untuk menguji kekuatan dan sokongan rakyat terhadapnya.
Bercakap kepada Sinar Premium, Ketua Penerangan Putra, Ashraf Rosli menegaskan keputusan parti itu dibuat bagi memberi opsyen kepada pengundi Melaka yang mendambakan perubahan kepemimpinan kerajaan negeri pada PRN kali ini.
Jelas beliau, Putra akan mempertaruhkan calon anak tempatan dan tidak sesekali memberi ruang kepada calon yang bukan ahli parti itu untuk bertanding pada pilihan raya negeri berkenaan.
"Pada masa sama, calon diketengahkan Putra bukan terdiri pemimpin kayangan yang tidak peka kepada permasalahan rakyat Melaka selama ini dan lebih sibuk menjarah hasil ekonomi negeri itu.
"Lima kerusi DUN bakal ditandingi itu juga sudah dikenal pasti dan merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.
"Soal sama ada kerusi DUN berkenaan berkaitan empat kerusi DUN yang kontroversi baru-baru ini atau merupakan antara sembilan kerusi yang dimenangi parti-parti Melayu lain dengan undi tipis, akan kita umumkan pada 6 November hadapan," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Di sebalik tumpuan PRN Melaka pada 20 November ini yang dijangka terarah kepada pertembungan koalisi-koalisi parti yang utama seperti BN, PN dan PH, beberapa penganalisis politik berpandangan penyertaan parti-parti kecil mampu memberi impak kepada keputusan pilihan raya berkenaan.
9 KERUSI SENGIT
Hal ini susulan daripada 28 kerusi DUN Melaka yang bakal dipertandingkan dalam PRN Melaka, terdapat sembilan kerusi DUN dijangka menjadi medan pertempuran sengit susulan majoriti tipis dimenangi oleh penyandangnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lepas.
Kesemua kerusi tersebut mencatatkan majoriti tipis kurang daripada 1,000 undi, sekali gus meningkatkan risiko kepada parti yang menang untuk mempertahankannya pada PRN tersebut.
Kerusi tersebut ialah Lendu, Taboh Naning, Gadek, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Klebang, Rim dan Merlimau.
Enam daripada kerusi tersebut disandang oleh BN (Lendu, Taboh Naning, Asahan, Pantai Kundor, RIM dan Merlimau), manakala Parti Amanah Negara (Durian Tunggal), Parti Keadilan Rakyat (Klebang) dan DAP (Gadek) masing-masing satu kerusi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November 2021.
PRN tersebut diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN Melaka pada 4 Oktober 2021 selepas empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hilang kepercayaan, sekali gus menarik sokongan terhadap kepimimpnan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
MUDA SEDIA
Sementara itu, Setiausaha Agung pro-tem Muda, Amira Aisya Abdul Aziz menegaskan parti itu secara dasarnya sudah bersedia untuk bertanding sama ada dalam sesebuah PRN atau PRU pada ketika ini.
Beliau juga secara peribadi berpandangan Muda tidak perlu menunggu pelaksanaan Undi18 untuk mengambil bahagian dalam PRN Melaka atau mana-mana pilihan raya akan datang.
"Tetapi memandangkan kedudukan Muda yang belum didaftarkan secara sah, banyak perkara yang perlu dipertimbang dan dibincangkan sebelum satu keputusan muktamad dibuat berkenaan pembabitan PRN Melaka.
"Hakikatnya, di peringkat akar umbi parti, kesediaan mereka untuk mengambil bahagian dalam PRN Melaka juga sangat kuat.
"Sama ada Muda akan bertanding atau tidak, perkara ini akan diumumkan dalam masa terdekat, namun secara peribadi saya yakin kami sudah bersedia terlibat dalam PRN Melaka," katanya.
PEJUANG, BERJASA TARIK BREK
Bagi Pejuang pula, Dr Mahathir yang juga pengerusi parti itu menegaskan pendirian Pejuang untuk kekal tidak meletakkan sebarang calon bertanding PRN Melaka nanti.
Jelas beliau, Pejuang juga tidak akan memberikan sokongan kepada mana-mana parti politik yang menyertai PRN berkenaan.
"Kita tidak akan bantu mana-mana pihak, kita berkecuali sama sekali.
"Ahli-ahli Pejuang tidak akan pergi atau berucap dalam PRN Melaka," katanya dalam satu sidang media yang turut dihadiri Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan Setiausaha Agungnya, Datuk Amiruddin Hamzah.
Pendirian Pejuang turut diikuti oleh sebuah parti serpihan Pas, Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) yang berpandangan PRN Melaka bukan jalan terbaik untuk menyelesaikan punca utama tercetusnya pilihan raya iaitu budaya lompat parti serta mementingkan kelangsungan politik peribadi.
Setiausaha Agungnya, Ir Lukman Al Hakim berkata, Berjasa turut komited tidak akan membenarkan mana-mana individu untuk bertanding menggunakan tiket Berjasa.
"Berjasa turut menyeru pengundi Melaka untuk mengundi calon pemimpin berintegriti tinggi dan bukan muka kitar semula yang terpalit dengan pelbagai kontroversi dan salah laku dalam pentadbiran kerajaan negeri terdahulu.
"Secara peribadi, Berjasa amat kecewa dengan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu kerana ia tercetus akibat sifat tamak haloba ahli politik serta pertikaman dalaman UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca