ALAM sekitar seimbang dan sihat adalah penting bagi membolehkan manusia memperoleh piawai hidup yang menyediakan keselesaan, keamanan dan kepuasan. Ia membuktikan kelestarian persekitaran adalah tunjang kepada status kualiti hidup masyarakat.
Kelestarian alam sekitar tidak akan berjaya tanpa dukungan masyarakat. Hal itu kerana masyarakat dan alam sekitar adalah dua entiti yang berkait rapat antara satu sama lain. Masyarakat memerlukan alam sekitar untuk memenuhi segala keperluan dan kehendak mereka bagi kelangsungan kehidupan manakala alam sekitar bergantung kepada masyarakat untuk menjamin kelestariannya.
Jika kedua-dua entiti itu terutamanya masyarakat dapat mengharmonikan perhubungan tersebut, dalam jangka masa yang panjang sudah pastilah wujud keadaan ‘timbal balik’ yang menguntungkan keduanya.
Kepenggunaan hijau adalah satu pergerakan sosial yang berkaitan dengan tingkah laku pengguna yang mesra alam. Prinsip 8, Agenda 21 memberi penekanan terhadap pencapaian pembangunan lestari dan kualiti hidup yang lebih baik untuk semua rakyat, yang mana negara hendaklah mengurang dan memberhentikan pola pengeluaran dan kepenggunaan yang tidak lestari, ringkasnya mengamalkan pola kepenggunaan hijau kalangan masyarakat. Pengguna sebagai ahli masyarakat boleh memainkan peranan mereka dengan mengamalkan perlakuan penggunaan yang pro alam atau kepenggunaan hijau.
Perlakuan pengguna yang pro alam ini merujuk kepada aktiviti penggunaan yang memberi faedah atau kebaikan kepada alam sekitar atau menyebabkan hanya kemusnahan yang minimum kepada alam sekitar. Antara contoh perlakuan yang pro alam adalah seperti menolak penggunaan plastik, penyedut minuman dan polistirena.
AMALAN HIDUP HIJAU
Kepenggunaan hijau merujuk kepada ungkapan ‘kian sedikit mengguna semakin baik’ yang mana organisasi penghasilan produk dan servis berusaha mengurangkan penciptaan dan penggunaan produk yang membahayakan alam sekitar yang termasuk dalam proses pembuatan dan pembuangan hasilan serta perkhidmatan.
Ia bermaksud apabila berbelanja terhadap barangan dan perkhidmatan, ahli masyarakat sebagai pengguna akan bertanggung jawab terhadap impak keputusan perbelanjaannya dengan mengenal pasti barangan yang sepatutnya dibeli dan tidak sepatutnya dibeli.
Di serata dunia, trend terkini juga menuntut masyarakat menggunakan persekitaran untuk kesejahteraan hidup dan pada masa yang yang sama menguruskan persekitaran tersebut supaya kesejahteraan hidup tersebut akan lestari.
Di Amerika Syarikat (AS), kian ramai masyarakat yang memandang masalah alam sekitar sebagai masalah yang serius, semakin teruk dan mengancam kesejahteraan manusia.
Dalam satu tinjauan, lebih satu per enam orang dewasa yang ditemu bual memilih alam sekitar sebagai isu paling penting yang sedang dihadapi oleh AS. Walaupun ekonomi masih merupakan pilihan utama orang ramai, semakin banyak individu enggan mengorbankan kualiti alam sekitar untuk keadaan ekonomi yang lebih baik.
Masanya telah tiba yang mana masyarakat Malaysia seharusnya lebih terkesan dengan pelbagai isu yang membabitkan alam sekitar di samping membudayakan amalan mesra alam dengan mengamalkan pakej hidup yang merangkumi pemupukan sikap, cara berfikir, jati diri, amalan dan budaya hidup yang mesra alam dalam berpakaian, berkenderaan, berkomunikasi, beriadah dan bermasyarakat, antaranya dengan mempraktikkan kepenggunaan hijau dalam kehidupan seharian mereka.
Di Malaysia, tahap pemahaman dan amalan penjagaan alam sekitar masih belum berkembang atau paling tinggi di peringkat sederhana sahaja apatah lagi berkaitan penggunaan hijau.
Kajian jelas menunjukkan tahap kesedaran penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat belum lagi mencapai tahap yang boleh dibanggakan berbanding dengan negara-negara maju yang lain.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca