BULAN Oktober jarang sekali diperkatakan oleh umum mahupun pihak kerajaan sebagai bulan yang membawa sebarang implikasi dalam sejarah Malaysia. Ia bukan sesuatu yang pelik kerana sepanjang bulan Ogos dan kemudiannya September, kemerdekaan... Klik di sini untuk terus membaca

BULAN Oktober jarang sekali diperkatakan oleh umum mahupun pihak kerajaan sebagai bulan yang membawa sebarang implikasi dalam sejarah Malaysia. Ia bukan sesuatu yang pelik kerana sepanjang bulan Ogos dan kemudiannya September, kemerdekaan Malaya dan kemudiannya pembentukan Malaysia disambut dengan ghairah di seluruh negara.

Bulan Oktober sebenarnya adalah bulan bersejarah yang menyaksikan tamatnya ancaman pemberontakan bersenjata oleh parti berfahaman ekstrem. Di Semenanjung Malaysia, ia tamat dengan termeterainya Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989.

Kurang setahun kemudian iaitu pada 17 Oktober 1990, satu lagi perjanjian damai di antara kerajaan Malaysia dan Biro Ke-2 Parti Komunis Kalimantan Utara telah ditandatangani di Kuching, Sarawak. Perjanjian ini telah berjaya menamatkan semua kegiatan keganasan komunis di Malaysia.

Salah satu pasukan yang mempunyai sejarah tersendiri dalam penglibatan langsung menumpaskan ancaman bersenjata gerila berfahaman komunis adalah pasukan yang kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am atau PGA.

Ketika Darurat Pertama memuncak selepas Perang Dunia Kedua satu pasukan dikenali sebagai Flying Squad telah ditubuhkan pada tahun 1948. Ia kemudian dikenali sebagai Jungle Squad dan unit kecil ini mempunyai tumpuan penugasan khusus dalam taktik peperangan gerila. Selepas itu namanya ditukar kepada Jungle Company sebelum disusun semula pada tahun 1953 dengan nama baru – Pasukan Polis Hutan (PPH).

Pada 1997, sekali lagi nama pasukan ini ditukarkan kepada PGA. Selepas tamatnya ancaman pemberontakan bersenjata parti Komunis di negara ini, tumpuan sebagai unit para-militari PDRM beroperasi di hutan belantara semakin berkurangan dan fokus diubah kepada penugasan am.

HILANG TARING

Sejak penukaran nama kepada PGA, di mata masyarakat umum, pasukan ini seakan kehilangan taring berbanding unit-unit lain dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Penubuhan pasukan seperti Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) pada 1977 dan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) pada 2015 turut menyumbang kepada ‘kecairan’ identiti pasukan para-militari yang dihormati kawan dan digeruni lawan. Pada satu ketika dahulu pasukan ini mempunyai kemampuan tempur yang tidak pernah diragui sehinggakan negara Thailand yang yakin telah membenarkan sejumlah 378 anggota pasukan PPH untuk menjaga keamanan di dalam kawasan sempadannya di bandar Bentong.

Apabila penugasan PGA ditukarkan kepada penugasan am, sebahagian dari penugasan tradisional mereka seperti membekalkan keanggotaan bagi kubu-kubu hutan (jungle fort) turut ditamatkan. Kesan dari perkara ini mungkin tidak mendatangkan implikasi segera pada akhir tahun 90-an, namun sejak tahun 2015, natijah buruknya mula kelihatan. Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai perkara tersebut, bekas pengarah Jabatan Kastam Perlis menyatakan bahawa pihaknya menghadapi masalah sukar mengumpul maklumat dan membuat risikan berkaitan penyeludupan manusia berbanding barang-barang lain.

Pembunuhan dan penyeludupan khazanah hutan juga turut terkesan dengan ketiadaan rondaan dan kawalan oleh pihak PGA jauh di hutan belantara seperti yang pernah mereka lakukan ketika menentang pihak komunis pada suatu masa dahulu. Kewujudan pasukan ini di belantara turut boleh dijadikan satu mekanisme semak-imbang terhadap jabatan-jabatan lain seperti Perhilitan dan pejabat tanah negeri sekiranya berlaku salah laku berkaitan pembalakan dan penanaman haram.

Mungkin telah tiba masanya pihak PDRM menilai dan menggilap kembali permata yang telah pudar ini.

Satu ketika dahulu pasukan ini mempunyai kemampuan tempur yang tidak pernah diragui sehingga menyakinkan Thailand.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca