SHAH ALAM - Penganalisis politik menjangkakan UMNO menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas bagi mengelak pertembungan tiga penjuru semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, kerjasama tersebut membolehkan UMNO menang di kawasan majoriti pengundi Melayu dan seterusnya mengembalikan kepimpinan kerajaan negeri kepada parti itu.
Menurutnya, UMNO akan mengalami kerugian besar jika tiada kerjasama dengan parti-parti yang telah berjaya membentuk kerajaan sebelum ini.
"Jadi sudah tentulah UMNO tidak mahu melakukan sesuatu yang akan memburukkan lagi imej mereka. Walaupun keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini cenderung untuk tidak bekerjasama, tetapi saya pasti sudah ada nada-nada dalam kepimpinan tertinggi bahawa mereka perlu bekerjasama.
"Yang menjadi pertaruhan kali ini adalah 19 kerusi di mana majoriti kawasan tersebut ialah orang Melayu.
"Jika UMNO atau gabungannya dengan Bersatu mampu menang 19 kerusi ini, maka mereka boleh menguasai kerajaan. Ini adalah realiti yang akan diteliti oleh MKT UMNO dan mungkin mereka akan membuat keputusan yang berbeza berbanding sebelum ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata, walaupun UMNO pernah mengeluarkan kenyataan untuk bergerak secara solo, namun ia dilihat sebagai bukan keputusan rasmi parti itu.
Tambahnya, MKT juga belum membuat sebarang keputusan rasmi, bahkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menyatakan bahawa perlunya ada kerjasama.
"Jadi ada keputusan yang berbelah bahagi dalam MKT UMNO sendiri. Melihat realiti semasa dan prestasi parti yang jatuh sebelum ini, sudah tentu imej UMNO tidak begitu baik di mata masyarakat terutama pengundi di Melaka.
"Bagi saya ini satu realiti yang perlu difikir secara mendalam oleh MKT dan saya pasti ada gerakan yang mahukan kerjasama dengan Bersatu terutamanya pimpinan UMNO yang ada dalam kabinet,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca