SHAH ALAM - Bajet 2022 diharapkan dapat memberi sinar baharu dalam kehidupan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang terkesan akibat Covid-19 sehingga ada yang kehilangan keluarga serta punca pendapatan untuk meneruskan kehidupan. Pakar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bajet 2022 diharapkan dapat memberi sinar baharu dalam kehidupan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang terkesan akibat Covid-19 sehingga ada yang kehilangan keluarga serta punca pendapatan untuk meneruskan kehidupan.

Pakar Ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, Bajet 2022 perlu membantu golongan miskin tegar supaya mereka dapat meningkatkan pendapatan.

"Bajet 2022 ialah perancangan jangka pendek dalam setahun. Saya pasti segala yang dibentangkan nanti akan mengikut sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan matlamat jangka panjang Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) yang hendak dicapai pada tahun 2030 nanti. "Kerajaan telah ada Indeks Prestasi Utama (KPI) yang mana isi rumah mesti meningkatkan pendapatan mereka kepada RM10,000 sebulan secara purata. Oleh itu, golongan miskin tegar yang berpendapatan RM2,028 ke bawah ini perlu tingkatkan pendapatan mereka dengan lebih tinggi.

"Jika kita tidak meningkatkan pendapatan mereka untuk mengurangkan jurang pendapatan di antara golongan B40 dengan T20, maka ia tidak akan mencapai pelan yang telah dirancang dalam jangka pendek dan panjang,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, terdapat beberapa cara menggarapkan usaha untuk membantu golongan miskin tegar meningkatkan pendapatan bagi mengurangkan jurang pendapatan dengan golongan T20.

"Pertama, golongan B10 perlu mempunyai kehendak dan inisiatif sendiri untuk keluar daripada perkara yang biasa dilakukan. Contohnya, mereka boleh menceburi bidang lain dan menambah ilmu kemahiran untuk meningkatkan pendapatan.

"Kedua, meningkatkan lagi pendidikan anak-anak dalam keluarga. Apabila pendidikan golongan isi rumah itu sudah meningkat, maka ia mampu untuk membantu keluarga tersebut keluar daripada golongan B10 hingga B40.

"Apabila kita mempunyai tahap pendidikan yang baik, maka ia selaras dengan pendapatan yang akan diterima walaupun sekarang ini agak mencabar kerana kita mempunyai kadar pengangguran yang agak tinggi iaitu 4.6 peratus. Namun, dari segi jangka panjangnya, pendidikan itu memberi korelasi yang agak tinggi kepada pendapatan sesebuah isi rumah itu,” katanya.

Bajet 2022 perlu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan jurang pendapatan golongan yang terkesan akibat Covid-19.

Beliau turut berpandangan bahawa kerajaan perlu fokus kepada tiga isu utama untuk Bajet 2022 iaitu menangani masalah kesihatan, penstrukturan ekonomi dan meningkatkan sosioekonomi.

"Tiga fokus utama yang kerajaan perlu adalah memastikan sistem kesihatan negara dalam keadaan bersedia untuk menampung masalah daripada pandemik mahupun endemik.

"Kedua, kerajaan perlu fokus kepada era digitalisasi, Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan norma-norma baharu. Kerajaan juga harus prihatin dengan industri yang terkesan kerana Covid-19 dari segi bantuan subsidi.

"Ketiga, kerajaan perlu beri tumpuan dari segi sosioekonomi untuk membantu golongan yang terjejas akibat Covid-19. Dalam bajet yang lepas, peruntukan hanya diberikan kepada golongan B40 namun ketika ini, golongan M40 juga perlu diberi bantuan seperti pelepasan cukai untuk bangkit kembali kerana mereka merupakan golongan yang agak besar dalam populasi negara kita,” katanya.

KEWANGAN MENCUKUPI BANTU TUMBESARAN ANAK

Negara merekodkan lebih 4,000 kanak-kanak menjadi yatim akibat Covid-19 sehingga September lalu yang menyebabkan ramai ibu atau bapa tunggal kehilangan sumber pendapatan dan sokongan pasangan dalam membesarkan anak-anak.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, kewangan yang mencukupi memainkan peranan penting bagi tumbesaran anak- anak agar mereka dapat membesar dalam keadaan dan suasana yang baik selepas kehilangan ibu atau bapa akibat Covid-19.

"Segala keperluan anak-anak hari ini memerlukan wang dari segi pemakanan, pembelajaran dan kesihatan untuk meneruskan kehidupan dengan baik.

"Malah, mempunyai kewangan yang cukup amat penting seawal mereka dalam kandungan lagi kerana melalui pemakanan ibu, ia dapat membantu tumbesaran dan kesihatan janin,” katanya.

Ujar Suzana, terdapat banyak impak dan kesan negatif sekiranya kanak-kanak membesar dalam keadaan yang serba kekurangan atau kesempitan wang kerana kehilangan ibu bapa semasa Covid-19.

"Pertama, tumbesaran boleh terjejas jika ada isu pemakanan kerana tiada ibu bapa yang memantau pemakanan anak- anak. Selain itu, mereka akan alami tekanan emosi dan mental apabila membandingkan kehidupan mereka dengan kawan-kawan yang hidup dalam keadaan yang serba lengkap,” katanya.


INFO

Tiga fokus utama kerajaan untuk Bajet 2022: 1. Memerangi Covid-19 dan memastikan sistem kesihatan negara dalam keadaan bersedia dengan memastikan rakyat Malaysia mendapat vaksinasi yang cukup, ekonomi boleh berkembang dengan baik dan boleh menguruskan kehidupan kita tanpa kerisauan dalam pandemik.

2. Dari segi penstrukturan ekonomi menuju ke arah era digitalisasi, Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan norma-norma baharu serta memastikan industri yang terkesan kerana Covid-19 dapat meningkatkan kembali ekonomi.

3. Dari segi sosioekonomi di mana kerajaan dapat membantu golongan yang terjejas termasuklah golongan M40.


Klik di sini untuk terus membaca