SHAH ALAM - Seorang remaja berusia 17 tahun terpaksa menggalas tanggungjawab ketua keluarga selepas bapanya meninggal pada bulan lalu akibat Covid-19.
Faris Danial Syahrul Nizam, 17, berkata, sebagai anak sulung lelaki, dia harus menjadi tonggak keluarga dan melaksanakan amanat arwah ayah yang telah dipesan kepadanya.
"Mak dan adik-adik sudah menjadi tanggungjawab saya dan saya perlu menjaga semua keperluan mereka.
"Ayah juga sempat berpesan semasa hidup sekiranya dia sudah tiada, saya kena menjaga mak dan tiga adik serta belajar berdikari. Itulah amanah arwah ayah yang saya harus tunaikan,” katanya.
Bapa Faris Danial, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 September lalu selepas dua hari ditidurkan akibat jangkitan Covid-19.
Sejak dua bulan lalu, Faris Danial terpaksa membuat kerja-kerja sampingan demi mendapat wang simpanan untuk membantu keluarga.
"Sekarang ini, saya mengumpul wang sampingan dengan membantu rakan berniaga tiga kali seminggu.
"Kami menjual pelbagai air minuman di gerai tepi jalan. Pada kebiasaannya, saya mendapat untung dalam RM20 ke RM30 sehari,” katanya.
Bagi Faris Danial, kehilangan ayah bukanlah alasan untuk melupakan pelajaran dan mematahkan semangatnya untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa terdekat itu.
"Dari segi pelajaran, saya tetap akan pergi ke sekolah kerana ayah selalu berpesan untuk belajar rajin-rajin dan mendapat pekerjaan yang bagus,” katanya.