NELAYAN-nelayan di Gaza, Palestin mencari pelbagai kaedah bagi meneruskan kehidupan untuk menangkap ikan bagi menampung keluarga ekoran kebiadapan penjajah Israel yang melaksanakan pelbagai sekatan terhadap mereka.
Bagi nelayan-nelayan tersebut yang tinggal di wilayah yang diapit dengan Israel dan Mesir dan kini berada di bawah penguasaan Hamas itu, menangkap ikan di laut terbuka hanyalah sebagai satu 'impian' mereka.
Ini adalah kerana tentera laut rejim Zionis menguasai sepenuhnya perairan Gaza yang mempunyai pantai sepanjang 40 kilometer.
Ia yang menjajah Gaza turut menetapkan zon menangkap ikan untuk nelayan-nelayan Palestin.
Selepas berbulan-bulan tenang selepas pertempuran antara Israel dengan Hamas pada Mei lalu, Israel memperluas zon kebenaran memancing kepada 15 batu nautika pada bulan lalu.
Namun, berdasarkan kepada Perjanjian Oslo yang ditandatangani pada tahun 1993, rejim Zionis hanya dibenarkan melarang nelayan-nelayan Palestin untuk tidak menangkap ikan melebihi dari jarak 20 batu nautika di Gaza.
Bagaimanapun, Israel tidak pernah menghormati perjanjian tersebut.
Sebelum ini, ia melaksanakan had sekatan ke atas nelayan-nelayan di Gaza apabila mereka dibenarkan untuk melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak 12 batu nautika.
Zon menangkap ikan itu kemudian dikurangkan kepada enam batu nautika dan tiga batu nautika sebelum diperluaskan kepada 15 batu nautika.
Walaupun zon menangkap ikan itu diperluaskan tetapi rejim Zionis menetapkan beberapa sekatan lain yang menindas nelayan-nelayan Palestin untuk menangkap hidupan laut di Gaza.
KELUAR WAKTU MALAM
Seorang nelayan Palestin, Mohammed al-Nahal yang mengetuai satu kumpulan bot-bot sanggup keluar menangkap ikan pada waktu malam baru-baru ini.
Namun, Mohammed hanya mampu bergerak sejauh beberapa kilometer dari pantai Gaza untuk menangkap ikan sardin.
"Kami tidak mempunyai enjin yang sesuai untuk menangkap ikan sejauh 15 batu nautika.
"Ketika ini kami tidak dibenarkan memasuki Gaza dengan menggunakan enjin bot yang moden," katannya seperti dilaporkan oleh AFP baru-baru ini.
Israel melarang penggunaan enjin moden atas alasan ia mungkin digunakan oleh para penyeludup di Gaza .
Justeru, Mohammed telah menggunakan enjin kereta Volvo pada botnya.
Kuasa yang dikeluarkan enjin itu juga boleh menyebabkan lampu-lampu di botnya menyala bagi menarik kehadiran ikan-ikan sardin.
Aktiviti menangkap ikan juga dilakukan dekat dengan pantai Gaza kerana harga bahan bakar yang tinggi.
"Makin jauh kami pergi, kami perlu membayar (kos) yang lebih tanpa mendapat jaminan bahawa kami akan mendapat hasil tangkapan," kata Mohammed yang mengetuai lima buah bot.
Terdapat juga sebahagian nelayan yang dihantui dengan perasaan takut untuk pergi terlalu jauh ke laut.
Ini disebabkan terdapat insiden bot-bot pasukan keselamatan Israel melepaskan tembakan dan merosakkan jaring-jaring nelayan-nelayan Palestin.
Bagaimanapun, setelah bot Mohammed mengelilingi sebuah kawasan di laut dan jaring diangkat, sejumlah ikan akhirnya berjaya ditangkap olehnya pada waktu malam di Gaza, baru-baru ini.
ISU SONAR
Ikan-ikan seberat setengah tan yang berjaya ditangkap Mohammed itu dijual dalam tempoh 90 saat pada harga kira-kira AS$935 (RM3,880) dan ia sudah cukup menguntungkan selepas gaji kru-krunya dan lain-lain kos ditolak.
Namun, ada ketikanya, dia pulang ke pantai Gaza dengan 'tangan kosong' apabila gagal menangkap ikan.
Ia hanyalah kisah suka duka Mohammed menangkap ikan kerana Israel turut melaksanakan beberapa larangan lain terhadap nelayan-nelayan Palestin.
Nelayan-nelayan Palestin dilarang oleh rejim Zionis bagi mendapatkan peralatan penting seperti sonar yang digunakan untuk mencari sekawanan ikan-ikan bagi memudahkan lagi tangkapan.
Alasan larangan itu dilaksanakan adalah kerana takut sonar tersebut digunakan untuk tujuan lain seperti membantu perjuangan pergerakan Hamas menentang Israel. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca