IPOH - Pesawah di Perak terpaksa meminjam sehingga RM10,000 daripada ejen padi ekoran kenaikan harga racun sehingga dua kali ganda. Kos untuk meracun bagi keluasan sawah antara tiga hingga lima hektar ialah diantara RM300 hingga RM500 Untuk... Klik di sini untuk terus membaca

IPOH - Pesawah di Perak terpaksa meminjam sehingga RM10,000 daripada ejen padi ekoran kenaikan harga racun sehingga dua kali ganda.

Kos untuk meracun bagi keluasan sawah antara tiga hingga lima hektar ialah diantara RM300 hingga RM500

Untuk keseluruhan kos bendang, broker boleh memberikan pinjaman kepada petani sehingga RM2,000 bagi keluasan setiap satu hektar.

Difahamkan bagi setiap musim, ada petani pinjam sebanyak RM3,000 hingga RM10,000 bergantung kepada keluasan sawah.

Menurut seorang pesawah, Muslan Mohd Napiah, 46, dari Kerian berkata, mereka tidak mempunyai cara lain selain membuat pinjaman bagi memastikan penanaman padi kali ini tidak terjejas.

Menurutnya, bayaran itu kemudiannya akan dipotong daripada hasil jualan padi sebaik musim menuai selesai.

"Harga racun sekarang dah tak sama macam dulu, jika tidak dibeli hari ini, mungkin ia akan naik pada keesokan hari membuatkan ramai pesawah tak mampu.

"Jadi nak tak nak, mana-mana pesawah yang tak cukup modal kenalah pinjam dahulu daripada broker dan ejen padi. Bayaran itu nanti akan dipotong daripada hasil jualan padi," katanya.

Broker atau ejen padi merupakan pihak ketiga yang akan membeli hasil padi. Mereka mengambil hasil tersebut untuk diproses di kilang-kilang padi untuk dijadikan beras.

Sementara itu, Ketua Unit Parit Haji Ali, Masjid Tinggi itu mengakui, musim padi kali ini paling terkesan kerana peningkatan harga input pertanian terutamanya racun yang disifatkan terlalu tinggi.

"Kalau sebelum ini, harga racun antara RM180 dan RM220 setiap 20 liter tetapi sekarang dah naik antara RM380 hingga RM480," katanya.

Bagi Azhar Hashim, 53, pula, penanaman padi di sebahagian kawasan Bagan Serai baru memasuki peringkat menabur dan lebih banyak racun perlu digunakan untuk peringkat seterusnya.

Atas faktor itu katanya, pesawah terpaksa membuat pinjaman lain meskipun telah mempunyai modal awal untuk mengerjakan sawah masing-masing.

"Kos bagi setiap sawah tak sama sebab ia bergantung kepada keluasan tetapi dalam keadaan sekarang dengan harga racun dah meningkat, modal sedia adapun tidak cukup. Sebab itu ada yang terpaksa meminjam daripada broker dan ejen," ujarnya.

Ahli Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) itu berharap kerajaan dapat menguatkuasakan penetapan harga siling bagi racun.

"Kalau boleh kita syorkan kerajaan pantau balik, minta kementerian berkaitan semak mengapa harga racun tinggi sedangkan petani juga terhimpit disebabkan Covid-19," katanya.

CADANG NAIK HARGA PADI

Kerajaan digesa mempertimbang menaikkan harga padi daripada RM1,200 tan metrik kepada melebihi RM1,300 tan metrik berikutan kenaikan mendadak harga racun sejak dua bulan lalu.

Seorang pesawah, Zam Zam Salleh, 53 berkata, petani berharap harga belian padi dapat ditingkatkan bagi menampung kos input pertanian terutama racun yang semakin tinggi.

Menurutnya, sudah tiba masanya kerajaan membantu pesawah yang selama ini terkesan dengan pandamik Covid-19 selain tekanan hasil pertanian yang rendah akibat serangan penyakit.

"Kami berdepan dengan kenaikan harga racun melambung tinggi dan keadaan ini memberi kesan kepada pesawah yang bergantung kepada pendapatan ini untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Saya mencadangkan kepada kerajaan supaya menaikkan harga belian padi daripada RM1,200 tan metrik kepada harga lebih munasabah iaitu melebihi RM1,300 tan metrik," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Zam Zam memberitahu, pesawah ketika ini bukan sahaja berdepan dengan kos racun yang tinggi, malah input pertanian lain juga mengalami kenaikan harga mendadak.

"Harga racun mengalami kenaikan antara 20 hingga 30 peratus. Misalnya jika sebelum ini harga racun lima liter hanya RM145, tetapi kini harga dijual sehingga RM260," jelasnya.

Menurut Zam Zam, selain itu, pesawah turut berdepan dengan serangan penyakit dan isu pemutuan potongan padi pada kadar 20 peratus.

"Kami berharap isu-isu pesawah ini dipandang serius kerajaan dan janganlah membebankan kami," ujarnya.

Seorang lagi pesawah,Mohd Hazlan Mohd Sabran, 49, memberitahu, pesawah membeli racun dalam kuantiti banyak bagi mengatasi serangan penyakit.

Kata Mohd Hazlan, keadaan itu sudah tentu membebankan pesawah yang bergantung kepada sektor itu sebagai punca pendapatan.

"Kerajaan perlu kawal harga racun, kamu tidak mahu harga ini dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca