ALOR SETAR - Seorang penternak lembu terpaksa menanggung lebihan kos disebabkan berlaku kenaikan harga input pertanian.
Input pertanian ialah baja dan racun yang perlu digunakan petani untuk memastikan tumbesaran tanaman. Ia diberikan subsidi oleh kerajaan, namun ada yang dibeli sendiri oleh petani.
Input penternakan pula ialah makanan dan vitamin yang diperlukan oleh haiwan ternakan.
Seorang penternak, Hasrul Nizam Hashim, 35, berkata, tambahan kos operasi itu membebankan golongan terbabit terutama ketika ekonomi negara kurang memberangsangkan akibat pandemik Covid-19.
Dia berusaha menjimatkan kos dengan mencatu dedak kepada haiwan ternakan selain menanam jagung sebagai makanan alternatif, namun terpaksa pula menanggung kos baja dan racun yang meningkat.
"Harga makanan ruminan untuk lembu mengalami kenaikan mendadak sejak November lepas lagi. Kenaikan harga untuk 50 kilogram/guni adalah dari RM47 pada November kepada RM49, meningkat kepada RM55 pada Januari, RM57 (Februari) dan Mac sekitar RM60.
Pada Ogos, saya beli satu tan dedak pada harga RM672, tetapi harga pada September terus meningkat kepada RM851.40 untuk satu tan pallet,” katanya.
Hasrul Nizam berkata, berikutan itu, catuan bekalan makanan dedak terpaksa dibuat bagi mengurangkan kos.
"Saya cari alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap dedak dengan menanam jagung dan napier, tetapi terpaksa keluarkan kos lain pula seperti penggunaan racun dan baja. Kesemua input pertanian ini mengalami trend peningkatan harga dibandingkan pada bulan-bulan sebelumnya,” katanya.
Menurutnya, kenaikan harga seolah tidak terkawal dan antara alasan diberikan pembekal adalah peningkatan kos operasi dan harga bahan mentah.
"Antara racun yang saya gunakan untuk tanam jagung adalah racun ulat berharga antara RM35 hingga RM80 yang perlu disembur tiga kali seminggu, selain racun kulat berharga RM65.
Baja NPK untuk suburkan tanah pula berharga RM160 bagi 50kg, serta baja buah juga dibeli pada harga sama. Jagung yang saya tanam adalah jenis manis, maka penjagaan untuk makhluk perosak seperti ulat dapat dikurangkan dengan penggunaan racun berlainan jenis,” katanya.
Tambahnya, jagung dipilih sebagai alternatif kerana jualan lebihan buah boleh dijadikan pusingan modal bagi kos pembelian racun dan baja.
"Sudahlah harga makanan ruminan naik, racun dan baja pun sama dengan anggaran 10 peratus kenaikan. Tiga bulan lepas saya beli pada harga lain, sekarang harganya lain pula. Kalau nak gunakan racun berkualiti khusus untuk jagung tak berbaloi pula dengan hasil, terpaksalah guna racun gred sederhana,” katanya.
Hasrul Nizam berkata, isu kenaikan harga makanan ternakan sudah dibangkitkan sebelum ini namun harganya tetap meningkat.
"Penternak terpaksa naikkan sedikit harga jualan daging bagi mengimbangi kos makanan yang ditanggung, namun apabila berlaku, pihak berwajib pula ambil tindakan dengan menetapkan harga kawalan daging pada musim perayaan menyebabkan penternak kerugian,” katanya.
Sehubungan itu, golongan penternak merayu agar kerajaan membantu menangani masalah kenaikan harga ruminan dan input pertanian bagi mengurangkan kos operasi.
"Diharap kerajaan dapat memberi bantuan subsidi harga bagi pembelian dedak atau menetapkan harga kawalan.
"Kami harap dalam Bajet 2022 golongan penternak diberikan lebih bantuan seperti mesin pengisar rumput ‘chopper’, vitamin serta ubat-ubatan haiwan ternakan, bantuan racun dan baja serta yang berkaitan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca