SEORANG Melayu bernama Mariam Mokhtar dalam portal berbahasa Inggeris Free Malaysia Today, 10 Oktober lalu, mengutuk dasar yang disebutnya sebagai ‘bumiputeraism’ di Malaysia. Istilah itu boleh diterjemah sebagai ‘dasar... Klik di sini untuk terus membaca

SEORANG Melayu bernama Mariam Mokhtar dalam portal berbahasa Inggeris Free Malaysia Today, 10 Oktober lalu, mengutuk dasar yang disebutnya sebagai ‘bumiputeraism’ di Malaysia.

Istilah itu boleh diterjemah sebagai ‘dasar kepribumian’, bermaksud dasar-dasar khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan juga kenegaraan yang memperkukuh kuasa, hak dan kedudukan serta identiti bumiputera atau pribumi di Malaysia.

Kata Mariam dasar kepribumian ‘tidak baik’ bagi orang Melayu. Antara sebabnya, katanya ia 'merampas hak orang Melayu untuk bekerja keras'; dengan dasar ini orang Melayu 'membuli orang lain, memperbuatkan mereka seperti berdarjat rendah'; dasar ini 'menyebabkan orang Melayu menjadi rendah diri', manakala 'Melayu yang kaya rosak akibat dimanjakan'.

Istilah bumiputera katanya, 'mencungkil keluar maruah diri daripada orang Melayu...menyebabkan orang Melayu kurang kepercayaan diri sendiri'.

Malangnya, pandangan serong itu menunjukkan tidak mengerti sejarah 500 tahun yang lepas. Menilai pengalaman manusia perlukan satu kefahaman sejarah yang baik.

Dasar kepribumian adalah respons pemimpin Melayu di Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia) yang perlu dilihat dalam perspektif sejarah dunia.

Bermula 500 tahun dahulu orang bangsa Eropah menguasai lautan. Penguasaan itu membawa orang bangsa Eropah ke benua-benua lain di mana mereka menakluk negeri dan wilayah pelbagai orang pribumi, meruntuhkan kedaulatan orang pribumi, mengakibatkan apa yang disebut sebagai ‘deterritorialisation’ terhadap orang pribumi, yakni perlucutan wilayah orang pribumi di bumi mereka sendiri.

Ini ialah zaman imperialisme orang asing Eropah bermula 500 tahun dahulu. Kekuasaan orang asing ke atas orang pribumi tidak boleh dicabar oleh pribumi kerana peminggiran orang pribumi dinyatakan tidak salah berdasarkan prinsip ‘kesaksamaan, di mana semua adalah setara’ (tanpa mengira kelemahan orang pribumi dalam semua bidang).

Jadi, selama 500 tahun hingga kini, orang pribumi ditundukkan dan tercipta satu norma baru dalam sejarah manusia selepas imperialisme. Walaupun dunia lebih celik, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan tahun 1945 sebagai badan bangsa-bangsa sedunia, tidak ada usaha untuk membela nasib orang pribumi di seluruh dunia.

TERPINGGIR

Usaha PBB hanya sekadar menghasilkan Perisytiharaan Hak-hak Orang-orang Pribumi tahun 2007, yang tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Tampak jelas dalam pengisytiharan tersebut, yang dianggap pribumi cuma bangsa yang telah pun menjadi minoriti dan terpinggir di bumi mereka sendiri. Tidak ada tuntutan dibuat untuk dilindungi orang pribumi daripada menjadi mangsa ideologi kesetaraan, meritokrasi dan demokrasi.

Penggubal Perlembagaan Tanah Melayu (sekarang Perlembagaan Malaysia) menerima ide demokrasi, kesetaraan dan meritokrasi, tetapi meletakkan sekatan kepada pelaksanaan sewenang-wenangnya idea liberal ini, dan dengan jelas memelihara (itu istilahnya) kedudukan istimewa orang Melayu (dan orang asli, dan dalam Perlembagaan Malaysia, pribumi Sabah dan Sarawak).

Inilah asal usulnya dasar kepribumian di Tanah Melayu/Malaysia - bagi melindungi pribumi di Malaysia daripada nasib hodoh yang pasti akan terjadi (sebagai norma baru selepas zaman imperialisme) seperti yang telah berlaku terhadap pribumi di benua Amerika dan di Australia dan New Zealand.

Kemerdekaan tidak bermakna bagi orang Melayu dan pribumi lain jika kuasa, hak dan kedudukan mereka jauh berkurangan daripada apa yang dimiliki sebelum merdeka.

Bagi orang bukan Melayu, perjuangan mereka adalah untuk hak yang tidak pernah mereka miliki - kewarganegaraan; kemerdekaan tidak penting bagi mereka asalkan mereka mendapat hak kewarganegaraan.

Nyata, Mariam Mokhtar berkempen menjurus untuk dilaksanakan ‘norma baru selepas imperialisme’ sebagaimana telah berlaku di benua-benua Amerika.

Penulisan/hujah Mariam Mokhtar menunjukkan jalan bagi perkara yang telah berlaku di Amerika, Australia dan New Zealand itu sampai ke Malaysia.

Penulisannya memujuk dan menggula-gulakan orang Melayu dengan mempamerkan ‘buah epal’ yang katanya akan memberikan satu ‘kepribadian baru yang lebih baik’ dan ‘masa hadapan baru yang lebih baik’ bagi orang Melayu dan pribumi lain jika mereka menolak dasar kepribumian di Malaysia.

Melayu/pribumi jika menolak dasar kepribumian akan menjadi mangsa di bumi sendiri seperti yang berlaku kepada pribumi Red Indian di Amerika, dan orang asli di Australia di mana tidak ada dasar kepribumian.

* Mohd Arof Ishak, AJK Lembaga Peradaban Melayu (ADAB)

Klik di sini untuk terus membaca