POLITIK Sudan kembali tidak stabil selepas Presidennya sebelum ini, Omar al-Bashir ditangkap oleh pihak tentera sekali gus menamatkan pemerintahannya selama kira-kira 30 tahun pada April 2019. Pemerintahan juga berakhir disebabkan oleh... Klik di sini untuk terus membaca

POLITIK Sudan kembali tidak stabil selepas Presidennya sebelum ini, Omar al-Bashir ditangkap oleh pihak tentera sekali gus menamatkan pemerintahannya selama kira-kira 30 tahun pada April 2019.

Pemerintahan juga berakhir disebabkan oleh tunjuk perasaan rakyat negara itu ekoran kenaikan harga roti tetapi kemudian bertukar menjadi tuntutan yang meminta kerajaan melakukan banyak perubahan.

Kerajaan sementara kemudian mentadbir negara tersebut tetapi pada Isnin lalu, pihak tentera pula menahan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok, 64, yang dilantik bagi memegang jawatan tersebut pada tahun 2019.

Hamdok ditugaskan untuk membentuk kerajaan awam yang menuju ke arah demokrasi namun beliau dan isterinya ditahan dan dipindahkan ke sebuah lokasi rahsia kerana didakwa tidak mahu menyokong pihak tentera.

Beberapa menteri kabinet lain turut ditahan antaranya ialah Menteri Industri, Ibrahim al-Sheikh; Menteri Penerangan, Hamza Baloul; Penasihat Media Perdana Menteri, Faisal Mohammed Saleh dan jurucakap majlis pemerintahan Sudan, Mohammed al-Fiky Suliman.

Berikutan penahanan Perdana Menteri itu, Pengerusi badan pemerintah Sudan, Jeneral Abdel Fattah al- Burhan mengumumkan pembubaran kerajaan sementara dan Majlis Kedaulatan serta mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

EKONOMI MEROSOT

Penahanan Hamdok berlaku setelah berlakunya ketegangan melibatkan pihak tentera dan tokoh-tokoh awam yang 'duduk bersama' dalam Majlis Kedaulatan dianggotai oleh 14 anggota sebagai badan pembuat keputusan selepas Bashir ditangkap pada tahun 2019.

Namun, pada 25 Mei lalu, seorang tokoh awam wanita, Aisha Musa Sayeed meletakkan jawatan daripada majlis tersebut dan menuduh para pemimpin tentera mengenepikan orang awam dan membuat keputusan sebelah pihak sehingga menjejaskan keseluruhan negara termasuk menggunakan kekerasan terhadap para penunjuk perasaan.

Menurut wanita itu, sejak dua tahun lalu, ekonomi Sudan merosot ketika ia ditadbir oleh kerajaan peralihan.

Sebelum Aisha berbuat demikian, Peguam Negara, Taj Al Sir Al Hibir turut meletakkan jawatan dengan menyatakan bahawa campur tangan daripada agensi-agensi tidak berkaitan di Pejabat Pendakwa Raya yang dianggapnya sebagai satu pencabulan undang-undang.

Ketua Hakim Sudan, Neimat Abdallah Mohammed Khair iaitu wanita pertama memegang jawatan itu dilaporkan disingkirkan daripada jawatan tersebut tanpa diberikan sebarang sebab.

Ramai penunjuk perasaan membantah tindakan tentera menahan beberapa pemimpin awam termasuk Perdana Menteri di Khartoum baru-baru ini. - Foto AFP

Ketiga-tiganya tidak lagi memegang jawatan mereka selepas pihak tentera menembak dan membunuh beberapa penunjuk perasaan pada ulang tahun kedua permulaan revolusi Sudan di Khartoum.

Protes kemudian berlanjutan lagi melibatkan kumpulan yang menuntut penubuhan kerajaan awam dengan kumpulan yang protentera.

Tunjuk perasaan itu melibatkan puluhan ribu orang bagi menuntut penubuhan sebuah kerajaan awam ditubuhkan turut berlaku baru-baru ini sehingga pihak tentera terpaksa melepaskan tembakan dan membunuh beberapa orang bagi mengawal keadaan.

Namun, ekoran tindakan tentera tersebut, Perdana Menteri sebelum ini pernah menyatakan pemerintahan penuh awam perlu diwujudkan menjelang 17 November ini.

Namun belum sempat kerajaan awam ditubuhkan, beliau telah ditahan oleh tentera.

PERHIMPUNAN JALANAN

Pada Isnin lalu, perkhidmatan internet dan wayar telefon dipotong sebelum tersebarnya berita yang menyatakan bahawa para pemimpin termasuk Perdana Menteri Sudan ditangkap oleh pihak tentera.

Persatuan Profesional Sudan yang memayungi kesatuan-kesatuan sekerja yang pernah mengetuai tunjuk peraaan anti-Bashir pada tahun 2019 turut mengutuk tindakan yang dilakukan oleh pihak tentera dengan menahan Perdana Menteri dan beberapa menteri kabinet.

Dalam pada itu, Pejabat Hamdok mendesak para penunjuk perasaan berhimpun di jalanan selepas pihak tentera menahan beberapa pemimpin awam yang berada dalam kerajaan peralihan.

Menurut kenyataan pejabat itu, orang ramai diseru menggunakan pelbagai cara bagi menyatakan tentangan mereka terhadap 'pencuri' iaitu perkataan bagi merujuk pihak tentera negara tersebut. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca