SHAH ALAM - Tanggal 14 Jun 2020 akan terus dikenang sebagai detik hitam oleh Nur Moana Ishak kerana pada tarikh tersebut, dia yang berusia 37 tahun telah diminta meninggalkan kerjaya impiannya. Kerjaya di awan biru yang dibina selama hampir... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tanggal 14 Jun 2020 akan terus dikenang sebagai detik hitam oleh Nur Moana Ishak kerana pada tarikh tersebut, dia yang berusia 37 tahun telah diminta meninggalkan kerjaya impiannya.

Kerjaya di awan biru yang dibina selama hampir 15 tahun berakhir akibat penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Dia terpaksa mengundurkan diri sebagai Kapten AirAsia X selepas syarikat penerbangan tambang murah negara itu mengambil langkah mengurangkan kakitangan.

Bagaimanapun, Nur Moana mengakui dia masih mengharapkan agar dapat bekerja semula di syarikat penerbangan tersebut.

"Ini kerana minat saya yang mendalam. Sejak berumur 12 tahun lagi saya bercita-cita mahu terbang di awan biru sehingga akhirnya ia menjadi kenyataan. Ini dapat dibuktikan apabila saya berjaya melakukannya selama 15 tahun yang lalu.

"Namun, sejak pandemik Covid-19 melanda, saya terpaksa meninggalkan kerjaya tersebut dengan cara begini. Demi kelangsungan syarikat agar terus bertahan, saya menerima pilihan ini dengan rela hati,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, juruterbang Malindo Air, Kapten Kamarul Zaman Shukur, 39, berkata, dia dikenakan cuti tanpa gaji selama tiga tahun bermula Ogos 2020 sehingga Julai 2022 selepas setahun berkhidmat dengan syarikat penerbangan tersebut.

"Ini ekoran penurunan permintaan tempahan penerbangan selepas banyak negara di dunia melaksanakan sekatan pergerakan.

"Meskipun berlapang dada menerima takdir, saya terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu hilang kerja ini sepenuhnya,” katanya yang kini giat memajukan perniagaan makanan dan minuman (F&B) di Kokpit Kopi sebagai kerja sampingan.

Ketika ditanya mengenai perasaan rindu akan kerjaya lama, Kamarul Zaman mengakui dia sangat merindui pekerjaan tersebut.

"Saya rindu kerana minat yang mendalam dalam dunia penerbangan. Bukan semua orang berkebolehan untuk mengendalikan pesawat, lebih-lebih lagi apabila kita perlu memastikan semua penumpang selamat sampai ke tempat destinasi,” luahnya.

Bekas jurutera yang mahu dikenali dengan nama Wan pula berharap kerajaan dapat mempergiat sektor pembinaan. Dia mengakui ramai pekerja binaan terpaksa diberhentikan kerja serta-merta berikutan syarikat mahu mengurangkan kos pembayaran upah.

"Justeru, kerajaan wajar mendahulukan sektor pembinaan dalam Bajet 2022. Ini kerana hampir setahun lebih kami hilang pekerjaan,” katanya.

Wan yang berkhidmat selama 10 tahun sebagai jurutera berkata, kerajaan juga perlu mengutamakan sektor membuat jalan selain membina bangunan baru di kawasan bandar.

"Untuk pengetahuan, Indonesia dilihat lebih baik berbanding Malaysia.

"Ini kerana negara mereka melaksanakan pembaharuan dari segi logistik. Jadi ini yang perlu negara tekankan dengan melaksanakan infrastruktur yang lebih kukuh.

"Ini sekali gus dapat merancakkan kembali sektor ekonomi negara di samping menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

KES 2

USAHA CARI KERJA SAMA DI TEMPAT LAIN

Mengambil keputusan berhenti kerja setelah lebih lima tahun bersama sebuah firma seni bina bukan suatu keputusan yang mudah buat pelukis pelan, Ahmad Azfar Hazim Khairuddin.

Ahmad Azfar, 26, berkata, walaupun berat untuk meninggalkan kerjaya yang merupakan minat beliau sejak belajar, namun keputusan itu terpaksa dilakukan kerana tempat kerjanya itu menghadapi masalah kewangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhir tahun lalu.

"Perasaan itu memang sedih sebab sudah lama kerja dan selesa, serta sudah kenal ramai orang. Tapi sejak PKP kedua dan ketiga, gaji yang saya terima semakin berkurang. Sampai peringkat ada sebulan tak dapat gaji langsung.

"Saya faham syarikat tengah bergelut, tapi pada masa sama, saya perlu membayar sewa rumah dan komitmen lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang menetap di Setiawangsa, Kuala Lumpur dan masih bujang berkata, usahanya untuk mendapatkan kerja di tempat lain dalam bidang sama gagal kerana jawatan ditawarkan adalah terhad selain saingan yang tinggi.

"Sekarang majikan lebih suka ambil orang yang berpengalaman. Semasa saya pergi pergi temu duga, ada orang yang berpengalaman 10 ke 20 tahun pun masih tak dapat kerja lagi. Apatah lagi saya,” ujarnya yang kini sudah lebih dua bulan bekerja sebagai penghantar barang bagi sebuah syarikat e-dagang terkenal.

Ahmad Azfar berkata, meskipun pekerjaan baharu yang dilakukannya cukup untuk menampung kehidupannya buat masa ini, namun kadar pendapatan diterimanya adalah dua kali ganda lebih rendah berbanding pekerjaan sebelumnya.

KISAH 3

‘DULU SELESA, KINI CUKUP-CUKUP MAKAN'

Siapa sangka, kehidupan selesa bagi seorang wanita yang bekerja di tengah-tengah kota raya kini terpaksa hidup ‘cukup-cukup makan’ akibat Covid-19.

Najwa Najiha Mohamad Nasran, 24, kini bekerja di sebuah syarikat insurans dengan gaji yang minimum.

Najwa Najiha

Bekerja hampir setahun setengah di sebuah syarikat penterjemahan di Kuala Lumpur menimbulkan kerinduan kerana banyak memori dicipta ketika bekerja di sana.

"Kerja sekarang dengan dahulu terlalu banyak bezanya, sehinggakan ada penyesalan bila memikirkan semula tetapi ALLAH lebih mengetahui

"Kerja sekarang kurang bersosial dan tidak mempunyai masa terluang yang banyak kecuali hari minggu, itu pun masih bekerja,” luahnya sambil memberitahu, pendapatannya kini tidak selesa seperti sebelum ini.

"Sebab saya seorang sahaja yang bekerja dalam keluarga, gaji pun sekarang ini cukup-cukup makan sahaja,” ujarnya.

KES 4

RINDU KERJA DI HOTEL

"Tipulah tak rindu kerja di hotel kerana suasana di sana lebih tenang dan santai, pergi ke pejabat macam bercuti.”

Demikian luahan Natasya Noor Nabilah Abdul Halim, 26, yang pernah bekerja sebagai pereka grafik di sebuah hotel di Putrajaya, kini menjual pelekat tersuai (customized sticker) untuk kenderaan permotoran secara dalam talian sejak dia berhenti kerja di sana tahun lalu.

Natasya Noor Nabilah

Dia yang bekerja di sana selama lebih setahun sejak tahun 2019 membuat keputusan berhenti kerja kerana gajinya terpaksa dikurangkan sebanyak 28 peratus akibat pandemik Covid-19.

Oleh sebab itu, dia nekad untuk memulakan perniagaannya sendiri dengan menjual pelekat pada Januari tahun ini demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Saya buat keputusan berhenti kerja pada Disember tahun lalu dan memulakan perniagaan sendiri menjual pelekat tersuai untuk permotoran dan lain-lain secara dalam talian,” ceritanya kepada Sinar Harian.

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini tidak menafikan rasa rindu untuk bekerja di hotel tersebut kerana selain persekitaran yang tenang dan santai, dia juga boleh berjumpa dengan rakan sekerja dan klien berkaitan.

Bagaimanapun, dia ingin menumpukan mengembangkan bisnesnya lebih jauh lagi.

"Sebelum ini saya bangun pagi, pergi ke hotel berjumpa rakan pejabat dan klien. Sekarang saya bangun pagi, siapkan pesanan pelanggan, itu pun di rumah sahaja.

"Selain itu, disebabkan saya bekerja sendiri di rumah, saya tidak mempunyai rakan pejabat seperti dulu.

"Sejak saya berhenti kerja dan mula menjual pelekat tersuai, saya jarang terima permintaan seumpama itu. Saya rindu untuk buat semua kerja itu semula,” katanya yang tinggal di Southville City, Dengkil, Selangor.

Klik di sini untuk terus membaca