PETANG yang cerah. Waktu itu, saya dan dua orang kawan menapak ke sekolah. Ada latihan bola sepak. Tetapi sebaik sahaja sampai di depan pagar sekolah tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu bunyi aneh yang sangat kuat. Ia disusuli dengan... Klik di sini untuk terus membaca

PETANG yang cerah. Waktu itu, saya dan dua orang kawan menapak ke sekolah. Ada latihan bola sepak. Tetapi sebaik sahaja sampai di depan pagar sekolah tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu bunyi aneh yang sangat kuat. Ia disusuli dengan gegaran yang berterusan seolah-olah gempa bumi sedang berlaku.

"Lari! Lari! Raksasa!” kedengaran jeritan dari arah kawasan sekolah. Beberapa orang rakan yang sepatutnya berlatih bola bersama kami meluru keluar. Masing-masing kelihatan sangat ketakutan.

"Raksasa! Raksasa! Cepat lari!” mereka terus terjerit-jerit.

Pada masa itu jugalah tiba-tiba tersembul kepala satu lembaga besar dari belakang sekolah. Lembaga itu sangat besar. Tingginya melepasi bumbung sekolah. Memang raksasa!

Dua orang kawan yang bersama saya tadi turut menjerit sambil melarikan diri bersama rakan-rakan yang lain. Tetapi saya mengambil tindakan yang sebaliknya. Pantas saya meluru ke arah sekolah, masuk ke salah sebuah bilik darjah di bangunan yang sebahagian daripadanya sudah mula roboh itu.

Hanya sekelip mata kemudian saya muncul semula dengan pakaian seragam saya – sebagai Ultraman. Dan sesaat selepas itu bermulalah satu pertempuran sengit antara saya dengan raksasa yang menyerang Sungai Besar itu.

Di atas bukanlah petikan daripada buku cerita yang telah atau sedang saya karang. Sebaliknya ia sekadar imbas kembali kepada khayalan saya pada zaman kanak-kanak dahulu, ketika berusia sekitar lapan atau sembilan tahun.

Pada waktu itu saya sangat terpengaruh dengan Ultraman, watak fiksyen superhero Jepun yang sangat terkenal pada akhir 1960-an hingga pertengahan 1980-an. Saya tidak ingat waktunya, tetapi saya cukup ingat siri superhero itu disiarkan pada sebelah petang menerusi TV1, RTM.

Selain Ultraman, satu lagi watak superhero atau dalam bahasa kita disebut adiwira, yang cukup besar pengaruhnya dalam hidup saya ialah Superman.

Watak ciptaan Jerry Siegel (penulis) dan Joe Shuster (pelukis) itu menyebabkan banyak kali juga saya ditertawakan oleh rakan atas sebab-sebab yang malu saya hendak ceritakan. Antaranya termasuklah peristiwa saya, yang berkemeja-T dengan lambang Superman, lari sambil terjerit-jerit kerana dikejar oleh seekor angsa betina.

Walau bagaimanapun mengidolakan watak-watak superhero bukanlah perkara yang pelik. Ia perkara biasa yang bertunas dan tumbuh secara semula jadi dalam jiwa setiap kanak-kanak. Yang berbeza hanyalah watak-watak yang diminati dan diidolakan.

Pada zaman saya dahulu, selain Superman dan Ultraman, watak superhero lain yang menjadi kegilaan ialah Batman dan Spiderman. Turut berada dalam senarai, tetapi agak terbatas pengaruhnya ialah Supergirl, Catwoman, Batgirl, Batwoman, Robin dan Incredible Hulk.

Watak-watak superhero berimej klasik seperti Hercules dan Tarzan pun mempunyai kelompok peminat dan pengagumnya yang tersendiri.

Senarai superhero terus bertambah panjang dengan adanya watak-watak seperti Captain America, Iron Man, Aquaman, The Rocketeer, Wolverine, X-Men dan pelbagai lagi.

Sifat superhero yang ‘pada akhirnya pasti menang’ menjadi penyebab utama kenapa watak-watak tersebut begitu cepat mendapat tempat di hati kanak-kanak.

Pada zahirnya, kanak-kanak adalah insan yang lemah dalam hampir semua perkara, termasuk tidak mempunyai hak dan keupayaan untuk membuat keputusan sendiri. Keadaan itu hanya akan berubah sedikit demi sedikit, secara berperingkat mengikut perkembangan usia masing-masing.

Pun begitu, harus difahami bahawa bukan kanak-kanak sahaja yang meminati watak-watak superhero. Orang dewasa pun ramai berkongsi perasaan yang sama.

Sebab itu yang membeli komik-komik superhero atau menonton filemnya bukan sahaja ibu bapa yang menemani anak-anak. Ramai lelaki dan wanita dewasa turut berbuat demikian atas kehendak dan minatnya sendiri.

PEMINAT TEGAR

Dalam senarai rakan saya, ada beberapa orang yang menjadi peminat tegar superhero. Salah seorang daripadanya mempunyai koleksi lengkap serba-serbi mengenai Batman; daripada pakaiannya sehinggalah kepada komik, model kereta, mug, bekas pen, botol air, rantai kunci, malah seluar dalam!

Watak-watak superhero ini secara langsung memberikan sumbangan yang tersendiri dalam pembentukan sahsiah kanak-kanak. Ia menjadikan mereka mencintai kebaikan dan membenci kejahatan. Jarang ada kanak-kanak yang mahu menjadi The Joker, Lex Luthor, Hela atau Scarecrow dan watak-watak antagonis lain.

Agak malang kerana superhero yang menjadi kegilaan kanak-kanak di negara kita boleh dikatakan kesemuanya datang dari luar; lebih tepat lagi dari Barat.

Walaupun ada watak-watak lagenda kita yang pernah diangkat menjadi superhero seperti Badang dan Hang Tuah misalnya, namun kesannya tidak sampai ke mana-mana. Ia dikalahkan oleh dominasi superhero asing yang datang dari merata penjuru, dan dalam pelbagai bentuk.

Pada tahun 1960-an sehingga awal 1970-an, pelukis komik terkenal pada masa itu, Halim Teh (Allahyarham) melalui siri komik Keris Berpuaka yang dihasilkannya berusaha mencipta superhero Melayu melalui watak Panglima Uda yang merupakan protagonis dalam cerita tersebut.

Komik itu mendapat sambutan hangat dan berjaya diterbitkan sehingga 16 siri. Tetapi Panglima Uda kemudiannya ‘mati’ begitu sahaja, bersama dengan siri tersebut.

Nasib yang sama jugalah menimpa watak Kapten Malaysia yang pernah diterbitkan, juga dalam bentuk komik, oleh syarikat penerbitan Media Seni pada tahun 1980-an.

Melalui filem dan siri TV pun ada beberapa percubaan melahirkan superhero tempatan. Antaranya Cicak Man, Chempiang, Pepaya, Bio-Nik, Armour X, Supermak, Mantera dan Wira Waja.

Walaupun hasilnya tidaklah seperti yang diharapkan, namun sekurang-kurangnya kita perlu memberi tabik hormat kepada semua karyawan yang terlibat atas segala daya usaha mereka.

Dan usaha-usaha itu wajar diteruskan. Karyawan-karyawan Barat telah menjadikan watak-watak superhero sebagai lombong emas sejak puluhan tahun dahulu.

Superman sebagai contoh, menerusi 10 filem mengenainya yang ditayangkan sejak 1978 sehingga 2020, telah memberi pulangan lebih AS$4 bilion ringgit. Itu hanya menerusi penjualan tiket.

Bagaimana dengan komik, permainan video, cenderahati dan cenderamata, penggunaan hakcipta dan segala sesuatu seumpamanya? Itu baru satu contoh, bagaimana dengan yang lain-lain? Untuk filem Avengers: Endgame sahaja jumlah hasil jualan tiket melebihi AS$2.7 bilion.

Bayangkanlah telah berapa banyak wang yang telah mengalir ke Barat kesan daripada produk-produk yang berasaskan watak-watak superhero ciptaan mereka.

Oleh itu, tidak bolehkah kita pakat-pakat berusaha mengubah aliran itu supaya sebahagian daripadanya menghala ke arah kita? Tak dapat isi, dapat kuah pun jadi. Ia bukanlah semata-mata kerana wang, tetapi juga kerana jati diri.

Sampai bila kita hendak tengok anak cucu kita hendak menjadi Superman, Batman, Spiderman dan sebagainya? Takkan hendak tunggu sehingga puak antivaksin pakat angkat bendera putih sebab itu tak boleh, ini tak boleh?#dush!

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Klik di sini untuk terus membaca