SHAH ALAM - Peluang pekerjaan untuk belia dan golongan hilang kerjaya di negara ini bakal terbuka luas kerana kerajaan dijangka memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi dan inovasi serta pendigitalan menerusi Bajet 2022.
Penggunaan teknologi, inovasi dan pendigitalan akan membuatkan sektor pekerjaan yang tidak diminati golongan muda seperti perladangan dan pertanian akan berwajah baharu.
Sektor pekerjaan yang lesu akibat pandemik seperti pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula dijangka pulih dengan lebih cepat dan berkembang dengan pantas.
Usaha itu juga memberi lebih ketahanan kepada semua sektor pekerjaan dalam mendepani apa sahaja cabaran pascapandemik Covid-19.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, penggunaan teknologi dan inovasi boleh menjadi umpan untuk memancing golongan belia terlibat dalam sektor pekerjaan yang tidak popular, yang juga digelar pekerjaan 3D iaitu dirty-dangerous-difficult atau kotor, bahaya dan sukar.
Katanya, sektor itu menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan namun belia tidak berminat menyebabkan industri itu diisi tenaga kerja asing.
"Misalnya ketika ini bagi sektor perladangan, kerajaan bercadang membawa lebih 30,000 pekerja dan gajinya bukan murah, puratanya RM3,000 sebulan tapi kerjanya agak berat kerana perlu petik buah kelapa sawit dan sebagainya.
"Oleh itu, kalau diperkenalkan teknologi dan inovasi untuk memudahkan kerja-kerja ladang seperti kerja petik buah boleh gunakan mesin khas, sudah tentu golongan muda akan berminat,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada September lalu, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mempercepat penggunaan teknologi dan inovasi serta menumpukan kepada pendigitalan, teknologi termaju termasuk Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan baru-baru ini pula mendedahkan seramai 778,220 individu kehilangan pekerjaan sejak negara dilanda pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, selari dengan rancangan kerajaan itu, majikan juga perlu mempunyai kesanggupan melabur ke arah teknologi dan inovasi.
"Contohnya, Felda sepatutnya menjadi peneraju dalam penciptaan alat atau mesin yang boleh memudahkan kerja-kerja ladang seperti alat menuai buah kelapa sawit tanpa kaedah konvensional menggunakan sabit.
"Sebagai galakan kepada majikan, kerajaan boleh menyediakan insentif misalnya pelepasan cukai kepada syarikat perladangan yang mencipta teknologi dan inovasi dan syarikat yang menggunakan kaedah baharu itu,” kata beliau.
PENDIGITALANSenada dengan Barjoyai, Pakar Ekonomi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, pendigitalan diyakini akan menarik minat orang muda untuk menceburi dan meneroka sektor pekerjaan yang sebelum ini bukan dipelopori pekerja tempatan.
"Untuk Bajet 2022, saya nampak untuk menangani pengangguran dalam kalangan belia, kerajaan akan jadikan aspek pendigitalan sebagai tumpuan.
"Maksudnya, kerajaan akan meneliti sektor yang boleh digabung jalin dengan pendigitalan misalnya sektor pertanian bagi memastikan kerja-kerja menjadi lebih mudah,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, konsep pertanian pintar dilihat sebagai pendekatan baharu yang boleh menarik penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian.
"Ini kerana sebagai perancangan 2022, kerajaan sudah belajar daripada pengalaman 2020 dan 2021 yang mana kedudukan kita sangat kritikal dari segi sekuriti makanan.
"Jadi bila disebut soal sekuriti makanan, seharusnya sektor pertanian perlu diperkasa,” katanya.
Tambah beliau, melalui pendigitalan, projek pertanian boleh diusahakan dalam skala besar dan dipasarkan dengan lebih meluas
"Misalnya semua projek pertanian boleh dipantau menggunakan teknologi digital.
"UniSZA sendiri membangunkan teknologi cip dalam penternakan kambing.
"Setiap ekor kambing itu diletakkan cip, jadi kita boleh pantaunya dari makmal tanpa perlu ke kandang.
"Cip itu juga boleh kesan suhu badan kambing dan sebagainya menjadikan kerja-kerja lebih produktif,” kata Ahmad Azrin.
Klik di sini untuk terus membaca