Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun bukan sesuatu di luar jangka namun situasi tersebut memerlukan intervensi pihak kerajaan untuk memastikan golongan yang kegelinciran ini dapat dibantu.
"Data Jabatan Statistik Negara menyatakan sekitar 12.8 peratus golongan T20 bertukar kepada M40, manakala 20 peratus golongan M40 menjadi B40," katanya kepada Sinar Premium.
Perkara itu antara lain disebabkan pelaksanaan berulang kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat peningkatan jumlah kes Covid-19 banyak memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi terutama pada suku kedua tahun lalu.
Ditanya apa yang boleh diharapkan daripada pembentangan Bajet 2022 yang dijadual Jumaat ini daripada segi keperluan menangani isu kegelinciran rakyat ini, Mohd Afzanizam berkata, dalam konteks Bajet 2022 umumnya defisit masih kekal besar.
Defisit besar bermaksud keperluan kerajaan berbelanja lebih bagi menguruskan proses pemulihan ekonomi dengan lebih efektif.
"Namun tahun depan mungkin disebabkan kenaikan harga minyak mentah dunia dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik, hasil kerajaan (kutipan cukai dan bukan cukai) mungkin lebih baik dan membolehkan kerajaan berbelanja lebih banyak.
"Dalam RMK12 juga disebut peruntukan perbelanjaan pembangunan bernilai RM400 bilion untuk lima tahun, secara purata RM80 bilion setahun dan ia jumlah yang cukup besar untuk pembangunan.
"Apa yang penting adalah bantuan kepada rakyat seperti pembiayaan mikro berkemungkinan akan diteruskan kerana keadaan ekonomi yang masih rentan," ujarnya.
Tambah beliau, secara umumnya ekonomi dijangka bergerak dengan lebih baik.
"Ini terbukti dengan beberapa kelonggaran yang diberikan kerajaan seperti kebenaran merentas negeri yang sudah pasti banyak merancakkan aktiviti ekonomi.
"Bagaimanapun, situasi kejutan ekonomi masih dirasai dan kepada yang telah bertukar status atau mengalami kegelinciran untuk mereka kembali kepada keadaan asal memerlukan masa. Di sinilah peranan bantuan kerajaan perlu ditekankan,” tegasnya. Klik di sini untuk terus membaca