SHAH ALAM - Seorang pemimpin veteran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak secara solo dengan mengenepikan kerjasama Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pemimpin veteran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak secara solo dengan mengenepikan kerjasama Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Bekas Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, UMNO dan BN berhak untuk menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu mahu pun Pas kerana asas kekuatan dan sokongan akar umbi serta rakyat terhadap parti Melayu berkenaan masih kukuh.

Jelas beliau, asas perjuangan dan hala tuju Bersatu pula dilihatnya sebagai semakin kehilangan arah sejak 'dikuasai' sebilangan besar bekas pemimpin UMNO.

"Konflik terbaru dalam kepemimpinan Bersatu itu juga menyebabkan rakyat tidak yakin parti itu mampu membawa perubahan sebagaimana Bersatu sewaktu era awal penubuhan parti berkenaan," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Dakwa Ab Rashid, berbeza dengan objektif penubuhan Bersatu sebelum ini yang konsisten menentang penguasaan golongan elit politik UMNO tapi majoriti pemimpin Bersatu sekarang adalah 'DNA' UMNO.

"Saya sokong UMNO pergi sendiri (pada PRN Melaka). Bagi saya, Bersatu sekarang tiada hala tuju, asas perjuangan berbeza dengan Bersatu asal kerana majoriti pemimpin parti itu sendiri adalah terdiri 'DNA' UMNO.

"Bersatu dahulu konsisten melawan golongan elit politik UMNO yang mengambil kesempatan daripada rakyat, tetapi kebanyakan pemimpin Bersatu sekarang merupakan bekas pemimpin UMNO.

"Dengan Bersatu sendiri pun tiada kekuatan akar umbi, jadi saya tidak nampak alasan munasabah untuk rakyat Melaka mengundi mereka pada PRN Melaka. Saya yakin mereka akan lebih memilih UMNO dan BN berbanding PN itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kewajaran UMNO dan BN mengadakan kerjasama politik dengan PN pada PRN Melaka untuk mengelakkan kemungkinan pertembungan tiga penjuru.

AB RASHID
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan keputusan sama ada parti itu bakal mengadakan kerjasama dengan parti lain termasuk Bersatu akan diumumkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Oktober ini.

Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu mengumumkan koalisi itu bersedia untuk bertanding pada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan tidak dapat menunggu 'rakan di sebelah sana' untuk membuat keputusan dengan lebih lama.

Konflik kerjasama di antara BN dan PN masih menjadi tanda-tanya susulan Bersatu dan Pas dikatakan tidak berpuas hati dengan jumlah pembahagian kerusi pilihan raya yang dicadangkan UMNO dan BN bagi menghadapi PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

Ditanya mengenai pendirian Pas dalam 'mengharmonikan' hubungan UMNO dan Bersatu, Ab Rashid yang juga bekas Pengerusi SPR berpandangan Pas tidak akan mampu menjadi jambatan bagi mendamaikan kedua-dua parti berkenaan.

"Situasi hubungan UMNO-Bersatu sekarang yang sebenarnya menguntungkan Pas kerana parti itu boleh berunding dengan kedua-dua pihak atas kepentingan politik mereka.

"Saya anggap Pas merupakan parti yang sekadar mahu tumpang pihak mana yang kuat untuk terus hidup," katanya.

MOHD ERWAN


KEKUATAN TUN MAHATHIR

Dalam pada itu, bekas Ketua Bersatu bahagian Putrajaya, Datuk Seri Mohd Erwan Tahir berpandangan, PN yang dipimpin Bersatu bukan berpijak di bumi yang nyata apabila menyatakan keyakinan mahu bertanding pada keseluruhan 28 kerusi DUN di Melaka.

Beliau yang kembali menyertai UMNO baru-baru ini menegaskan PN menyedari koalisi itu lebih rugi sekiranya tidak dapat bekerjasama dengan BN pada PRN Melaka.

Tambah Mohd Erwan, hal ini kerana rata-rata rakyat mengetahui PN mempunyai rekod perkhidmatan mentadbir dan mengurus negara yang gagal di bawah pimpinan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan.

"Bersatu dan PN sebenarnya tiada jalan lain untuk mengekalkan kuasa di Melaka kecuali bekerjasama dengan UMNO, tetapi UMNO tolak mentah-mentah Bersatu mahu pun Pas.

"Dengan UMNO dan BN dijangka mempertaruhkan calon boleh menang dan bukan dalam kalangan kroni, PN kini agak 'goyang' kerana calon-calon dikemukakan koalisi berkenaan belum tentu dikenali dan diterima rakyat," katanya.

Mohd Erwan juga tidak menolak kemungkinan PN dan Bersatu bakal menggunakan strategi 'Asal Bukan UMNO (ABU)' bagi memastikan UMNO dan BN tidak menjadi kerajaan baharu Melaka, sekali pun taktik itu menyebabkan Pakatan Harapan (PH) menang.

"Kena ingat, kekalahan BN pada PRU14 adalah disebabkan tsunami politik Melayu yang dicetuskan Dr Mahathir. Sekarang beliau tiada, Bersatu tiada figura yang boleh mencetuskan fenomena sedemikian ketika ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca