[MUKADIMAH] Pengumuman kelonggaran merentas negeri dan pembukaan banyak sektor pelancongan dilihat memberi 'nyawa' kepada burung besi untuk kembali terbang tinggi.
Sudah pasti ia khabar gembira buat semua pemain industri penerbangan. Ikuti wawancara khas Sinar Premium bersama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat yang berkongsi harapan dan aspirasi tentang masa depan industri ini.
SINAR PREMIUM: Secara keseluruhan, bagaimana Riad melihat proses kebangkitan sektor penerbangan negara selepas ‘lumpuh’ hampir dua tahun berikutan pandemik Covid-19?
RIAD ASMAT: Insya-ALLAH, proses kebangkitan industri penerbangan akan bertitik tolak dengan pengumuman kebenaran merentas negeri dan pembukaan lebih banyak cabang sektor pelancongan yang sememangnya dinantikan semua pihak terutama para pemain industri.
Walaupun masih perlu pemantauan berikutan kita hidup dalam 'dunia' baru, namun boleh saya katakan memang ada cahaya kebangkitan.
Bagaimana impak keseluruhan pandemik Covid-19 terhadap AirAsia?
Tiada siapa yang bersedia dengan kemunculan secara tiba-tiba Covid-19 dan boleh dikatakan seluruh industri penerbangan terencat.
Kita perlu melakukan perubahan contohnya daripada segi operasi, penerbangan dan sebagainya. Jelas ada impak yang besar, tetapi kami menggunakan kesempatan yang ada untuk memperbaiki kebolehan, prosedur untuk penumpang AirAsia serta para pekerja kami.
Dengan pengumuman kelonggaran merentas negeri dan pembukaan semula industri pelancongan adakah Riad melihat ia sebagai peluang positif untuk industri penerbangan negara beroperasi secara penuh?
Dari segi kelonggaran yang diberikan memang kita positif tapi seperti saya katakan tadi kita masih perlu memantau keadaan. Contoh terbaik, kita boleh melihat kepada Gelembung Perjalanan Langkawi yang dilaksanakan dengan SOP yang ketat.
Ditambah dengan kebenaran perjalanan merentas negeri disertakan dengan pematuhan ketat terhadap SOP memang ada peluang untuk industri penerbangan kembali kepada situasi sebelum Covid tetapi sudah pasti bukan dalam waktu yang singkat atau sekelip mata.
Boleh Riad kongsikan sedikit tentang operasi AirAsia pada ketika ini terutama dari segi pematuhan SOP dalam kalangan penumpang?
Dari segi SOP, selain hanya menerima penumpang yang lengkap vaksinasi kami juga telah membuat beberapa inovasi terbaharu antaranya, teknologi tanpa sentuhan dan penambahbaikan aplikasi AirAsia Super App yang semestinya lebih memudahkan segala urusan penumpang daripada pembelian tiket sehingga menaiki penerbangan.
Fokus kami adalah mengurangkan sentuhan fizikal bagi meminumkan risiko berlaku jangkitan Covid-19 dan tahap penerimaan kaedah baru ini untuk urusan penerbangan di masa depan dalam kalangan penumpang juga amat memberangsangkan.
AirAsia juga akan memperkenalkan teknologi pengecaman wajah atau dikenali juga sebagai FACES. FACES akan menjadi pengenalan untuk menggunakan wajah masing-masing bagi mengurangkan aspek dokumentasi fizikal. Selain apa yang disarankan oleh pihak berkuasa, inilah yang kami lakukan di AirAsia demi memudahkan urusan dan menjamin keselesaan para penumpang kami.
Apakah antara perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang AirAsia bagi memastikan survival syarikat di masa depan?
Untuk jangka masa pendek, secara keseluruhan strategi kita adalah mengumpul sebanyak mana dana yang boleh menerusi penjualan tiket penerbangan, untuk kembali beroperasi ke semua pasaran utama. Inilah keutamaan AirAsia buat masa ini.
Perancangan jangka masa panjang, selain pembukaan sempadan domestik kita juga mengharapkan pembukaan sempadan antarabangsa namun sudah pasti ia bukan dalam masa terdekat kerana ia melibatkan urusan antara kerajaan negara masing-masing.
Sebagai pemain industri penerbangan, kami mengharapkan akan ada SOP standard misalnya daripada segi pemantauan, kuarantin dan sebagainya.
Pada pandangan Riad, berapa tempoh masa diperlukan industri penerbangan terutama di Malaysia untuk benar-benar pulih?
Untuk domestik, Insya-ALLAH dalam masa beberapa bulan tetapi sebenarnya pada tahun lalu kita pernah mendapat pencapaian hampir sebelum Covid-19 ketika perjalanan antara negeri masih dibenarkan.
Sebaliknya, untuk penerbangan antarabangsa secara realistik masih memerlukan masa yang panjang jadi keutamaan adalah memastikan AirAsia mampu memenuhi keperluan pasaran domestik terlebih dahulu.
Menjelang pembentangan Bajet 2022 yang dijadual 29 Oktober ini, apa harapan Riad dan AirAsia untuk sektor penerbangan negara?
Saya amat berharap sekiranya ada insentif pengurangan kos perjalanan kepada semua yang terlibat dalam industri ini. Kita dalam fasa pemulihan, maka suntikan bantuan daripada Bajet 2022 amatlah dialukan-alukan agar kita dapat kembali pulih.
Keduanya, mengekalkan pekerjaan rakyat, dalam tempoh dua tahun ini kita lihat banyak perusahaan beralih kepada digital jadi sekiranya kita mendapat sokongan bertumpu ke arah itu bukan sahaja baik untuk sektor penerbangan tetapi semua sektor lain.
Akhir sekali, apa harapan terbesar Riad pada ketika ini berhubung masa depan sektor penerbangan negara?
Saya memang nampak peluang dan prospek positif untuk sektor penerbangan negara kembali pulih, kita cuma harus mematuhi SOP yang digariskan dan sekiranya kita dapat buat apa yang kita patut buat dengan bantuan kerajaan, kita mungkin dapat kembali ke tahap yang lebih baik.
Saya juga amat berharap AirAsia akan dapat kembali memberi sumbangan kepada ekonomi negara.
Industri penerbangan negara yang teruk terjejas sejak kemunculan pandemik Covid-19 kini akhirnya menemui rentak kebangkitan.
Klik di sini untuk terus membaca