LAUT Mati yang terletak di Israel, Tebing Barat, Palestin dan Jordan kini berdepan masalah air yang semakin kering sehingga ia kehilangan kira-kira satu pertiga daripada luas permukaannya sejak tahun 1960-an lagi. Ia yang juga dikenali... Klik di sini untuk terus membaca

LAUT Mati yang terletak di Israel, Tebing Barat, Palestin dan Jordan kini berdepan masalah air yang semakin kering sehingga ia kehilangan kira-kira satu pertiga daripada luas permukaannya sejak tahun 1960-an lagi.

Ia yang juga dikenali sebagai tasik air masin turut menghadapi masalah kewujudan ribuan lubang benam sedalam beberapa meter di sekitar pantai.

Air di laut itu pula berkurangan kira-kira satu meter setiap tahun sehingga menyebabkan banyak garam terdapat di permukaannya.

Lubang-lubang benam itu boleh mencapai kedalaman sehingga 10 meter sekali gus mencacatkan lagi pemandangan di sekitar pantai tersebut.

Di pusat mandian mata air panas Ein Gedi, Israel yang kini terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari pasir berbatu-batu di tepi pantai Laut Mati itu turut 'dihantui' dengan kewujudan lubang-lubang benam.

BANDAR HANTU

Namun, jika bergerak ke arah utara dari Ein Gedi itu, terdapat sebuah kompleks pelancongan tetapi ia telah menjadi seperti sebuah bandar 'hantu' dengan terdapat banyak 'kawah' .

Kawasan berkenaan juga ditutup dengan pagar manakala tempat pejalan kaki pula dan lampu-lampu jalan tidak terkecuali daripada mengalami kerosakan.

Sebuah artikel di Majalah Smithsonian pada tahun 2005 menyatakan terdapat kira-kira 1,000 lubang benam di sekitar pantai Laut Mati.

Bagaimanapun, menurut Ittai Gavrieli iaitu penyelidik kanan Institut Geologi Israel kepada AFP, kini terdapat ribuan lubang benam di sekitar pantai Laut Mati di Jordan, Israel dan Tebing Barat.

Keadaan itu berlaku disebabkan oleh perbuatan manusia yang menyebabkan aliran air ke Laut Mati musnah.

Ia juga disebabkan kesan daripada tindakan Israel dan Jordan mengalihkan air dari Sungai Jordan untuk tujuan pertanian serta minuman.

Syarikat-syarikat kimia pula telah bertindak mengekstrak mineral dari air Laut Mati itu.

Perubahan iklim juga mempercepatkan lagi masalah kekeringan di Laut Mati itu.

Sodom yang terletak di barat daya Laut Mati pernah mencatatkan suhu tertinggi dalam tempoh lebih 70 tahun pada Julai 2019.

Ketika itu suhu yang dicatatkan ialah 49.9 darjah Celsius. Sodom pernah disebutkan dalam kitab al-Quran yang mana penduduknya mengamalkan hubungan sejenis dan pergaulan bebas ketika zaman Nabi Luth. Dalam pada itu, Gavrieli berkata, Institut Geologi Israel sedang memantau pembentukan lubang benam dari angkasa lepas dan menyatakan bahawa ia sebenarnya berbahaya tetapi ia boleh dijadikan sebagai salah satu daya tarikan pelancong.

"Ia mempunyai potensi untuk menjadi satu daya tarikan pelancong jika anda bersedia mengambil risiko," katanya kepada AFP.

TINDAK BALAS ALAM

Bagaimanapun, Pengarah sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu EcoPeace di Israel, Gidon Bromberg menyatakan lubang benam itu sebagai terlalu bahaya.

Pantai Laut Mati kini mengalami peningkatan bilangan lubang benam. - Foto AFP

Lubang itu wujud adalah disebabkan 'tindakan balas alam semula jadi' hasil daripada perbuatan yang dilakukan oleh manusia. "Kami tidak mampu untuk membawa balik keadaan Laut Mati seperti zaman kehebatannya pada masa lalu. Namun, kami akan menstabilkannya," ujarnya seperti dilaporkan oleh AFP.

Pertubuhan EcoPeace itu turut dianggotai oleh para pejuang alam sekitar Jordan, Palestin dan Israel yang memperjuangkan usaha-usaha peningkatan penyahmasinan air laut dari Laut Mediterranean bagi 'melegakan tekanan' di Laut Galilee dan Sungai Jordan sebelum ia mengalir kembali ke Laut Mati. Dalam usaha menyelamatkan Laut Mati, seorang jurucakap dari Kementerian Air Jordan menyatakan kepada AFP bahawa komuniti dermawan sepatutnya memainkan peranan penting bagi mencetuskan penyelesaian berhubung masalah di laut tersebut.

Pada Jun lalu, Jordan bertindak mengabaikan satu cadangan pembinaan sebuah terusan bagi membawa air dari Laut Merah ke Laut Mati.

Sebaliknya, Amman mengumumkan bahawa ia akan membina sebuah loji penyulingan bagi membekalkan air minuman.

Namun, walaupun jika sebuah terusan dibina, ia tidak akan menyelamatkan Laut Mati, kata seorang ahli hidrologi, Eran Halfi dari Pusat Sains Laut Mati-Arava di Baitulmaqdis .

Beliau menambah bahawa laut tersebut kini kekurangan satu bilion meter kubik air setiap tahun.

Justeru, adakah Laut Mati akan menjadi kering? Para saintis memberikan jawapan bahawa masalah air Laut Mati semakin berkurangan pasti akan berlaku untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 100 tahun lagi .

Menurut mereka lubang-lubang benam itu pula akan wujud di sekitar pantai tersebut selama lebih satu abad. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca