SHAH ALAM - Dua tahun selepas dilanda pandemik Covid-19, industri penerbangan negara kini dilihat kembali bangkit. Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, beberapa kelonggaran termasuk kebenaran merentas negeri dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dua tahun selepas dilanda pandemik Covid-19, industri penerbangan negara kini dilihat kembali bangkit.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, beberapa kelonggaran termasuk kebenaran merentas negeri dan pembukaan semula sektor pelancongan domestik adalah tiket emas buat industri penerbangan yang sebelum ini lesu dengan deretan kapal terbang tersadai.

"Insya-ALLAH, proses kebangkitan industri penerbangan akan bertitik tolak dengan pengumuman kebenaran merentas negeri dan pembukaan lebih banyak cabang sektor pelancongan yang sememangnya dinantikan semua pihak terutama para pemain industri.

"Saya memang nampak peluang dan prospek positif untuk sektor penerbangan negara kembali pulih, kita cuma harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dan sekiranya kita dapat buat apa yang kita patut buat dengan bantuan kerajaan, kita mungkin dapat kembali ke tahap yang lebih baik.

Riad mengakui, cahaya di hujung terowong buat industri itu kembali ada apabila inisiatif Gelembung Pelancongan Langkawi dimulakan pada 16 September lalu menyaksikan penjualan tiket kapal terbang amat memberangsangkan.

"Alhamdulillah, sehingga kini, sebanyak hampir 350,000 tempat duduk telah dijual ke Langkawi dan lebih 65,000 tetamu telah diterbangkan ke pulau tersebut yang merupakan bukti peningkatan permintaan perjalanan.

"Boleh dikatakan ia merupakan satu kejayaan yang menyerlah daripada segi keupayaan kami sebagai pemain industri penerbangan.

"Buat masa ini, Langkawi masih destinasi utama penerbangan kami tetapi diharapkan dalam masa terdekat ini negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Johor dan Pulau Pinang juga bakal menerima sambutan," ujarnya lagi.

Melihat kepada prospek positif itu, fokus kami buat ketika ini adalah mengumpul sebanyak mana dana yang boleh menerusi penjualan tiket penerbangan, untuk kembali beroperasi ke semua pasaran utama.

Kru kabin dan juruterbang AirAsia semangat menyambut kedatangan para penumpang.

"Inilah keutamaan AirAsia buat masa ini. Sementara untuk jangka masa panjang, selain pembukaan sempadan domestik kita juga mengharapkan pembukaan sempadan antarabangsa namun sudah pasti ia bukan dalam masa terdekat kerana ia melibatkan urusan antara kerajaan negara masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, menjelang pembentangan Belanjawan 2022 yang dijadual 29 Oktober ini, pastinya sepertimana pemain industri lain, ia diharapkan membawa perkhabaran gembira buat industri penerbangan.

"Saya amat berharap sekiranya ada insentif pengurangan kos perjalanan kepada semua yang terlibat dalam industri ini.

"Kita dalam fasa pemulihan, maka suntikan bantuan daripada Bajet 2022 amatlah dialukan-alukan agar kita dapat kembali pulih.

"Keduanya, mengekalkan pekerjaan rakyat, dalam tempoh dua tahun ini kita lihat banyak perusahaan beralih kepada digital jadi sekiranya kita mendapat sokongan bertumpu ke arah itu bukan sahaja baik untuk sektor penerbangan tetapi semua sektor," katanya.

PERKENAL TEKNOLOGI TANPA SENTUHAN

Seiring dengan kembali rancaknya industri penerbangan negara satu perkara yang amat perlu diberi penekanan adalah pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak risiko penularan jangkitan Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, daripada segi SOP, pihaknya telah membuat beberapa inovasi terbaharu.

"Antaranya, teknologi tanpa sentuhan dan penambahbaikan aplikasi AirAsia Super App yang semestinya lebih memudahkan urusan penumpang daripada pembelian tiket sehingga menaiki penerbangan," jelasnya.

Katanya, AirAsia menjamin standard keselamatan seiring dengan rancangan mitigasi Covid-19 dengan mewajibkan proses daftar masuk secara kendiri melalui AirAsia Super App yang diintegrasikan dengan status vaksinasi melalui MySejahtera.

"Fokus kami adalah mengurangkan sentuhan fizikal bagi meminumkan risiko berlaku jangkitan Covid-19," tegas beliau sambil menambah AirAsia hanya menerima penumpang yang telah lengkap divaksin.

Pada masa sama, AirAsia turut akan memperkenalkan teknologi pengecaman wajah atau dikenali juga sebagai FACES.

FACES akan menjadi pengenalan untuk menggunakan wajah masing-masing bagi mengurangkan aspek dokumentasi fizikal.

"Selain apa disarankan pihak berkuasa, inilah kami lakukan demi memudahkan urusan dan menjamin keselesaan penumpang kami," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca