BAJET 2022 yang bakal dibentang petang esok dijangka menumpukan sepenuhnya kepada dasar membantu golongan berpendapatan rendah (B40), menggalakkan penggunaan pekerja tempatan serta mempercepatkan peralihan kepada ekonomi digital.... Klik di sini untuk terus membaca

BAJET 2022 yang bakal dibentang petang esok dijangka menumpukan sepenuhnya kepada dasar membantu golongan berpendapatan rendah (B40), menggalakkan penggunaan pekerja tempatan serta mempercepatkan peralihan kepada ekonomi digital.

Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Asan Ali Golam Hassan daripada Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, tiga aspek berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan 12 perkara penting yang dijangka menjadi tumpuan kerajaan bagi memacu kembali ekonomi negara pada tahun 2022.

Jelas beliau, pengenalan dasar membantu golongan B40 amat signifikan kerana negara pada ketika ini telah berhadapan dengan masalah struktur ekonomi yang tidak memihak kepada golongan pekerja, pencari kerja serta golongan berpendapatan rendah.

"Petunjuk-petunjuk ekonomi yang berasaskan agregat dan materialistik tidak menggambarkan situasi sebenar ekonomi majoriti penduduk Malaysia.

"Berkenaan inisiatif menggalakkan penggunaan pekerja tempatan, kerajaan harus benar-benar serius melaksanakan dasar dan peraturan pekerja asing dengan pengambilan mereka harus dikurangkan untuk aktiviti tertentu sahaja.

"Selain itu, ekonomi negara perlu transform daripada berasaskan buruh kepada aktiviti ekonomi berasaskan intensif teknologi sserta nilai ditambah yang lebih tinggi.

"Untuk pekerjaan bukan kotor berbahaya dan sukar (3D), peluang harus diberikan kepada pekerja tempatan dengan insentif khas bagi menggantikan pekerja asing kepada pekerja tempatan dalam bentuk potongan cukai dan subsidi upah pekerja perlu ditingkatkan," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Prof Dr Asan Ali Golam Hassan

Beliau berkata demikian bagi mengulas jangkaan intipati Bajet 2022 yang bakal dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada jam 4 petang, Jumaat ini.

Menariknya, ini merupakan tahun kedua Tengku Zafrul membentangkan bajet Malaysia tetapi mewakili dua kerajaan dan Perdana Menteri berbeza.

Kali pertama Putrajaya dipimpin Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala kali ini ketua kerajaan ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bajet 2022 pastinya mengundang debaran dalam kalangan 32.7 juta rakyat Malaysia susulan Ismail Sabri memberi jaminan terdapat faktor 'wow' yang mencakupi kepentingan semua golongan di dalam inti pati belanjawan tahunan berkenaan.

Mengulas lanjut, Asan Ali turut mengakui Bajet 2022 yang juga belanjawan pertama Ismail Sabri bakal menjadi platform kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk mengoptimumkan ruang lingkup ekonomi digital.

Jelas beliau, ekonomi negara wajar secara aktif beralih kepada ekonomi digital menerusi pelaksanaan empat ekosistem digital iaitu, infrastruktur; infostruktur, perolehan data (data capture) serta inovasi.

"Kerajaan dijangka akan menyediakan perancangan jangka panjang yang menyeluruh untuk memperkasakan sistem rangkaian sosial, platform dan aplikasi bergerak, serta e-dagang bagi kegunaan semua sektor ekonomi dan bukan ekonomi, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, bandar dan luar bandar secara berhubung kait.

"Selain itu, bagi mencapai hasrat berkenaan, kerajaan wajar menyegerakan penyediaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi di sekolah, institusi pendidikan dan latihan, desa pintar, perluasan sistem e-dagang, penggunaan sistem automasi dan drone," katanya.

KEMBANG SAIZ PERBELANJAAN BAJET

Sementara itu, pakar ekonomi daripada Sunway University, Dr Yeah Kim Leng menjangkakan kerajaan akan mengembangkan lagi saiz perbelanjaan Bajet 2022 berbanding belanjawan tahun lalu bagi memastikan usaha pemulihan kembali ekonomi negara pasca krisis Covid-19 tidak terbantut.

Jelas beliau, usaha pemulihan ekonomi negara baru dianggap bermula pada suku ketiga tahun 2021 disebabkan kesan pandemik Covid-19 yang panjang dengan negara baru mencapai kapasiti vaksinasi rakyat lengkap lebih 80 peratus pada bulan Oktober.

Dr Yeah Kim Leng

"Justeru. keperluan kerajaan menggandakan lagi peruntukan Bajet 2022 amat penting bagi mengelakkan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang lemah selain proses pemulihan terpaksa dilanjutkan sehingga tahun 2023.

"Bagi saya, Bajet 2022 bakal menyediakan tiga enjin pemacu penjanaan ekonomi negara meliputi aspek pemulihan aktiviti eksport, peningkatan ekonomi domestik serta suntikan modal daripada kerajaan bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi," katanya.

Menyentuh aspek kesihatan, Kim Leng turut meramalkan kerajaan akan meningkatkan peruntukan dalam memperkasakan sistem kesihatan awam dengan jumlah signifikan.

Jelas beliau, meskipun negara kini memasuki fasa endemik, kerajaan perlu berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk penularan varian baharu atau virus lain yang memberi impak besar sebagaimana Covid-19 pada masa hadapan.

"Selain itu, saya mengharapkan Bajet 2022 tidak meminggirkan golongan berpendapatan sederhana (M40) yang teruk terkesan akibat krisis Covid-19 sehingga hilang pekerjaan dan perniagaan.

"Isi rumah dan usahawan daripada golongan M40 terkesan sewajarnya diberikan sokongan secukupnya untuk mereka kembali bangkit terutama bagi mereka yang terlibat dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Kerajaan perlu meneruskan pemberian bantuan seperti rebat cukai, bantuan pemindahan pendapatan seperti Prihatin serta moratorium pinjaman bank sekurang-kurangnya sehingga krisis benar-benar reda," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca