SEJAK tanda di atas huruf e ditiadakan, kadangkala berlaku kekeliruan dalam sebutan dan bacaan sesuatu perkataan sama ada ia adalah e pepet atau e taling. Cara mudah untuk mengetahui e pepet atau e taling adalah dengan contoh perbezaan... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK tanda di atas huruf e ditiadakan, kadangkala berlaku kekeliruan dalam sebutan dan bacaan sesuatu perkataan sama ada ia adalah e pepet atau e taling.

Cara mudah untuk mengetahui e pepet atau e taling adalah dengan contoh perbezaan bunyi dua perkataan ini iaitu emak (e pepet) dan ekor (e taling).

Tapi, bagaimana mahu membezakan antara sepak (penampar) dan sepak (tendang)?

Walaupun isu itu terpencil dan mempunyai opsyen penggunaan perkataan lain, kekeliruan akan terus berlaku sehinggalah seseorang itu tahu maksud perkataan yang sebenarnya.

Saya masih ingat lagi seorang pembaca berita TV menyebut berulang kali nama kampung saya secara salah.

Ketika itu berlaku kemalangan ngeri melibatkan penduduk kampung yang dalam perjalanan mahu berkelah di Pantai Merdeka.

Semua mangsa berasal dari Kampung Tembak, Kuala Ketil, Kedah.

Pembaca berita itu berpandangan sebutan adalah sama seperti Kampung Padang Tembak di Kuala Lumpur tetapi sebenarnya bukan.

Nama Kampung Tembak tempat kelahiran saya diambil sempena nama pokok temak – banyak tumbuh di kawasan kampung waktu itu.

Kayu pokok itu amat berguna untuk memasak dan memiliki aroma yang wangi.

Oleh sebab kepentingan pokok dan kebergantungan penduduk terhadap tumbuhan berkenaan, ia menjadi sebutan dalam kalangan penduduk.

Mengikut cerita arwah bapa saya – yang menjadi generasi awal terlibat dalam pembukaan kampung, sebutan temak berulang kali menyebabkan muncul bunyi tembak (e pepet).

Dipendekkan cerita, penduduk sepakat menamakan tempat tinggal mereka dengan nama Kampung Tembak.

Bagi yang mengetahui atau familiar dengan kampung, mereka akan menyebut sebutan yang betul tetapi rata-rata orang luar akan menyebutnya dengan nama tembak ataupun dalam bahasa Inggerisnya, shoot.

Setiap kali ada orang luar sama ada guru yang baru pindah, pegawai polis waima posmen, soalan yang mula-mula akan ditanya kenapa nama Kampung Tembak, adakah kerana berlaku tembak-menembak ataupun ada kilang senapang di kampung saya. Maka, kisah asal usul nama Kampung Tembak perlu diceritakan bagi menjelaskan kepada mereka.

TULAR KISAH HARGA BESI

Dan, sehari dua ini muncul komen-komen nakal berkaitan tajuk berita ‘Besi naik RM2,800 setan kepada RM4,000 setan’.

Oleh sebab ada yang terkhilaf membaca, maka setan itu menjadi syaitan. Tambahan pula tajuk itu menimbulkan kemarahan kerana kenaikan dengan jurangnya terlalu besar, maka pembaca berasakan sesuai untuk perkataan setan (syaitan) disebut bersama.

Tajuk berita itu sebenarnya harga besi naik RM2,800 satu tan kepada RM4,000 satu tan.

Ada juga netizen sudah tahu maksudnya tapi secara sengaja mengatakan editor yang meletakkan tajuk tersebut sedang marah dengan kenaikan harga besi hingga membabitkan setan dalam kenaikan harga itu.

Tidak kurang juga yang mengaitkan iblis dan syaitan dalam kenaikan harga besi untuk merosakkan manusia.

Macam-macam idea netizen, namun dalam kemeriahan komen mengaitkan syaitan dengan cerita kenaikan besi, rata-ratanya bimbang kenaikannya memberi kesan kepada pengguna.

Ada yang mengadu kontraktor sudah menaikkan harga untuk pemasangan jeriji besi dan renovasi yang menggunakan bahan berasaskan besi.

Kebimbangan orang ramai sememangnya berasas kerana awal tahun ini, kenaikan harga besi menambah tekanan kepada kontraktor yang sudah sedia terjejas akibat Covid-19.

Harga besi waktu itu sudah pun naik sehingga 40 peratus menyebabkan projek sedia ada terjejas dan pemaju tidak mampu untuk menanggung kerugian besar disebabkan kenaikan tersebut.

Ada kontraktor yang terpaksa menghentikan pembelian dan menunggu harga kembali stabil tetapi rupanya harga besi terus melonjak.

Ada pemaju yang ingin mengkaji semula harga rumah dan tidak kurang juga berdepan risiko gulung tikar kerana tidak mampu menyerap kos bahan binaan itu.

Berbalik kepada e pepet dan e taling, di sebalik tajuk yang menjadi bahan jenaka, ada isu besar perlu diberikan perhatian kerajaan kerana jika tidak ditangani, impak rantaian memberi kesan kepada banyak sektor dan paling terkesan ialah pengguna akhir iaitu orang ramai.

Klik di sini untuk terus membaca