AGAK mengejutkan apabila BBC News pada 18 Oktober lalu melaporkan penyangak wang atau scammer telah menyebabkan impak terhadap kesejahteraan kehidupan mencecah hampir RM54 bilion.
Menurut wartawan tersohor, Kevin Peachey, majoriti tertipu oleh scammer akan mengalami kemurungan ketara.
Paling meresahkan ada yang berdepan masalah perkahwinan selepas kehilangan wang simpanan hari tua.
Pendedahan Peachey menggemparkan dunia.
Kumpulan pengguna ‘Which’ berpangkalan di England pula melaporkan mangsa penipuan scammer mengalami keresahan sehingga menjejaskan tahap kesihatan khususnya kesan emosi dan psikologi selepas ditipu.
Dalam artikel tersebut, Peachey mendedahkan majoriti yang ditipu scammer memiliki jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi.
Malah, ada yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi juga mudah ditipu scammer.
Malaysia juga tidak terkecuali berdepan masalah scam yang sangat serius. Malaysia dipercayai antara pusat scammer paling aktif di Asia.
Perangkaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati rakyat kerugian RM2.23 bilion akibat jenayah siber sejak lima tahun lalu bermula 2017.
Facebook Malaysia percaya 67,552 kes jenayah siber berlaku sepanjang tempoh tersebut. Penipuan e-dagang dikatakan mencecah 23,011 kes, pinjaman haram 21,008 kes dan penipuan pelaburan dengan 6,273 kes.
PENIPU LICIK
Penulis mendapati scammer bergerak pantas sepanjang pandemik. Sepanjang 2020, sejumlah 11,511 aduan melibatkan scammer dilaporkan berbanding 5,416 kes pada 2019.
Penulis mendapati scammer tidak pernah serik untuk mengganda penipuan sekalipun berkali-kali ditahan pihak berkuasa. Mereka licik menipu pelbagai golongan manusia di negara ini.
Penulis tertarik untuk mengetahui peranan kejuruteraan masa depan dalam mengekang scammer.
Apakah yang boleh dilakukan kecerdasan buatan (artificial intelligence) atau aplikasi kejuruteraan masa depan lain untuk mengesan penipuan yang sering dilakukan menerusi alam siber.
Kesan akibat jenayah siber tidak boleh diabaikan begitu sahaja. ALLAH SWT telah memberi amaran tentang kesan gejala scammer melalui surah Al-Imran ayat [3:30-32] bermaksud:
"Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan (di mukanya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya, ia ingin kalau kiranya antara ia dengan hari itu ada masa yang jauh dan ALLAH memperingatkan kamu terhadap diri (siksa) Nya.
Dan ALLAH sangat Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Katakanlah, jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.
ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Katakanlah, taatilah ALLAH dan Rasul-Nya, jika kamu berpaling, maka sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang- orang kafir.”
Penulis suka berkongsi pandangan Martina Dove dalam buku bertajuk The Psychology of Fraud, Persuasion and Scam Techniques - Understanding What Makes Us Vulnerable.
Buku yang diterbitkan akhir 2020 itu menceritakan kisah benar tentang penipuan scammer dan bagaimana cara seseorang menjadi mangsa penipuan serta kecurian dan kesan emosi kerana gagal menghidu perangkap penipuan.
Dove mendedahkan bukti dan membuat analisis saintifik. Beliau menggesa pengguna agar bijak mengesan penipuan.
Jangan mudah terperangkap dengan kata-kata manis penyangak wang. Dove turut bercerita tentang proses penipuan yang berlaku setiap peringkat.
Beliau membongkar aspek praktikal dan psikologi berbeza pada setiap peringkat. Dove mencadangkan model yang boleh digunakan untuk mengekang penipuan oleh scammer.
Selain itu, penulis ingin mencadangkan kerajaan supaya memasukkan iklan penipuan dalam ‘Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian’ dan pembangunan teknologi masa depan berkaitan sebagai langkah pertama ke arah undang-undang serta peraturan baharu yang meletakkan lebih banyak tanggungjawab berlandaskan isi kandungan aplikasi atau platform digital.
Penyelesaian menerusi AI perlu digunakan secara meluas untuk mengesan kelicikan penggodam siber bagi mengelak kerugian puluhan juta ringgit.
Kerajaan juga disaran menggandakan promosi tentang risiko suka membuka pautan yang tidak dipercayai sehingga menyebabkan data peribadi terdedah dengan mudah kepada scammer.
Kesimpulannya, penyangak siber perlu dikekang kerana ia perosak kehidupan masyarakat di negara ini.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Klik di sini untuk terus membaca