KITA menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti lazimnya hanya akan ‘panas’ selepas sesi penamaan calon pada 8 November.
Bagaimanapun suhu PRN kali kedua selepas Pilihan Raya Umum 2018 itu telah meningkat ke paras luar dugaan sejak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan larangan total bagi sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya berkuat kuasa hingga 27 November ini.
Larangan itu adalah untuk satu tempoh selama 32 hari termasuk tujuh hari selepas hari pengundian dan keputusan diketahui.
Larangan itu seolah-olah mirip sekatan pergerakan total dikenakan Mei-Jun lalu bagi mengekang penularan jangkitan akibat Covid-19 meskipun Melaka sudah berada di fasa keempat.
Berdasarkan sentimen dibangkitkan pelbagai parti politik, sementara badai Covid-19 belum berakhir dan kebimbangan impaknya masih berlanjutan, larangan total itu tidak perlu.
Seolah-olah kita mengambil tindakan melulu. Maka, pihak berkuasa pilihan raya wajar mengkaji semula keputusan tersebut.
Sementara keputusan itu dihormati tetapi asas dan pertimbangan kepada keputusan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan. KKM melihat dari sudut risiko kesihatan.
Kita juga wajar melihat dari sudut pilihan raya demokrasi. Kita perlu melihat Covid-19 dari pelbagai sudut – kesihatan, sosial, ekonomi dan sebagainya.
Memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah dibubarkan dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut keperluan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Melaka, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh-tarikh pilihan raya iaitu hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.
Kita perlu melihat rasional mengadakan pilihan raya iaitu untuk memilih calon mengikut pilihan pengundi.
PRINSIP DEMOKRASI
Para pengundi wajar diberikan segala ruang untuk mengenali calon. Mereka yang bertanding perlu diberikan platform secukupnya dan sesuai untuk mereka menawarkan diri bertanding pada pilihan raya.
Sekarang masa untuk SPR dan agensi-agensi lain yang terlibat menggunakan pendekatan kreatif bagi mengimbangi antara amalan demokrasi dan kepentingan kesihatan negara.
Rakyat akan berdepan persekitaran endemik Covid-19 yang akan menjadi sebahagian daripada ekosistem kehidupan manusia.
Jangkitan dan impak pandemik Covid-19 telah merangkumi setiap peringkat kehidupan termasuklah politik dan pilihan raya yang saling berkait rapat di setiap negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.
Covid-19 telah memberi ancaman dan cabaran paling serius atas nama krisis kesihatan. Oleh itu, dalam menghadapi PRN Melaka dan selepas ini PRN Sarawak, kita memerlukan pendekatan yang membina dari segi amalan, pematuhan dan penguatkuasaan.
Kita perlu mengimbangi prinsip demokrasi dan keperluan memelihara keselamatan kesihatan.
Kerajaan tidak wajar mengenakan satu bentuk larangan total. SPR yang diberi kuasa sebagai agensi utama dalam pengurusan pilihan raya yang memenuhi segala prinsip demokrasi perlu memenuhi kehendak itu dan menyediakan gelanggang yang adil.
SPR perlu mengadakan sesi libat urus bersama parti-parti politik dan badan-badan sivil mewakili kepentingan rakyat bagi merangka SOP terbaik.
Cabaran krisis kesihatan semasa merupakan satu peluang terbaik bagi membangunkan tatacara dan peraturan yang segar, secara langsung akan memperkasa semangat demokrasi.
Tidak wajar mengambil tindakan sebaliknya. Jangan kerana marahkan nyamuk seekor, kelambu dibakar.
Mengambil kira nasib pilihan raya kecil kerusi Batu Sapi, Budaya, Gerik dan Melor, kita ada satu opsyen. SPR perlu diberi kuasa menangguhkan pilihan raya tidak kira mengejut atau sebaliknya jika faktor keselamatan dan kesihatan menjadi isu.
* Dr G Manimaran ialah pengamal media dan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih Menang dan Tadbir
Klik di sini untuk terus membaca