PADA Isnin lalu, saham Tesla di bursa saham Nasdaq, Amerika Syarikat (AS) melonjak naik kira-kira 13 peratus menyebabkan harga satu unit sahamnya melebihi AS$1,000 (RM4,151) sekali gus mengakibatkan nilai kekayaan pengasas bersama syarikat... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Isnin lalu, saham Tesla di bursa saham Nasdaq, Amerika Syarikat (AS) melonjak naik kira-kira 13 peratus menyebabkan harga satu unit sahamnya melebihi AS$1,000 (RM4,151) sekali gus mengakibatkan nilai kekayaan pengasas bersama syarikat kenderaan elektrik itu, Elon Musk turut meningkat.

Ini menjadikan anggaran kekayaan Musk yang telah pun bergelar sebagai bilionair paling kaya di dunia itu bertambah sehingga menjadi lebih AS$280 bilion (RM1.16 trilion) dalam minggu ini.

Ia juga disebabkan kenaikan saham syarikat pengeluar elektrik tersebut menyebabkan nilai Tesla meningkat kepada lebih AS$1 trilion (RM4.15 trilion).

Peningkatan saham Tesla itu adalah disebabkan oleh pengumuman oleh syarikat perkhidmatan sewa kereta, Hertz yang mahu membeli sebanyak 100,000 Model 3 untuk digunakan di AS dan dan Eropah daripada syarikat pengeluar kenderaan tersebut.

Kenaikan harga saham itu menyebabkan anggaran kekayaan Musk dalam syarikat tersebut sejak awal tahun ini melebihi modal syarikat minyak terkemuka dunia, Exxon Mobil sehingga tengah hari Selasa lalu.

Syarikat minyak itu sehingga tengah hari Selasa lalu mempunyai modal sebanyak AS$272 bilion (RM1.12 trilion).

Misi Musk yang dilahirkan di Pretoria, Afrika Selatan dan berumur 50 tahun yang mahu mengganggu industri minyak dengan menubuhkan syarikat kenderaan elektrik tersebut kini dianggap berjaya apabila beliau sendiri mampu mengalahkan syarikat bahan bakar tersebut.

Syarikat Tesla ditubuhkan pada tahun 2003 di California, AS dengan pengasasnya terdiri daripada Musk, Martin Eberhard, JB Starubel, Marc Tarpenning dan Ian Wright bagi mewujudkan kenderaan berkuasa elektrik yang terbaik.

Sejak pengumuman beberapa buah negara untuk tidak lagi menggunakan kenderaan berkuasa petrol dan diesel dalam tempoh beberapa tahun akan datang, saham syarikat tersebut semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Sebenarnya, peningkatan saham Tesla bermula pada minggu lalu selepas syarikat tersebut melaporkan pemerolehan dan keuntungan pada suku ketiga tahun ini.

Namun, saham Tesla terus meningkat lagi pada Isnin lalu selepas pengumuman dibuat oleh Hertz.

Nilai saham Musk jika digabungkan dengan 48 peratus saham yang dimiliknya dalam syarikat pembuat roket ke angkasa lepas, SpaceX menyebabkan beliau menjadi orang terkaya di dunia dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$285 bilion (RM1.18 trilion).

Bilioniar itu pernah menubuhkan syarikat X.com pada tahun 1999 yang kemudiannya menjadi PayPal, Space X pada tahun 2002 dan kemudian Tesla pada tahun 2003. Musk mula memegang status sebagai jutawan pada lewat tahun 20an apabila beliau berjaya menjual syarikat miliknya, Zip2 kepada syarikat Compaq Computers.

Beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla sejak tahun 2008.

Sejak kecil lagi, beliau menunjukkan minat dalam bidang komputer ketika berumur 10 tahun dan selepas ibu bapanya bercerai, Musk menjual perisian permainan yang dikenali sebagai Blastar setelah belajar sendiri tentang komputer.

Syarikat SpaceX yang terlibat dalam pembuatan roket ke angkasa lepas juga dimiliki oleh Elon Musk. - Foto AFP

KISAH HIDUP MUSK

Ketika bersekolah, tubuh bilionair itu rendah, bersifat introvert atau tidak suka bergaul dengan orang sekeliling dan suka membaca buku. Musk pernah dibuli sehingga umurnya mencecah 15 tahun namun dia kemudian mempelajari karate dan gusti untuk mempertahankan diri.

Ibu Musk pula ialah seorang model Kanada dan ketika bilionair itu membesar, wanita tersebut terpaksa melakukan lima pekerjaan pada satu ketika untuk menyara keluarga manakala bapanya pula ialah seorang jurutera Afrika Selatan yang kaya.

Bilionair itu juga pernah menghabiskan zaman kanak-kanak dengan adik lelaki, Kimbal dan adik perempuannya, Tosca di Afrika Selatan.

Ketika berumur 17 tahun, Musk berpindah ke Kanada dan belajar di Universiti Queen's di negara tersebut bagi mengelak daripada menjalani perkhidmatan tentera di Afrika Selatan.

Beliau memperoleh kewarganegaraan Kanada pada tahun yang sama kerana berpendapat ia adalah cara mudah untuk mendapat kerakyatan AS.

Pada tahun 1992, Musk belajar pula bidang bisnes di Universiti Pennsylvania, AS sebelum belajar dalam bidang fizik untuk mendapatkan ijazah kedua.

Selepas menamatkan pengajian, beliau belajar lagi di Universiti Stanford, California bagi memperoleh ijazah doktor falsafah (Phd) dalam bidang tenaga fizik.

Namun, ketika belajar diperingkat Phd, ledakan zaman internet berlaku menyebabkannya tidak meneruskan pengajian kerana menubuhkan syarikat beliau yang pertama, Zip2 Corporation pada tahun 1992 dengan adik lelakinya.

Beliau kemudian menjadi warga AS pada tahun 2002 dan pada Januari 2021, Musk dilaporkan mengatasi pengasas syarikat peruncitan Amazon, Jeff Bezos sebagai lelaki paling kaya di dunia.

Anggaran kekayaan Musk cukup besar sehingga beliau juga berjaya mengatasi syarikat pembuat kereta kedua terbesar di dunia, Toyota yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$283 bilion (RM1.17 trilion).

Ekoran kekayaannya itu, Musk dilaporkan pernah membayar hampir AS$1 juta (RM4.15 juta) dalam satu lelongan Sotheby's pada tahun 2013 untuk membeli sebuah kereta sports, Lotus Esprit yang pernah digunakan dalam filem James Bond pada tahun 1977. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca