SHAH ALAM - Hari ini kerajaan akan membentangkan Bajet 2022 dalam situasi paling mencabar dalam tempoh 10 tahun, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan rakyat tetapi pada waktu yang sama mempunyai sumber kewangan yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hari ini kerajaan akan membentangkan Bajet 2022 dalam situasi paling mencabar dalam tempoh 10 tahun, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan rakyat tetapi pada waktu yang sama mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Apatah lagi kerajaan sedang berusaha menyediakan RM225 bilion menerusi empat pakej rangsangan ekonomi iaitu Permai, Perkasa, Pemerkasa+ dan Pemulih yang diumumkan pada pertengahan tahun ini.

Pada masa sama, kerajaan harus menyediakan feksibiliti atau kemudahan dalam perbelanjaan ketika pandemik dengan menaikkan had hutang statutori kepada 65 peratus daripada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Semua ini dicatur dan dirangka semata-mata demi kemakmuran ekonomi rakyat, agar penduduk negara ini tidak terbeban akibat serangan virus Covid-19 sejak awal tahun 2020.

Demi kelangsungan kehidupan rakyat, bajet tahun depan berkemungkinan tiada pengumuman besar ke atas struktur cukai, namun beberapa subsidi baharu mungkin diumumkan demi meringankan kehidupan golongan berpendapatan rendah yang tidak lagi disebut B40 tetapi B60.

Beberapa galakan berbentuk insentif dijangka diumumkan khusus untuk pihak industri supaya mereka dapat mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus membantu kerajaan menangani masalah pengangguran.

Ini termasuklah subsidi upah yang diumumkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lepas.

tengku zafrul

Selain itu, beberapa bantuan jangka pendek dan panjang bagi membela nasib golongan orang kurang upaya, orang asli dan wanita turut diberi perhatian.

Bagi pemerhati dan penyelidik, bajet tahun depan pastinya menyediakan peruntukan signifikan kepada sektor pendidikan dan kesihatan.

Ini penting kerana ia membabitkan sebahagian besar keperluan sosioekonomi rakyat untuk jangka panjang.

Sewaktu kerajaan bergelut mengambil beberapa langkah menguruskan hutang dan menambah hasil negara, kerajaan tidak lupa untuk terus membantu perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pembiayaan dan skim pinjaman mudah.

Kelangsungan PMKS penting kerana ia melibatkan banyak rantaian atau pergerakan perniagaan bermula daripada pihak pengeluar sehingga ke tangan akhir pengguna.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bajet 2022 akan mempunyai faktor 'Wow' yang pastinya akan memberi manafaat kepada semua pihak tanpa seorang pun tercicir.

Sehubungan itu, semua pihak perlu berperanan aktif membantu memulihkan kehidupan rakyat dan ekonomi negara, tanpa bergantung kepada kerajaan semata-mata.

Ini kerana kemakmuran ekonomi sesebuah negara bermula dari bawah iaitu membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan, dan bukannya terhidang menerusi angka-angka atau carta positif yang sering dilaung-laungkan sebelum ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada jam 4 petang hari ini.

Bajet 2021 yang dibentang Tengku Zafrul tahun lalu adalah yang terbesar dalam sejarah dengan dana RM322.5 bilion.

Klik di sini untuk terus membaca